Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wakaf dana simpanan strategik masyarakat

Abu Bakar: Wakaf antara inisiatif pastikan keperluan generasi akan datang dapat ditangani akibat terjejas pandemik seperti Covid-19
Sep 13, 2020 | 05:30 AM



WAKAF merupakan antara inisiatif bagi memastikan keperluan generasi akan datang dapat ditangani akibat terjejas dengan pandemik seperti Covid-19.



Selain menyemarakkan semangat dermawan dalam kalangan masyarakat, wakaf juga merupakan wadah bagi masyarakat membangunkan dana simpanan yang mampu digunakan untuk keperluan masa depan.



Mengongsi visi wakaf yang ingin dilihat di Singapura dalam satu temu ramah dengan Berita Minggu (BM), pengerusi panel penasihat bagi dana Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata masyarakat sedang berdepan dengan cabaran dan masalah rumit disebabkan pandemik Covid-19.



Justeru, beliau menekankan bahawa panel penasihat pakar WMS selain prihatin tentang cabaran masa kini, akan juga mengambil pandangan lebih jauh dan meneroka peluang menyeluruh dan strategik yang dapat dilakukan untuk masyarakat.



"Covid-19 merupakan krisis segenerasi dan kesan pandemik bagi generasi masa hadapan adalah nyata. Saya melihat wakaf sebagai satu huraian untuk memastikan keperluan generasi akan datang dapat ditangani dengan lebih baik.



"Ia bukan sekadar menyemarakkan semangat dermawan di kalangan masyarakat, malah juga membolehkan masyarakat mengembangkan dana simpanan strategik yang dapat digunakan untuk memenuhi keperluan kewangan masyarakat di masa depan,'' jelas beliau.



Beliau turut mengongsi bahawa WMS akan terus mendekati lebih ramai kumpulan pertubuhan dalam kalangan masyarakat untuk mendapat maklum balas mereka dalam masa beberapa bulan yang akan datang.



Memberi perincian terkini, Encik Abu Bakar, yang juga merupakan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), berkata:



"Semua maklum balas dan cadangan yang telah diperolehi ini akan dipertimbangkan dan dicatat dalam laporan WMS yang akan menjadi sebahagian dari kerangka dan penyelesaian kami."



Pada Jun lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan bahawa dua panel penasihat telah dibentuk bagi mengemukakan saranan bagaimana untuk menggembleng sokongan masyarakat dan mengendali pelaksanaan WMS.



Dua panel itu ialah Panel Penasihat Pakar WMS yang terdiri daripada lapan karyawan dalam bidang agama, undang-undang, pelaburan, kewangan, audit dan hartanah.



Awal sebelum itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah mengumumkan penubuhan WMS untuk membiayai keperluan jangka panjang masyarakat, terutama untuk institusi keagamaan, pengembangan asatizah dan keperluan serta inisiatif masyarakat secara umum.



Seperti amalan wakaf yang lalu, WMS adalah mekanisme pendanaan sukarela untuk melengkapkan dana masyarakat lain yang lebih mantap seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), justeru tidak wajib bagi semua anggota masyarakat untuk menyumbang kepadanya.



Encik Abu Bakar menambah wakaf bukanlah satu perkara baru dalam kalangan masyarakat Islam di sini, namun ia tetap memainkan peranan yang penting.



"Amalan wakaf ini sudah diuruskan di Singapura selama lebih dari 200 tahun dan hari ini Muis dan Warees Investments berjaya menguruskan aset wakaf yang telah membantu dan memanfaatkan ramai dalam kalangan masyarakat," kata beliau, sambil memberi contoh projek wakaf Red House dan Alias Villas.



"Nilai pendapatan dari projek ini dapat dilihat dan kini menjana pendapatan yang baik untuk menyokong usaha sosio-agama," tambahnya lagi.



Dalam pada itu, menurut Encik Abu Bakar, selain masjid dan madrasah, dana dari wakaf turut menyokong badan Melayu/Islam seperti 4PM, Casa Raudha dan Kelab Heal, antara lain.



"Jadi, jika melihatnya secara menyeluruh, wakaf kami menyokong setiap lapisan masyarakat kita hari ini," jelas beliau.



Tahun ini, Muis telah mengagihkan lebih $4.9 juta daripada wakaf yang diuruskannya kepada para penerima. Jumlah ini merupakan peningkatan 1 peratus berbanding tahun lalu.




DI DALAM






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >