Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Tarik belia ke masjid: Bukan sekadar 'tech savvy', wujudkan ukhuwah, rasa selesa

Jan 23, 2022 | 05:30 AM



BELIA berusia 22 tahun Luzman Azrin pernah menganggap masjid sebagai sebahagian "port lepak" kegemarannya dan teman-teman sebaya untuk beraktiviti secara sihat - dia dan rakan-rakan bersolat jemaah, mengaji dan berqasidah bersama, bahkan sering berborak tentang kehidupan harian.



Apa yang membuatnya melekat dengan masjid di kawasan tengah Singapura itu, katanya, bukan hanya kerana kegiatan yang dianjurkan untuk belia sepertinya, bahkan wujudnya ikatan persahabatan teman-teman belia masjid, yang mendapat bimbingan mesra daripada Pegawai Pembangunan Belia (YDO).



"Saya dan kawan-kawan ke masjid kerana mencari suasana yang tak ada di tempat lain. Kami suka suasana solat berjemaah, suka dapat jumpa kawan-kawan. Kalau tiba Hari Raya Haji, suka dengan suasana proses siapkan ibadah korban yang perlukan gotong-royong... kesemua ini rapatkan kami dengan kawan-kawan sebaya. Tetapi suasana seperti itu dah tak ada lagi sejak Covid-19 ini," katanya.



Luzman akui, sejak pandemik dan sekatan-sekatan jarak selamat yang ada, dia hanya ke masjid untuk solat Jumaat. Itu pun ke masjid yang berlainan hampir setiap minggu - berdasarkan pilihan yang ada mengikut kuota yang tersedia.



"Saya masih jumpa kawan-kawan lama tetapi di luar masjid. Jumpa Ustaz pun di luar, sambil minum teh tarik dan bercakap tentang agama dan sebagainya.



"Bukan tidak mahu ke masjid tetapi pergerakan di masjid terbatas kerana larangan-larangan jarak selamat yang masih ada," ujarnya sambil menambah dia kini menjadi follower beberapa asatizah pempengaruh di media sosial.



Pandemik ternyata telah banyak mengubah gaya hidup masyarakat kita, termasuk dalam urusan ke masjid.



Era prapandemik telah menampakkan banyak usaha masjid-masjid tempatan menarik belia menerusi pelbagai kegiatan secara fizikal, meliputi pelbagai pendekatan yang selaras dengan trend dan keperluan.



Bahkan kegiatan belia di masjid begitu berkesan sekitar 10 tahun lalu, menerusi pimpinan YDO masjid, kukuh dengan projek tahunan, antaranya seperti 'Cakap Pasal Remaja' (CPR).



Pada masa itu asatizah yang masih remaja ketika itu seperti Ustaz Zahid Zin, Ustaz Nuzhan Abdul Halim, Ustaz Muhammad Fizar Zainal dan ramai lagi menjadi ikon belia masjid dan sering tampil di pentas-pentas dakwah mendekati remaja.



Ini diikuti dengan pendekatan masjid yang begitu santai menerusi program yang disusun khas.



Contohnya, di Masjid Jamiyah Ar Rabitah ada program 'Back To Masjid' pada setiap Rabu yang mana remaja boleh mengutarakan apa sahaja soalan kepada ustaz atau ustazah mengendalikan kelas dalam suasana santai, biarpun soalan itu mungkin remeh.



Di Masjid An Nur pula, ada program 'Silat & Solat' setiap Jumaat yang pernah menarik sekitar 100 lebih peserta, menurut Pengurus Masjid, Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang.



Namun, hampir semua kelas-kelas agama secara fizikal, terpaksa dihentikan apabila pandemik melanda.



Kini, dengan sekatan-sekatan yang telah dilonggarkan kerana keadaan koronavirus yang semakin difahami dan kempen vaksinasi yang mencapai sasarannya, masjid secara perlahan-lahan mula menghidupkan kembali aktiviti secara fizikal.



Namun, maklum balas yang diterima, kehadiran anggota belia di masjid tidak seperti dulu, ini terutamanya untuk jemaah solat waktu.



Persoalannya, seandainya masjid menggerakkan jentera sepenuhnya untuk menghidupkan semula kegiatan belia seperti era pra-Covid-19, apakah keadaan akan kembali seperti dulu?



Masyarakat kita, termasuk belia, telah banyak mengadaptasi diri dengan pelbagai normal baru sepanjang dua tahun lalu.



Memang pada awal-awal sekatan, ramai yang merungut tetapi lama-kelamaan, alah bisa tegal biasa.



Ketika kita tidak dapat ke masjid untuk kuliah agama, asatizah giat mengadakan kelas-kelas secara maya. Ada pengajian Al-Quran maya, sesuatu yang selama ini tidak pernah dilakukan tetapi kini sudah menjadi lumrah.



Selain pengajian, aktiviti seperti sembang agama secara 'live' di Instagram, Facebook dan Youtube juga mendapat perhatian, sekali gus menjadikan sebilangan asatizah kita tiba-tiba menjadi "pempengaruh" apabila mendapat ratusan ribuan pengikut setia - populariti yang melebihi golongan penghibur tempatan.



Perkembangan yang berlaku sepanjang dua tahun mendedahkan apa yang boleh dicapai semua menerusi wadah digital.



Kita juga melihat lebih ramai asatizah membangunkan program mereka secara persendirian atau memulakan NGO sendiri, bukan lagi terhad di masjid.



Golongan belia juga dilihat banyak menyumbang dalam kerja-kerja kebajikan seperti membantu golongan yang memerlukan semasa tempoh pemutus litar.



Sementara masjid-masjid di sini sendiri masih mampu mengumpul dana menerusi portal OurMasjid.SG yang dilancar April tahun lalu.



Masjid-masjid di Singapura mungkin telah menyusun banyak kegiatan untuk menarik masyarakat, termasuk belia agar kembali ke masjid, selain bagi program madrasah hujung minggu.



Dengan pengalaman, tentunya para pemimpin masjid juga sedar pentingnya memahirkan diri dengan teknologi digital hari ini.



Namun cabarannya apakah ia cukup kuat untuk menarik mereka kerana masyarakat dan remaja kini sedar bahawa terdapat banyak pilihan untuk mendekati agama, selain ke masjid?



Jelas pada ketika ini wadah media sosial masih berpengaruh dan menjadi pilihan selesa untuk apa saja saluran informasi termasuk hal agama.



Sesuai dengan dengan perubahan yang berlaku dan penyesuaian normal baru, mungkin struktur program masjid juga boleh disesuaikan dengan keinginan remaja.



Pendekatan seperti "ini aktiviti yang kami sediakan, sila datang," mungkin perlu diubah kepada "apa yang boleh kami lakukan untuk membantu anda bersama memakmurkan masjid."



Pendekatan sebegini memenerikan kuasa (empowerment) kepada belia dan melengkapkan mereka.



Kalau ditanya, generasi milenia pasti mempunyai banyak idea segar yang dapat membantu masjid meuar-uarkan kegiatan dakwah menggunakan wadah digital, sekali gus menarik mereka kembali ke masjid.



Manfaatkan pendekatan yang popular sekarang seperti vlog, podcast, Tik Tok, saluran Youtube dan sebagainya untuk kerja-kerja dakwah.



Namun kita perlu berwaspada terhadap bahan-bahan keagamaan dari luar negara, termasuk daripada penceramah luar yang banyak followers dalam kalangan remaja. Ini kerana pandangan luar kadangkala memberi konteks berbeza, bahkan mungkin bertentangan dengan perspektif tempatan sehingga menimbulkan kekeliruan.



Mendekati remaja hari ini adalah pelaburan untuk jemaah matang dan pemimpin masjid pada masa depan.



Ahli masjid perlu berlapang dada dengan membenarkan pelbagai gaya dan pandangan daripada belia, serta bersikap memaafkan apabila rancangan tidak menjadi atau memenuhi jangkaan.



Akhirnya, seperti yang dikatakan belia Luzman di awal rencana ini, apa yang menariknya ke masjid, selain kerana aktiviti yang memenuhi cita rasa remaja, yang penting ialah "suasana" dan semangat persahabatan yang diikat dengan nilai-nilai Islam.



Belia, seperti masyarakat Islam lain, mahu berasa selesa berada di Rumah Allah untuk mendekatkan diri dengan Sang Pencipta, merasa selamat dan gembira di sekeliling orang-orang yang boleh dipercayai dan dihormati.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >