Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Tubuh muzium bagi paparkan kisah warisan Kampong Gelam

Jul 17, 2023 | 05:31 AM



Ketika saya kecil, saya tidak pernah berminat untuk mengenali sejarah keluarga saya. Namun, apabila kami perlu berpindah dari rumah keluarga kami pada 1999, saya mula menyedari tentang kepentingan mengetahui asal usul saya dan, lebih penting, keperluan untuk memeliharanya.

Rumah keluarga saya, Gedung Kuning, diperolehi pemerintah pada 1999 dan dibangunkan semula sebagai sebahagian apa yang kini dikenali sebagai kompleks Pusat Warisan Melayu di Kampong Gelam.

Pada 2010, saya menerbitkan buku pertama saya, ‘Gedung Kuning: Memories Of A Malay Childhood’ (Gedung Kuning: Kenangan Zaman Kanak-Kanak Melayu), yang mengisahkan tentang pengalaman membesar di rumah itu, didorong oleh kata-kata arwah ibu saya: “Kalau kita tidak tulis cerita kita, nanti orang lain akan tulis cerita kita.”

Oleh itu, saya berkongsi cerita saya, dan kemudian menerbitkan lapan buku bukan cereka, mengenai topik seperti budaya, bahasa dan pencuci mulut Melayu, dan sekolah-sekolah Melayu terakhir di Singapura.

Buku saya mengenai kawasan kejiranan Kampong Gelam di mana saya membesar memenangi Hadiah Sejarah Singapura NUS (Universiti Nasional Singapura).

Tidak lama lagi, saya akan menceritakan kisah saya dalam projek warisan terbesar saya – sebuah muzium yang memberi penghargaan kepada sumbangan datuk moyang saya kepada masyarakat Melayu di Singapura pada separuh pertama abad ini.

Haji Yusoff Haji Mohamed Noor, yang meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 1950, merupakan peniaga berjaya dan tokoh terkemuka dalam masyarakat, terkenal dengan kerja-kerja beliau dengan anggota jemaah haji, Masjid Sultan dan pelbagai kegiatan dermawan.

Jauh perjalanannya bagi saya mengecapi misi muzium saya.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin menceritakan kisah warisan mereka, bersedialah untuk menangani pelbagai hambatan sepanjang jalan.

MUZIUM UNTUK DATUK MOYANG

Pada Ogos ini, Muzium Memorial Haji Yusoff, di tingkat tiga sebuah rumah kedai, di 717 North Bridge Road, akan dibuka secara rasmi.

Ini merupakan rumah kedua datuk moyang saya, dibeli pada sekitar era 1900.

Di tingkat tiga rumah kedai itu dahulunya sebuah bengkel di mana beliau menghasilkan barang, seperti tali pinggang wang untuk anggota jemaah yang bakal berangkat ke Makkah.

Ketika itu, anggota jemaah haji dari rantau ini akan berkumpul di Kampong Gelam sebelum menaiki kapal ke Tanah Suci.

Gagasan untuk menubuhkan sebuah muzium terdetik beberapa tahun lalu ketika harta pusaka keluarga Haji Yusoff sedang membangunkan semula rumah kedai North Bridge Road itu, yang terletak di seberang jalan dari Masjid Sultan.

Saya berbincang dengan pemegang amanah harta pusaka keluarga Haji Yusoff tentang kemungkinan menggunakan tingkat tiga rumah itu untuk mempamerkan artifak Gedung Kuning, seperti peti besi buatan Hamburg sejak pra-1910, dan cermin hias besar. Beberapa artifak perlu menjalani kerja pemulihan.

Ini akan dipamerkan di muzium itu bersama artifak seperti kain hijau dari Jerman yang digunakan untuk membuat tali pinggang, gelendong jenama dan barang rumah yang digunakan penduduk Gedung Kuning.

Gedung Kuning merupakan sebahagian Istana Kampong Gelam, yang dibina untuk Sultan Hussein Mohamed Shah dan berfungsi sebagai kediaman bagi bendahara pada sekitar 1850.

Datuk moyang saya kemudiannya membeli Gedung Kuning bagi keluarga besarnya, yang menetap di situ selama 87 tahun.

Mengapakah saya melakukan semua kerja dan belanja untuk menubuhkan muzium itu, yang saya percaya, adalah yang pertama di kawasan Kampong Gelam?

Saya mahukan sebuah tempat yang mempamerkan semangat keusahawanan, kemurahan hati dan kepimpinan Haji Yusoff, dan untuk berkongsi kisahnya dengan yang lain.

MULAKAN USAHA

Saya lihat muzium ini sebagai puncak perjalanan warisan saya, yang bermula dengan buku pertama saya tentang kisah membesar di Gedung Kuning.

Saya benar-benar tidak tahu cara untuk mula menulis pada ketika itu, kerana tidak ada banyak buku dengan topik serupa mengenai masyarakat Melayu yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Saya mengumpulkan maklumat daripada anggota keluarga, mendengar kenangan masa lalu mereka dan meneliti gambar serta artifak keluarga.

Saya juga mengunjungi Perpustakaan Negara dan Arkib Negara selain meninjau keratan akhbar mengenai Gedung Kuning dan Kampong Gelam pada awal abad ke-20.

Saya mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan dan mereka yang arif dalam sejarah Singapura.

Sejarah lisan merupakan sumber yang kuat. Bercakap dengan saudara-mara, memanfaatkan kenangan dan ingatan orang dengan pengalaman hidup yang berbeza, adalah tidak ternilai.

Banyak yang saya perolehi daripada mendengar kisah hidup bapa saudara saya, Wak Lah, 89 tahun, semasa pemerintahan Jepun.

Salah satu kisahnya adalah tentang bagaimana Haji Yusoff, yang suka dengan burung merpati dan menyimpan haiwan itu dalam petak rumah merpati di Gedung Kuning.

Beliau diarah pegawai Jepun untuk membunuh burung tersebut untuk menghalangnya daripada digunakan sebagai pembawa maklumat kepada tentera British atau gerakan bawah tanah.

MENCARI SOKONGAN

Mendapatkan bantuan kewangan mungkin aspek paling mencabar.

Untuk menubuhkan muzium itu, saya perlu mendapatkan persetujuan pemegang amanah untuk melepaskan sewa pada unit itu dan menggunakan dana harta pusaka bagi kerja-kerja pemulihan.

Bagi penulisan saya, saya tahu bahawa tidak akan ada ganjaran kewangan besar daripada penjualan buku-buku saya.

Untuk buku pertama saya, saya mendekati sebuah yayasan warisan untuk mendapatkan geran tetapi ia ditolak kerana yayasan itu mempunyai projek serupa yang sedang dijalankan.

Mujur, Persatuan Warisan Singapura (SHS) bersetuju untuk menerbitkan buku itu bersama, dan saya membayar separuh kos penerbitan.

Oleh itu, usah tawar hati dengan kekurangan sokongan; banyak pertubuhan, seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB), kini menawarkan geran untuk projek.

NHB, misalnya, memberikan geran kecil dan besar untuk menyokong projek yang membuat sumbangan penting dan berkekalan dalam arena warisan Singapura.

Meskipun jika anda ada kisah menarik untuk diceritakan, usaha untuk menerbitkannya boleh menjadi satu cabaran.

Apabila saya menghantar manuskrip pertama saya kepada penerbit, ia mengambil masa setahun sebelum manuskrip saya ditolak kerana buku itu “tiada nilai komersial”.

Oleh itu, dengan bantuan SHS, saya menjadi penerbit buku saya sendiri.

Namun, laluan menerbitkan buku sendiri tidak mudah.

Anda pasti akan perlu melakukan segala-galanya, daripada menulis hingga mencari pencetak dan memasarkan buku anda.

Oleh itu, jangan terlalu memikirkan tentang penolakan pertama. Manuskrip penulis, J.K. Rowling bagi Harry Potter bahkan ditolak 12 kali.


Penerbit setempat seperti Epigram dan Ethos kini mempunyai katalog buku yang luas mengenai Singapura.

Saya menubuhkan Helang Books pada 2012 untuk menerbitkan karya saya dan penulis lain. Ia kini mempunyai sekitar 30 buku kanak-kanak dan bukan cereka, kebanyakannya tertumpu kepada warisan Melayu.

Tolak tepi soal kewangan, sokongan moral amat penting untuk buku saya dan projek muzium.

Anggota keluarga rasa berminat, memberi galakan dan gembira untuk membantu. Rakan-rakan baik saya memberi sokongan dengan mendengar keluhan dan kekecewaan saya.

Tidak semua orang perlu menerbitkan buku atau menubuhkan muzium untuk berkongsi kisah mereka dalam zaman ketersambungan dan media sosial ini.

Kewarganegaraan aktif adalah salah satu cara ke hadapan, kerana media sosial boleh membantu mendapatkan sokongan untuk projek warisan.

Satu contoh ialah ‘Wan’s Ubin Journal’ (Jurnal Ubin Wan), yang dimulakan pada 2018 oleh Syazwan Abdul Majid untuk mendokumentasikan asal usulnya dan warisan masyarakat Orang Pulau di Pulau Ubin.

Setiap orang dengan kisah warisan untuk dikongsi harus rasa terdorong untuk melakukan demikian.

Tidak penting bagaimana ceritanya disampaikan – melalui tradisi lisan, dalam format baru seperti video, blog atau laman, atau, jika anda benar-benar beruntung, di muzium.

Walau dalam apa cara sekalipun, kisah-kisah ini perlu didengar dan dipelihara sepanjang masa.

Hidayah Amin seorang penulis yang telah memenangi anugerah dan pensyarah adjung di Politeknik Singapura.
Selepas pembukaan rasminya pada 20 Ogos, muzium itu akan dibuka pada Sabtu terakhir setiap bulan, dari 12 tengah hari hingga 6 petang. Masuk percuma. Lungsuri laman web Facebook dan Instagram Muzium Memorial Haji Yusoff untuk maklumat terkini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >