Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SUSULAN PILIHAN RAYA PRESIDEN

Tharman lahir penghargaan, kagumi Presiden Halimah sebagai ketua negara

Rancang adakan pertemuan dengan Puan Halimah bagi dapatkan nasihat, pandangan
Sep 02, 2023 | 07:06 PM



Bakal Presiden, Encik Tharman Shanmugaratnam, berkata Presiden Halimah Yacob telah berkhidmat kepada Singapura dengan sangat baik dan beliau mengagumi cara Puan Halimah memegang jawatan Presiden dengan tenang dan bermaruah.

Encik Tharman berkata beliau mahu mendapatkan nasihat Puan Halimah dan menantikan untuk menghadiri upacara bagi menandakan akhir penggal Puan Halimah pada 13 September, iaitu sehari sebelum beliau dirasmikan sebagai Presiden kesembilan Singapura.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media pada Sabtu tentang rancangan terdekatnya selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada Jumaat.

“Antara perkara pertama yang saya mahu lakukan ialah duduk dengannya dan mendapatkan pandangan dan nasihatnya daripada (pengalaman) enam tahun lalu. Saya tidak akan menggesa proses itu. Saya sangat serius dalam mahu menunaikan mandat yang telah diberikan kepada saya oleh rakyat,” kata Encik Tharman yang telah ke beberapa lokasi di serata Singapura pada Sabtu untuk menemui penyokongnya dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Mantan menteri kanan berusia 66 tahun itu menang besar dalam Pilihan Raya Presiden pada Jumaat dengan meraih 70.40 peratus undi, mencerminkan sokongan kuat kepada beliau yang telah berkempen atas dasar memupuk sikap saling menghormati bagi semua rakyat.

Encik Tharman berkata beliau terkejut dengan margin kemenangannya dan tidak menjangkakan perpaduan yang sebegitu baik daripada rakyat.

“Saya sangat percaya bahawa ia adalah ungkapan harapan, ungkapan keinginan bagi masa depan yang optimistik dan ungkapan kemahuan untuk bekerjasama termasuk dalam cara baru... untuk membangunkan budaya saling menghormati, membantu Singapura berdiri teguh dalam dunia walaupun sebagai sebuah negara kecil dan sudah tentu untuk memastikan kita mempunyai tadbir urus kewangan yang kukuh,” katanya.

Encik Tharman berkata terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari daripada undian pada Jumaat, termasuk bahawa rakyat Singapura, yang mahukan Presiden yang tidak berpihak, tidak melihat beliau, yang pernah merupakan anggota sebuah parti politik dan anggota kabinet, akan mengurangkan keupayaannya untuk menjadi tidak berpihak.

“Saya rasa rakyat Singapura sangat bijak dalam semua ini. Mereka menilai orang itu. Mereka tidak berasa berat hati kerana anda pernah menjadi anggota kabinet atau anggota parti politik. Dan mereka mungkin berpendapat ia adalah satu kelebihan kerana anda mempunyai pengalaman dan pengetahuan,” katanya yang merupakan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) selama 22 tahun sebelum meletak jawatan pada Julai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2023.

Mengenai baki 30 peratus yang tidak mengundinya, Encik Tharman berkata beliau akan berkhidmat kepada mereka sepenuhnya.

“Saya tidak menjangkakan tahap sokongan yang begitu tinggi. Yang juga bermakna terdapat sebilangan besar orang yang biasanya tidak mengundi memihak kepada parti pemerintah atau yang memutuskan bahawa ini bukan pilihan raya umum dan mereka memutuskan untuk mengundi saya dan saya rasa itu juga sangat menggalakkan,” kata Encik Tharman.

Beberapa rakyat Singapura yang ditemui Berita Minggu (BM) meluahkan rasa gembira mereka terhadap kemenangan Encik Tharman pada Pilihan Raya Presiden kali ini.


Mereka berpendapat beliau mempunyai ciri dan kualiti seorang Presiden yang disenangi ramai dan mampu membawa Singapura ke hadapan.

Pasangan adik-beradik, Cik Hazima Ahmad, 43 tahun dan kakaknya, Cik Hamima, 48 tahun, berharap Encik Tharman dapat menerajui negara ini dengan lebih baik dan aman.

Mereka yang ditemui di Pusat Penjaja Marsiling Mall, berasa teruja apabila mendapat kesempatan bertemu dan bergambar dengan Encik Tharman dan isterinya.

“Kami sebenarnya ke pasar, namun apabila mendapat tahu Encik Tharman berada di sini, kami terus bergegas untuk beratur dan mengambil peluang bergambar dengannya,” kata Cik Hazima.

“Ini sebenarnya satu kemenangan besar untuk Singapura,” kata Cik Hamima pula.

“Apabila keputusan diumumkan, kami memang rasa sangat gembira kerana kami yakin dengan kebolehan beliau untuk menjadi seorang Presiden yang baik untuk Singapura.”

Sementara itu, pasangan suami isteri yang juga pengendali gerai Hasina Muslim Food di Pusat Penjaja Taman Jurong, Encik Mohamad Nizamudin dan Cik Rozitah Osman, kedua-duanya 58 tahun, juga menyambut baik kemenangan besar Encik Tharman.

“Saya rasa beliau merupakan calon yang paling layak sebab beliau bukan sahaja dikenali di Singapura, malah di peringkat antarabangsa.

“Saya amat berbangga dengan beliau dan berharap beliau dapat teruskan usahanya menjadi seorang pemimpin yang baik untuk rakyat Singapura,” kata Encik Nizamudin, yang turut berkongsi bahawa Encik Tharman merupakan antara pelanggan tetap gerainya sewaktu berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong selama 22 tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >