Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Warga SG diburu FBI disyaki ubah wang, langgar sekatan Korea U

Apr 28, 2021 | 05:30 AM



SEORANG lelaki warga Singapura kini dikehendaki Biro Siasatan Federal (FBI) kerana disyaki mengubah wang dan melanggar sekatan untuk mengadakan perniagaan dengan Korea Utara.



Kwek Kee Seng, 61 tahun seorang pengarah agensi perkapalan di Singapura dikatakan menghantar minyak petroleum bernilai lebih AS$1.5 juta ($2 juta) ke negara itu.



Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata Kwek telah dituduh bersubahat untuk melanggar sekatan dan mengubah wang.



Dokumen mahkamah menyatakan Kwek terlibat dalam skim itu dari Februari 2018 hingga ke Mac tahun lalu, lapor The Straits Times.



Ejen Khas FBI Kevin Samaroo memberitahu mahkamah Kwek telah 'melibatkan diri dalam skim menyeluruh untuk mengelak sekatan Amerika dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu' dan telah cuba menyembunyikan identitinya dengan menggunakan beberapa syarikat palsu.



Syarikat-syarikat yang terlibat adalah Swansea Port Services di Singapura, Courage Maritime SA di Panama dan New Eastern Shipping di China.



Wang yang terlibat dalam skim itu dipercayai dialihkan menerusi bebilang akaun di institusi kewangan Amerika, satu percubaan untuk mengelak dikenal pasti.



Kwek disyaki membeli M/T Courageous - kapal tangki yang boleh memunggah 2,700 tan minyak - dengan harga AS$580,000 pada Julai 2019.



Antara Ogos dengan Disember 2019, kapal itu disyaki telah menutup Sistem untuk Mengenal Pasti Automatik (AIS) yang menunjukkan lokasi kapal tersebut.



Ejen Samaroo berkata pada September tahun yang sama Kwek disyaki membeli lebih 2.8 juta kilogram (kg) minyak dengan permit kelulusan kargo menyenaraikan Swansea Port Services sebagai ejen pemunggah bagi urus niaga itu.



Minyak itu selanjutnya dipindahkan dari Courageous ke sebuah kapal Korea Utara di Korea Bay.



Dokumen mahkamah memuatkan gambar satelit yang menunjukkan Courageous dihubungkan dengan kapal Korea Utara itu pada 25 September 2019 dan satu lagi gambar kapal itu di pelabuhan Nampo di Korea Selatan pada 4 November.



Courageous, yang dimiliki dan dikendalikan oleh Kwek, disita di Kemboja pada Mac tahun lalu.



Siasatan lanjut di kapal itu menunjukkan ia telah cuba menyamar sebagai sebuah kapal bernama Sea Cheetah.



Waran penangkapan federal bagi Kwek telah dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Amerika bagi Daerah Selatan New York.



Kes itu kini sedang dikendalikan oleh Unit Pengganasan dan Narkotik Antarabangsa di Pejabat Peguam Negara Amerika.



FBI pula telah mengeluarkan notis penangkapan bagi Kwek. Penolong pengarahnya William F. Sweeney Jr berkata Kwek kini dianggap orang buruan.



Menurut notis itu, Kwek kini dikehendaki kerana bersubahat berhubung membolehkan Korea Utara melaksana program nuklear.



Sekatan telah dikenakan terhadap negara itu untuk mencegahnya membangun senjata nuklear.



Peguam Negara Amerika Audrey Strauss berkata Kwek bersubahat untuk melanggar sekatan antarabangsa dengan mengatur penghantaran haram produk petroleum ke Korea Utara, dan menggunakan syarikat dan dokumen palsu untuk menghantar wang untuk menyokong negara itu menerusi sistem kewangan Amerika.



Justeru, Kwek kini menghadapi tuduhan jenayah dan kapalnya Courageous telah disita dan tidak lagi boleh digunakan untuk menyokong Korea Utara dalam mengelak sekatan antarabangsa, kata Cik Strauss.



DOJ berkata, meskipun Kwek kini masih belum ditemui, Amerika akan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menangkapnya.



Jika sabit kesalahan, Kwek boleh dipenjara sehingga 20 tahun bagi setiap tuduhan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >