Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tidak sia-sia kendali gerai makanan yang dimulakan moyang

Jan 12, 2021 | 05:30 AM



SEMASA beliau berkhidmat di sebuah syarikat minyak dan gas sebelum ini, Cik Filzah Miranti Mohd Dawood sering membantu ibunya di gerai keluarga mereka, Gerai Nenek Obek, di pasar dan pusat makanan Geylang Serai.



Namun, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai tugas tambahan kerana beliau gemar memasak dan menghidangkan sajiannya kepada pelanggan.



Ini juga minatnya selain bidang pemprosesan kimia, ujar wanita berusia 28 tahun itu.



"Saya suka berbual dengan pelanggan saya, lebih-lebih lagi dengan pelanggan tetap kami.



"Orang lama kalau sudah mula berbual, rancak! Mereka pun kelakar juga," ujarnya.



Kini, Cik Filzah yang baru berumah tangga, merupakan generasi keempat yang mengendali perniagaan di gerai itu, yang dimulakan oleh moyangnya pada 1963.



Beliau merupakan antara 15 penjaja yang diiktiraf dengan Anugerah Penjaja Singapura yang disampaikan buat kali pertama tahun ini sempena Seminar Penjaja SG yang dianjurkan Persekutuan Persatuan Pedagang Singapura (FMAS) dan akhbar Cina Lianhe Wanbao serta disokong Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) semalam.



Anugerah itu antara lain bertujuan meraikan semangat inovatif dan keusahawanan penjaja serta mengiktiraf jenama penjaja dan individu cemerlang yang telah membantu membentuk arena penjaja setempat.



Cik Filzah menerima Anugerah Warisan Penjaja bagi Gerai Nenek Obek dalam satu majlis di Our Tampines Hub.



Meskipun akur akan pelbagai cabaran yang dihadapi penjaja seperti sekitaran kerja di dapur gerai yang panas dan waktu kerja yang panjang, beliau tetap terdorong mengikut jejak langkah moyang, nenek dan ibunya kerana ingin terus menghidupkan sajian tradisional Melayu seperti nasi rawon, nasi jenganan dan nasi ambeng.



Minatnya berputik sejak beliau kecil lagi dan banyak menghabiskan masa di pasar dan pusat makanan Geylang Serai, bermain dengan anak pegerai lain serta menyaksikan ibunya bekerja di dapur gerai.



Semasa membesar pula, beliau sering mendengar pelanggan tetap gerai mereka menggalaknya mewarisi gerai itu dan meneruskan perniagaan itu.



"Setiap kali mereka datang, mereka beli sajian yang sama dan setiap kali itu jugalah, mereka akan beritahu saya lauknya sedap dan mereka sanggup tunggu walaupun terpaksa beratur panjang kadang-kadang. Ini yang mendorong saya," kata Cik Filzah.



Sebagai penjaja generasi keempat, beliau juga telah memperkenal beberapa pembaharuan.



Sebagai contoh, beliau telah memohon geran untuk memperoleh sebuah alat bijak yang boleh membantunya memasak sementara beliau membuat persiapan bagi bahan masakan lain.



Alat itu juga memastikan masakan tidak hangus dan boleh diprogram untuk memberitahunya apabila masakan sudah siap.



"Saya buat banyak kajian dahulu sebelum memberitahu ibu saya dan selepas beliau melihat demonstrasi produk itu sendiri dan hasilnya, beliau pun sekarang ghairah menantikannya," ujar Cik Filzah.



Namun, tambahnya, beliau tetap tidak akan mengubah resipi turun-temurun yang diwarisi daripada moyangnya, termasuk membuat rempah mereka sendiri hingga sekarang.



Cik Filzah, yang bercita-cita mengembangkan perniagaannya dan membuka sebuah restoran pada masa akan datang, berkata pengiktirafan yang diterimanya semalam membakar semangat beliau untuk terus menghidupkan resipi sajian tradisional Melayu yang diturunkan dari generasi ke generasi.



Malah, beliau juga berharap dapat memperkenalkannya kepada generasi akan datang supaya ia tidak akan pernah hilang di dunia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >