OPERASI ujian beramai-ramai buat pengunjung Blok 506 Hougang Avenue 8 serta penduduk dan pengunjung blok HDB berhampiran sudah tamat dengan 4,384 orang diuji negatif bagi koronavirus.
Tiada hasil ujian yang positif, kata Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai menjawab pertanyaan media pada Jumaat (11 Jun).
Ujian ini dikendalikan pada Khamis.
MOH mengumumkan operasi tersebut dijalankan selepas suri rumah 58 tahun yang menetap di Blok 506 diuji positif Covid-19 pada 3 Jun.
Jangkitannya kemudian didapati berkait dengan 12 orang lain.
Dalam satu kenyataan awal pada Ahad, MOH mengatakan 1,396 individu yang terdiri daripada penduduk blok itu dan pekerja yang bertugas di kawasan kejiranan diuji negatif bagi virus itu.
Beberapa kemudahan di kawasan kejiranan ini termasuk pasar raya, restoran makanan segera, gerai makanan dan kedai runcit yang bertempat di blok jiran. Empat daripadanya adalah sebahagian daripada pusat kejiranan Hougang Village.
Blok jiran ini adalah Blok 511 Hougang Avenue 10; Blok 681, 683 dan 684 Hougang Avenue 8; Blok 682 Hougang Avenue 4; dan Bloks 685 serta 698 Hougang Street 61.