Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Tujuh tadika MOE dibuka jelang 2021

Aug 07, 2018 | 05:30 AM



TUJUH tadika Kementerian Pendidikan (MOE) akan dibuka menjelang 2021.



Ini selaras dengan perkembangan yang telah diumumkan awal sebelum ini untuk mempunyai 50 tadika MOE menjelang 2023.



Demikian diumumkan Menteri Kedua Pendidikan dan Kewangan, Cik Indranee Rajah, semalam ketika melawat MK@Punggol Cove di Sekolah Rendah Punggol Cove.



Dengan pembukaan tujuh tadika tersebut, jumlah keseluruhan tadika MOE di Singapura dalam tiga tahun akan datang ialah 36 - dua kali ganda jumlah yang ada sekarang.



Tadika ini akan bertempat di dalam sekolah rendah sedia ada termasuk Sekolah Rendah Meridian, Tampines, West View, Greendale, Cedar, Mayflower dan Zhenghua.



Lokasi tadika MOE antara lain dipilih berdasarkan jumlah permintaan serta keluarga muda yang ada di kawasan tersebut, kongsi Cik Indranee.



Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa tadika MOE akan terus bekerjasama dengan Pusat Tahun-tahun Awal (EYC) yang dikendalikan PCF Sparkletots, berikutan satu program perintis yang diumumkan Februari lalu.



"Dengan bertambahnya jumlah tadika MOE, kami juga akan mengembangkan lagi kerjasama perintis dengan PCF (Sparkletots).



"Tujuh tadika MOE baru yang bakal dibuka pada 2021 akan bekerjasama dengan EYC PCF," katanya.



Beliau menambah bahawa murid di peringkat Nurseri Dua (N2) di EYC sedemikian dijamin tempat di Tadika 1 (K1) dalam tadika MOE yang berdekatan.



Cik Indranee menyertai murid K1 di MK@Punggol Cove yang melakukan aktiviti berkaitan Hari Kebangsaan di dalam kelas mereka semalam.



Beliau sempat berinteraksi dengan mereka sambil menghasilkan lukisan, selain bernyanyi dan menari bersama kanak-kanak tersebut.



Memuji pendidikan yang diberikan di tadika MOE, Cik Indranee berkata:



"Kebanyakan pembelajaran yang berlaku adalah melalui permainan, pendekatan interaktif dan murid-murid mengambil bahagian.



"Satu lagi fokus... ialah pendidikan bahasa ibunda, kami akan terus menawarkan ketiga-tiga bahasa ibunda - Mandarin, Bahasa Melayu dan Tamil."



Memandang ke hadapan, MOE akan terus meletakkan kepentingan pada pembelajaran awal kanak-kanak.



"Pembelajaran awal kanak-kanak kekal sebagai antara keutamaan kami.



"Kami mahu memastikan semua kanak-kanak mendapatkan permulaan baik dalam kehidupan," ujar Cik Indranee.



Beliau turut mengatakan bahawa sepertiga tempat di tadika MOE akan diketepikan bagi kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.



"Kita mahu memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang. Apa yang penting bagi MOE ialah kemudahan mengakses (tadika tersebut), kemampuan dan pendidikan berkualiti," tambah beliau.



Bagi memenuhi keperluan ibu bapa yang memerlukan penjagaan sepenuh hari bagi anak mereka, khidmat Penjagaan Tadika (KCare) akan diadakan di kebanyakan tadika MOE yang terletak di dalam sekolah dari Isnin hingga Jumaat dari 7 pagi hingga 7 malam.



Pendaftaran bagi kemasukan K1 pada 2021 untuk ketujuh-tujuh tadika MOE baru itu akan berlangsung pada 2020.



Latihan pendaftaran dibuka kepada warga dan penduduk tetap Singapura yang dilahirkan antara 2 Januari 2016 dengan 1 Januari 2017.



Maklumat lanjut tentang pendaftaran tersebut akan dikongsi pada suku pertama 2020.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >