Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Timbang periksa umur pembeli barangan boleh dijadi senjata di wadah e-dagang

Pemerintah juga sedang usaha luaskan senarai senjata yang dikawal tetapi perlu capai keseimbangan: Desmond Tan
Aug 04, 2021 | 05:30 AM



PIHAK berkuasa sedang mempertimbangkan langkah memeriksa usia individu yang membeli kapak atau barangan lain dengan pelbagai guna di wadah dalam talian.



Pemerintah juga sedang berusaha meluaskan senarai senjata yang dikawal tetapi perlu mencapai keseimbangan dalam hal ini, memandangkan hampir semua barang boleh digunakan sebagai senjata, termasuk yang digunakan dalam kehidupan harian.



Ini dinyatakan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Encik Desmond Tan, di Parlimen semalam untuk menjawab pertanyaan Encik Desmond Choo (GRC Tampines) sama ada langkah yang ada kini cukup untuk menyekat akses anak muda kepada senjata, menyusuli kejadian yang tidak diingini di Sekolah Tinggi River Valley baru-baru ini yang didakwa melibatkan pemerolehan senjata menerusi dalam talian.



Dalam jawapannya, Encik Tan berkata sepanjang tiga tahun lalu, seramai 131 individu di bawah usia 18 tahun telah diberkas kerana memiliki senjata berbahaya.



Dalam menentukan alat mana yang akan dimasukkan di bawah senarai senjata yang dikawal di bawah Akta Kawalan Senapang, Bahan Letupan dan Senjata (GEWCA) pula, Encik Tan menarik perhatian mengenai keperluan mencari keseimbangan yang sesuai.



Ini memandangkan hampir semua alat boleh digunakan sebagai senjata, termasuk yang digunakan dalam kehidupan harian contohnya pisau dapur dan pisau pencincang.



"Senjata yang amat berbahaya seperti senapang dan bahan letupan perlu dikawal ketat kerana ia boleh menyebabkan kerosakan besar.



"Bagi barangan lain yang digunakan untuk pelbagai fungsi seperti kapak yang mempunyai kegunaan sah normal, kami mungkin mahu mengenakan beberapa kawalan, tetapi perlu mempertimbang dengan teliti apa sebenarnya supaya kita tidak mengawal secara berlebihan," katanya.



GEWCA, yang diperkenalkan Januari lalu, akan menggantikan AEA apabila ia berkuat kuasa hujung tahun ini.



Kini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengawal enam senjata di bawah Akta Senjata dan Bahan Letupan (AEA) - pedang, lembing, kepala lembing, pisau belati, bayonet dan panah berbahaya tertentu.



Mereka yang menangani senjata ini dikenakan syarat keselamatan tertentu seperti menyimpan rekod urus niaga dengan pemilik alat tersebut mesti menyimpannya dengan selamat.



Di bawah GEWCA, senarai senjata yang dikawal akan diperluas dan dikenakan lebih kawalan, kata Encik Tan.



Dalam soalan susulan, Encik Choo bertanya tentang pemeriksaan pengesahan umur yang perlu dilakukan peruncit dalam talian mahupun secara fizikal.



Beliau turut bertanya sekiranya terdapat rancangan untuk memerlukan peruncit melaporkan urus niaga mencurigakan dan bagaimana MHA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi memperkukuh kesedaran tentang bahayanya senjata dan pemeriksaan baginya di sekolah.



Menjawab pertanyaan tersebut, Encik Tan berkata MHA akan "semak semula secara tetap" bekalan dan pengesahan umur yang diperlukan bagi senjata yang dikawal serta barangan pelbagai kegunaan untuk menilai tahap kawalan yang sesuai.



"Kami kini sedang mempertimbang memerlukan wadah e-dagang, contohnya, serta peruncit kedai fizikal, untuk mengambil langkah-langkah munasabah... melakukan beberapa pemeriksaan pengesahan umur dan memastikan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang jelas di bawah umur, tidak mempunyai akses kepada barangan ini," tambahnya.



Mengenai melaporkan urus niaga mencurigakan, Encik Tan berkata terdapat cabaran.



"Ia lebih sukar kadangkala bagi peruncit, terutamanya peruncit dalam talian, untuk memahami atau mengesahkan niat dan tujuan pembelian barangan sah yang digunakan untuk sebab yang sah," jelasnya.



Menyentuh mengenai kerjasama dengan MOE pula, Encik Tan berkata MHA serta Pasukan Polis Singapura (SPF) telah bekerjasama dengan MOE dan sekolah untuk contohnya melaksanakan gerakan SG Secure, iaitu satu bentuk protokol keselamatan.



Tambahnya, mereka akan terus bekerjasama dengan sekolah serta MOE untuk memperkukuh kesedaran serta protokol respons bagi kejadian melibatkan senjata berbahaya dan pemeriksaan di sekolah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >