Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

VTL diperluas kepada pelawat dari Australia, Switzerland mulai 8 Nov

Iswaran: SG sedang bincang dengan negara lain, termasuk jiran, bagi buka sempadan secara selamat
VTL
Oct 27, 2021 | 05:30 AM



PELAWAT sudah divaksinasi dari Australia dan Switzerland boleh memasuki Singapura tanpa menjalani kuarantin mulai 8 November.



Menyertakan Austalia dalam skim Laluan Perjalanan bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) bermakna penduduk negara itu boleh menikmati pergerakan bebas kuarantin dua hala antara kededua negara.



Aturan serupa bagi pelajar dan pemegang pas perniagaan dari Singapura dijangka dilaksana menjelang 23 November, sedang Singapura terus membuka semula sempadan secara berhati-hati.



Switzerland sudah membuka sempadannya kepada semua pelawat dari Singapura. Justeru, peluasan skim VTL bagi menyertakan Switzerland bermakna penduduk Singapura boleh ke negara-negara itu dan kembali tanpa perlu menjalani kuarantin di mana-mana negara itu.



Namun, penduduk Singapura yang mahu ke Australia untuk lawatan senggang perlu menunggu lebih lama bagi lawatan dua hala tanpa kuarantin. Canberra berkata ini mungkin dilaksana pada Disember.



Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, yang mengumumkan VTL baru itu dalam satu temu ramah maya semalam, berkata adalah penting Singapura terus berusaha membuka semula sempadannya dan membina semula statusnya sebagai hab penerbangan.



"Adalah penting kita meneruskan usaha membuka semula sempadan kita dengan langkah kesihatan awam yang perlu dilaksana, untuk kekal menjadi hab penerbangan antarabangsa dan hab perniagaan yang ada ketersambungan global.



"VTL salah satu cara melakukan demikian," ujar beliau.



Encik Iswaran menarik perhatian bahawa kededua negara itu mempunyai hubungan ekonomi kukuh dengan Singapura serta mempunyai kadar jangkitan Covid-19 serupa atau lebih rendah daripada Singapura serta negara VTL lain.



Beliau menambah bahawa Singapura sedang berbincang dengan negara lain, termasuk negara jiran, bagi melancarkan lebih banyak VTL.



"Kami dalam perbincangan dengan rakan lain, termasuk jiran serantau, untuk membuka semula secara selamat dan menyambung semula keterhubungan kami yang rapat," ujar beliau.



Kuota VTL sekarang, iaitu 3,000 pelawat setiap hari, akan dinaikkan kepada 4,000 pelawat setiap hari dengan pelancaran dua VTL baru itu, menurutnya.



Skim VTL membenarkan pelawat sudah divaksinasi memasuki Singapura tanpa menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN). Sebaliknya mereka mengambil ujian swab Covid-19 sebelum berangkat dan apabila tiba di Singapura.



Dengan dua VTL baru itu, Singapura kini mempunyai 13 VTL. Sepuluh VTL, termasuk bersama Amerika Syarikat dan Britain, sudah bermula manakala VTL terakhir bersama Korea Selatan akan bermula pda 15 November.



Dalam pada itu, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata kejayaan pelaksanaan skim VTL sejauh ini memberinya pengalaman dan keyakinan untuk melanjutkannya ke lebih banyak negara.



"Kami akan terus melakukannya secara berhati-hati dan bertahap-tahap tanpa mengkompromi kesihatan awam," ujar CAAS dalam satu kenyataan.



Terdapat langkah perlindungan seperti ujian Covid-19 di bawah skim itu dan jumlah kedatangan diuruskan menerusi kuota VTL, ujarnya.



"Kami akan memantau kemajuan skim ini dengan rapat sebelum memutuskan meningkatkan lagi kapasiti," tambah CAAS.



Mengenai pembukaan semula kepada Australia, CAAS berkata negara itu antara 10 pasaran terbesar bagi kedatangan penumpang tahunan di Lapangan Terbang Changi, menyumbang 4 peratus kepada kedatangan keseluruhan pada 2019.



Switzerland pula antara rakan perdagangan dan pelaburan utama Singapura.



CAAS berkata ada kehadiran perniagaan kukuh negara itu di sini, dengan lebih 1,000 syarikat Switzerland beroperasi di Singapura - antaranya bank besar dan firma insurans.




"Adalah penting kita meneruskan usaha membuka semula sempadan kita dengan langkah kesihatan awam yang perlu dilaksana, untuk kekal menjadi hab penerbangan antarabangsa dan hab perniagaan yang ada ketersambungan global."
- Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >