Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

TREND BARU PERCUTIAN

Tempahan cuti hujung tahun naik 70%: Ejen

Sektor pelancongan kembali rancak selepas lebih dari dua tahun dengan ramai penduduk Singapura mengambil kesempatan cuti sekolah ini untuk ke luar negara bersama-sama keluarga. Kelonggaran sekatan di beberapa negara juga memberi peluang ejen pelancongan di sini ‘menghidupkan semula’ perniagaan mereka. BERITA MINGGU (BM) mendapatkan pandangan ejen pelancongan berkaitan trend pelancongan pasca pandemik.
Dec 25, 2022 | 05:30 AM



MUSIM percutian Disember pertama sejak sempadan dibuka semula sepenuhnya telah menyaksikan ramai rakyat Singapura memenuhi keinginan mereka untuk melancong yang telah lama terpendam.



Beberapa ejen pelancongan yang ditemu bual Berita Minggu (BM) berkata perniagaan kini menyaksikan peningkatan jualan sekitar 70 peratus berbanding Jun lalu.



Menurut Pengurus komunikasi pemasaran kanan Chan Brothers Travel, Encik Jeremiah Wong, mereka telah mendapat tempahan hampir tiga kali ganda pada November berbanding Jun tahun ini.



Lebih menggalakkan lagi, syarikat pelancongan itu turut meraih tempahan lebih dua kali ganda pada bulan ini berbanding bulan lalu.



"Permintaan semula jadi sentiasa lebih kukuh pada akhir tahun berbanding pertengahan tahun pra-Covid. Di samping itu, antara pemacu utama lonjakan permintaan yang kami terima pada musim cuti ini adalah disebabkan kelonggaran sempadan Jepun dan juga pembukaan semula sempadan Taiwan, yang menjadi pilihan ramai pelancong," kata Encik Wong.



Antara yang dapat diperhatikan ejen pelancongan di sini ialah rakyat Singapura kian lebih terbuka untuk berbelanja lebih banyak semasa musim percutian ini, malah ada juga yang memilih meneroka beberapa negara dalam satu percutian.



Ini menunjukkan keyakinan daripada para pelancong Singapura meskipun mereka tahu mereka masih berdepan dengan ancaman Covid-19.



Encik Wong berkata rakyat Singapura telah membuat persediaan untuk meneruskan perjalanan ke luar negara sejak Laluan Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTL) diumumkan tahun lalu, dan keyakinan terhadap perjalanan ke luar negara semakin meningkat sejak itu.



Beliau menambah bahawa beberapa orang mahukan tempoh percutian yang lebih lama berikutan wabak Covid-19 itu "untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga mereka dan mengejar masa yang hilang".



"Lebih ramai keluarga memilih percutian sebagai cara untuk menyambung semula kehidupan mereka pascapandemik dalam semangat 'kebersamaan'," ujar Encik Wong.



Ghairah melancong tanpa batasan Covid-19



Peluang untuk ke luar negara juga dilihat sebagai satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi setelah sekian lama terpaksa menghadapi kawalan yang ketat yang dikenakan pemerintah disebabkan Covid-19 ini, kata Pengarah Travelconnect.sg, Ustaz Nafis Rahman.



"Setelah hampir dua tahun masyarakat kita dibelenggu dengan kawalan yang ketat disebabkan Covid, pergi bercuti juga adalah salah satu terapi diri untuk mengurangkan dilema dan tekanan yang dihadapi.



"Kebanyakan mereka yang berkeluarga juga berani untuk mula bercuti ke luar negara disebabkan ingin mendedahkan anak-anak mereka kepada pengalaman yang berbeza dan mencipta kenangan bersama," kata Ustaz Nafis, yang juga menyaksikan permintaan untuk melancong sepanjang tahun ini terus meningkat jika dibandingkan dengan tempoh semasa sempadan dibuka pada November tahun lalu.



LAPANGAN TERBANG KEMBALI SIBUK



Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Encik S Iswaran, telah menarik perhatian bahawa Lapangan Terbang Changi kini mengendalikan sekitar sejuta pergerakan penumpang dalam masa seminggu, atau 75 peratus daripada paras yang dicatat secara purata setiap minggu sebelum pandemik Covid-19.



Beliau turut mengumumkan bahawa jumlah itu juga lebih seganda daripada jumlah pergerakan penumpang yang dikendali lapangan terbang tersebut semasa sempadan negara ini dibuka semula kepada mereka yang sudah divaksinasi sepenuhnya April lalu.



"Dengan ramai orang keluar negara sempena musim cuti ini, Lapangan Terbang Changi cukup sibuk.



"Ia kini mengendali hingga 150,000 penumpang sehari, atau sekitar sejuta pergerakan penumpang seminggu," ujarnya menerusi laman Facebook beliau.



Meskipun jumlah penumpang yang dikendali Lapangan Terbang Changi kini meningkat, lapangan terbang itu telah dilengkapi untuk memenuhi permintaan perjalanan udara yang tinggi hujung tahun ini, tegas beliau lagi.



Menurut laman web Changi Airport Group (CAG), mereka telah mengendali 23.6 juta penumpang dalam 10 bulan pertama tahun ini.



Daripada jumlah itu, 3.69 juta orang menggunakan terminal Lapangan Terbang Changi pada Oktober.



TAWAR PAKEJ MENARIK



Permintaan bagi percutian ke luar negara sewaktu musim percutian ini dalam kalangan rakyat Singapura terus menunjukkan trend yang kukuh meski harga perjalanan terus melonjak akibat inflasi.



Namun begitu, ejen pelancongan yang dihubungi berkata mereka akan pastikan mereka dapat menawarkan pakej yang menarik dan berpatutan.



Misalnya, Chan Brothers Travel menawarkan pelbagai pakej pelancongan destinasi Eropah yang sesuai untuk mereka yang ingin merasakan pengalaman sebuah negara Eropah tertentu secara mendalam.



Dalam pada itu, terdapat juga pakej lawatan dwi-negara atau berbilang negara bagi mereka yang ingin meneroka tempat-tempat menarik di sekitar Eropah dalam satu percutian.



“Ia bukan sahaja di Eropah, kami juga telah memperkenalkan satu siri pakej lawatan yang dipertingkatkan ke destinasi lain dengan tempoh yang lebih lama, pengalaman yang lebih mengasyikkan, memberikan lebih banyak masa untuk pengembara menikmati destinasi secara santai pada masa lapang mereka,” kata Encik Wong lagi.



Selain destinasi popular di seluruh Asia dan Eropah, Ustaz Nafis berkata mereka turut menerima pendaftaran yang tinggi untuk ke Maghribi, Turkey, rantau Balkan, Baitulmakdiss dan juga Mesir.



Menurut beliau, masyarakat Singapura mungkin berasa lebih yakin dan merasa selamat untuk bercuti ke tempat yang lebih jauh memandangkan negara-negara yang dikunjungi ini “mempunyai kemudahan perubatan dan tiada sekatan yang ketat yang dikenakan sepertimana tahun lepas memerlukan kuarantin dan juga ujian tindak balas rantaian polimer (PCR)”.



TREND BARU YANG KETARA



Tidak dapat dinafikan, Covid-19 telah banyak mengubah landskap pelancongan dan perjalanan ke luar negara.



Beberapa ejen pelancongan memberitahu BM bahawa terdapat sebahagian besar pelanggan mereka yang kini lebih mengutamakan kesihatan mereka secara bercuti.



“Kami lihat keperihatinan mereka ini berbeza jika dibandingkan dengan musim praCovid.



“Jikala dahulu para jemaah kurang mengambil berat mengenai kesihatan dan terus saja mendaftar untuk bercuti, namun sekarang, soalan yang sering ditanya adalah mengenai perlindungan insurans terhadap Covid dan kesihatan, apakah persediaan perubatan yang perlu dibawa, apakah supplemen yang bagus untuk diambil, adakah perlu untuk mengambil vaksin flu sebelum berangkat dan sebagainya,” kata Ustaz Nafis.



Pandemik Covid-19 ini juga telah mencetuskan rasa ingin tahu di kalangan rakyat Singapura untuk meneroka alam semula jadi yang mungkin tidak mereka dapati di negara mereka sendiri.



“Beberapa trend yang dapat kami perhatikan adalah semakin ramai rakyat Singapura lebih suka menghabiskan percutian mereka meneroka dan berada di kawasan luar untuk menikmati alam semula jadi.



“Sebagai sebahagian daripada senarai percutian yang mereka inginkan, terdapat juga pelanggan kami yang memilih pengalaman berada di luar laluan biasa.



“Oleh itu, kami telah melancarkan satu siri pelayaran ekspedisi baru yang akan membawa pelancong dari hutan bandar ke hujung Artik dan Antartika, selain menawarkan peluang untuk meneroka kawasan ajaib alam semula jadi ini dengan menaiki kapal pelayaran,” tambah Encik Wong.



BUAT PERUBAHAN TANGANI CABARAN



Dengan sektor pelancongan yang menghadapi landskap perjalanan yang lebih kompleks, agensi pelancongan akur mereka perlu memastikan bahawa semua komunikasi yang jelas dan telus harus dilakukan dengan pelanggan mereka untuk memudahkan proses membuat keputusan.



Encik Wong menegaskan bahawa menyesuaikan diri dengan perubahan adalah penting dalam peranan sebagai agensi pelancongan.



“Kami akan terus melengkapkan pekerja kami dengan keupayaan operasi digital dan memudahkan pelaksanaan penyelesaian digital supaya kami boleh kekal di hadapan dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dalam era baru ini,” tegas beliau.



Bersependapat, Ustaz Nafis berkata syarikatnya juga telah menaik tarafkan khidmat mereka dengan membuka platform secara ‘online’ demi memudahkan para jemaah untuk lakukan pendaftaran yang lebih mudah.



Ini juga membuka peluang bagi mereka untuk menambahkan kaki tangan pekerja dan memastikan terdapat sistem yang lebih efektif.



Ditanya sama ada mereka merasakan perniagaan dan sektor pelacongan ini mungkin telah kembali seperti sedia kala, sebelum pandemik berlaku, ejen pelancongan berkata mereka akan mengambil pendekatan optimisme berwaspada.



“Kami bersyukur ke hadrat Ilahi dan menarik nafas lega kerana perniagaan kami sudah kembali rancak setelah dua tahun kami bertahan. Pelbagai rancangan dan usaha telah kami lakukan dalam masa dua tahun ketika pandemik Covid-19 berlaku,” ujar Ustaz Nafis.



Encik Wong pula berkata: “Perjalanan percutian pastinya telah bermula semula dan telah berada di laluan pemulihan pada tahun ini.



“Kami yakin bahawa permintaan untuk percutian santai akan terus meningkat apabila kami melangkah ke 2023 dan seterusnya.”




5 DESTINASI PELANCONGAN POPULAR PASCA COVID-19



Australia



Selepas tempoh yang panjang dengan syarat kemasukan yang ketat, Australia melonggarkan syarat-syarat tersebut pada Julai lalu bagi mengalu-alukan semua pemegang visa tanpa perlu memberikan bukti status vaksinasi.



Ia juga membatalkan Deklarasi Penumpang Digital dan Deklarasi Perjalanan Maritim, dan pada September menggugurkan keperluan memakai pelitup dalam penerbangan yang melakukan perjalanan ke negara itu.



Korea Selatan



Korea Selatan menarik balik peraturan kuarantin 14 hari bagi pelancong antarabangsa pada April lalu dan berharap dapat menarik 30 juta pelawat asing setahun menjelang akhir 2027.



Organisasi Pelancongan Korea telah pun menyediakan senarai pilihan tempat makan yang mesra pelancong beragama Islam, daripada restoran yang disahkan halal di seluruh negara, serta senarai surau yang tersedia.



Maldives



Pada Julai 2020, Maldives merupakan salah satu daripada beberapa negara pertama yang telah membuka sempadannya kepada pelancong asing tanpa syarat kuarantin. Sejak Mac tahun ini, negara itu telah membenarkan pelancong antarabangsa yang mendapatkan vaksin sepenuhnya untuk ke sana tanpa perlu mengemukakan ujian negatif Covid.



Switzerland



Switzerland telah memulakan semula kehidupan seperti sebelum pandemik Covid-19 berlaku, dengan semua sekatan digugurkan.



Malah pelancong yang tidak divaksinasi dialu-alukan untuk melawat negara ini sekarang sama seperti pelancong yang sudah mendapatkan suntikan sepenuhnya.



Jepun



Ketibaan pelawat ke Jepun melonjak kepada hampir sejuta pada November lalu, sebulan penuh pertama selepas negara itu melonggarkan sekatan Covid-19 yang telah menghentikan pelancongan selama lebih dua tahun.



Bilangan pelawat asing, untuk pelancongan dan perniagaan, meningkat kepada 934,500 pada November, hampir dua kali ganda berbanding Oktober.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >