TIADA rakyat Singapura dilaporkan terjejas oleh gempa bumi di bandar Christchurch di New Zealand, kata Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (14 Nov).
"Buat masa ini, kami tidak mengetahui tentang sebarang rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular berikutan gempa itu," ujar MFA.
Gempa sekuat 7.8 itu melanda berhampiran Christchurch pada tengah malam Ahad (13 Nov). Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, menurut laporan.
Kementerian Pertahanan Awam dan Pengurusan Kecemasan (MCDEM) New Zealand mengeluarkan amaran tsunami dan ancaman darat dari East Cape ke Southland, termasuk Wellington, Marlborough Sounds/Tasman Bay dan Kepulauan Chatham.
Orang berhampiran pantai timur Pulau Selatan juga dinasihatkan supaya segera pindah ke kawasan tinggi atau pedalaman sejauh mungkin.
Menurut pihak berkuasa New Zealand, gelombang tsunami pertama telah tiba dan gelombang selanjutnya boleh dijangka dan ia mungkin lebih besar atau lebih berbahaya.
MCDEM telah memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi pantai dan laut dan jangan keluar bersiar-siar.
Orang ramai dinasihatkan menjaga diri dengan mendapatkan maklumat terkini dan mengikut nasihat kumpulan pertahanan awam tempatan. Maklumat boleh didapati melalui stesen radio dan televisyen tempatan.
MFA berkata mereka yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi di Wellington, New Zealand melalui nombor telefon +64-4-470-0850, atau Kementerian Ehwal Luar di Singapura, +65-6379-8800.