Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Turunkan ilmu membuat tanjak ke anak muda demi warisan budaya

Jun 25, 2023 | 05:31 AM



SETIAP ikatan dan lipatan ada makna yang tersirat di sebaliknya.

Bagi Encik Muhammad Fairuz Zazali, tanjak yang dipakai bukan sekadar satu hiasan di kepala, tetapi membawa sejarah dan cerita adat Melayu yang tidak diketahui ramai.

Misalnya, tanjak Mahkota Alam merujuk kepada gelaran bagi pemimpin yang mampu memerintah dua alam iaitu alam nyata dan alam ghaib, dan oleh itu, tanjaknya menampilkan ciri-ciri yang gah dan besar.

Sementara tanjak Nakhoda Trong pula digelarkan sedemikian sempena nama seorang nakhoda berketurunan Bugis, yang terkenal dalam masyarakat Trong pada suatu ketika dahulu, dengan bentuk tanjaknya kelihatan membawa sifat berani dan megah pada si pemakai.

Sarat dengan ilmu mengenai asal-usul tanjak warisan Melayu, Encik Fairuz, 32 tahun, berasa perlu berkongsi dan menurunkan pengetahuan itu kepada generasi anak-anak muda Melayu supaya warisan itu tidak pupus dan dilupakan.

“Tanjak adalah warisan Melayu dan ada cerita dan sejarah di sebalik apa yang dikarangkan di situ. Cara membuat tanjak juga ada tata tertib dan adabnya.

“Contohnya, apabila hendak melipat tanjak, kita perlu berlutut sebagai menghormati dan pada masa yang sama, agar lipatannya tidak lari.

“Walaupun tidak ramai, saya rasa gembira ada juga dalam kalangan anak muda kita yang berminat untuk belajar dan meraih ilmu pengetahuan tentang asal-usul tanjak ini. Saya bangga kerana merekalah yang kemudian akan menurunkan ilmu ini kepada generasi seterusnya, jadi ada kelanjutannya,” kata beliau.

Encik Fairuz, yang mengasaskan perniagaan membuat tanjak Bin Mansor Singapura pada 2017, kini sedang melatih dua belia – Encik Mohammad Hazzreeq Mohammad Halim, 22 tahun, dan Encik Syahzyad Syawqie Kamal Lutfie, 22 tahun – dalam seni membuat tanjak sejak sekitar empat tahun lalu.

Encik Hazzreeq, seorang teknisyen, berkongsi bahawa minatnya kepada tanjak berputik setelah beliau menyertai satu bengkel beberapa tahun lalu.

“Daripada sesi yang pertama, minat saya semakin kembang dan saya ingin belajar lebih lanjut tentang tanjak dan di situlah, saya menghubungi Encik Fairuz.

“Pada mulanya, saya ingat tanjak cuma ada tujuh jenis sahaja. Tetapi apabila saya belajar dengan Encik Fairuz, rupa-rupanya ada berpuluh-puluh lagi jenis tanjak dan setiap daripadanya ada cerita tersendiri.

“Ini yang membuat saya rasa ‘wow’ dan lebih minat dengan budaya Melayu,” ujarnya.

Rakannya, Encik Syawqie, pula berkongsi bahawa beliau pada mulanya belajar cara memakai dan mengikat samping daripada Encik Fairuz, namun minat itu kemudian berkembang kepada tanjak pula setelah beliau melihat rak-rak dipenuhi tanjak di rumah gurunya.

“Memang sangat mengagumkan. Setiap lipatan ada nama dan cerita yang berbeza. Bagi saya, saya lihat ramai yang mahu pakai tanjak sebab ia akan buat mereka tampak segak tetapi mereka mungkin tidak tahu sejarah di sebaliknya dan mengapa mereka memakainya.

“Oleh sebab itu, saya menceburi ilmu membuat tanjak ini supaya saya tahu kenapa tanjak dipakai, sejarahnya dan busana yang sesuai dikenakan dengannya. Dengan itu, kita akan ada rasa bangga apabila memakai tanjak,” kata beliau, yang kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Encik Hazzreeq dan Encik Syawqie sejauh ini sudah mahir mengarang lima jenis tanjak – Mahkota Alam, Nakhoda Trong, Bugis Tak Balik, Takur Tukang Besi dan Anderiguru Selebu.

Kedua-dua anak muda itu berkata mereka berharap dapat berkongsi ilmu sejarah dan karangan tanjak Melayu itu dengan masyarakat.

“Apabila ilmu saya lebih mendalam kelak, saya berharap dapat berkongsi bukan hanya dengan generasi saya, tetapi juga generasi seterusnya dalam kalangan orang Melayu agar warisan dan seni ini tidak akan pernah hilang,” kata Encik Hazzreeq.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >