Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Vaksin Covid-19 berkesan buat kanak-kanak, remaja hadapi jangkitan Omicron : Kajian

Jun 19, 2023 | 05:15 PM



Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima dua dos vaksin sebelum jangkitan Covid-19 pertama mereka didapati mempunyai imuniti tertinggi terhadap jangkitan Omicron, menurut satu kajian yang dijalankan semasa pandemik itu. 

Kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang menerima dua dos vaksin selepas dijangkiti Covid-19 pula didapati mempunyai perlindungan tambahan terhadap jangkitan Omicron berbanding mereka yang tidak divaksin.

Demikian dapatan kajian yang dikongsi dalam satu kenyataan oleh Hospital Kanak-Kanak dan Wanita KK (KKH) pada Isnin.

Kajian itu dijalankan oleh KKH, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia melibatkan hampir 150,000 kanak-kanak dan remaja berusia 5 hingga 17 tahun yang dijangkiti Covid-19 dari Januari 2020 hingga Disember 2022. Jangkitan itu rata-rata melibatkan varian Omicron.

Kajian itu turut menilai tahap perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 berdasarkan sama ada vaksin itu diberikan sebelum atau selepas jangkitan pertama berlaku. 

Omicron adalah varian Covid-19 yang dominan kini setelah muncul pada November 2021.

Sekitar 29 peratus kanak-kanak dan 79 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.

“Kajian ini menegaskan bahawa ibu bapa tidak boleh bergantung pada jangkitan Covid-19 yang lalu sahaja untuk imuniti anak mereka terhadap varian Omicron. Manfaat vaksinasi terhadap varian Omicron yang baru muncul seperti XBB, yang sangat mudah merebak, kekal penting bagi kanak-kanak dan remaja,” kata penulis utama kajian itu, Profesor Madya Yung Chee Fu, yang juga perunding kanan di perkhidmatan penyakit berjangkit dalam jabatan pediatrik KKH.

Menurut kajian itu, dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah dijangkiti Covid-19 sebelum divaksin, vaksinasi memberi perlindungan 74 peratus terhadap Omicron BA.4/BA.5.

Dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang telah dijangkiti Covid-19 sebelum menerima vaksin, vaksin memberi perlindungan 85.7 peratus terhadap Omicron BA.4/BA.5.

Perlindungan dua dos vaksin terhadap Omicron XBB adalah lebih rendah tetapi kekal berkesan pada 62.8 peratus dalam kanak-kanak dan 57.9 peratus dalam remaja.

“Ini adalah sesuatu yang dijangkakan memandangkan perubahan molekul ketara yang dilaporkan dalam varian XBB, menjadikannya lebih mudah merebak,” kata kenyataan itu.

Bagi mereka yang telah menerima dua dos vaksin sebelum jangkitan Covid-19 pertama, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun didapati mempunyai perlindungan tertinggi sebanyak 85.3 peratus terhadap Omicron BA.4/BA.5, manakala keberkesanan vaksinasi dalam kalangan remaja adalah sekitar 82.9 peratus. 

Kajian itu mendapati varian jangkitan sebelumnya mempunyai kesan ke atas perlindungan seterusnya terhadap jangkitan Omicron BA.4/BA.5. 

Mereka yang dijangkiti varian Delta awal mempunyai perlindungan paling rendah terhadap jangkitan BA.4/BA.5 seterusnya, kata kenyataan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >