Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Yayasan Temasek lancar endowmen $100j

Endowmen sebagai penghargaan buat mendiang hakim Richard Magnus atas sumbangannya; bertujuan menjaga kesejahteraan golongan ibu dan kanak-kanak yang memerlukan
Jun 05, 2023 | 05:47 PM



YAYASAN Temasek melancarkan sebuah dana endowmen baru bernilai $100 juta pada Isnin (5 Jun), bagi menghargai sumbangan besar mendiang hakim Richard Magnus untuk masyarakat kurang bernasib baik dan kepada yayasan itu semasa hidupnya.

Mendiang Encik Magnus adalah mantan hakim dan pengerusi perintis Temasek Cares, yang dinaungi Yayasan Temasek.

Endowmen itu bertujuan menyokong keperluan kesihatan dan psiko-sosial ibu dan kanak-kanak, serta program yang menyediakan penjagaan antenatal dan postnatal bagi ibu dan bayi mereka. Selain itu, dana tersebut akan menunjang inisiatif yang membangunkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Di bawah daya usaha itu, terdapat sebuah program bernama ‘Anchor’ (Sauh). Ia menyokong kanak-kanak yang menghadapi kesukaran atau peristiwa traumatik melalui lawatan ke rumah dan penilaian berkala terhadap perkembangan kesihatan, emosi, dan fizikal mereka.

Mendiang Encik Magnus berkhidmat selama 50 tahun dalam perkhidmatan awam dan memegang pelbagai peranan kepimpinan, termasuk sebagai pengerusi Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dan pengerusi pengasas Yayasan Temasek Cares.

Beliau, yang lahir pada 1944, meninggal dunia pada usia 77 tahun akibat serangan jantung pada Mac 2022.

Cik Nicole Magnus, cucu beliau, yang hadir di pelancaran endowmen itu berkata datuknya mencerminkan sifat baik hati serta mengajarnya tentang pentingnya membuat perubahan positif pada kehidupan orang di sekeliling mereka.

“Beliau selalu mempunyai botol air dalam keretanya untuk diberi kepada pekerja penghantar makanan atau posmen yang beliau terserempak,” kata Cik Magnus dalam satu temu bual bersama The Straits Times (ST).


Cik Magnus menambah: “Saya pernah nampak datuk saya mengundurkan keretanya di tempat letak kereta apabila beliau ternampak seorang tukang sapu jalan raya yang kelihatan penat. Datuk saya memberi pekerja itu duit untuk membeli minuman sejuk kerana hari itu panas. Saya nampak pekerja itu melahirkan rasa gembira.

“Setiap orang di sekitar datuk saya dihargai olehnya. Beliau bukan sahaja menjaga keluarganya atau mereka yang rapat dengannya, malah datuk menjaga sesiapa sahaja yang beliau terjumpa… Datuk mengambil berat tentang cerita kesakitan, derita, dan ketidakadilan,” ujar Cik Magnus.

Mendiang Encik Magnus menerajui usaha melibatkan ibu bapa, penjaga, dan masyarakat dalam membina masa depan lebih sihat untuk kanak-kanak dan keluarga. Antara bidang yang diambil berat olehnya ialah kesejahteraan ibu dan kanak-kanak, kata Encik Dilhan Pillay, pengarah eksekutif yang juga ketua eksekutif Temasek International, dalam satu temu bual bersama ST.

Di bawah kepimpinan beliau di Yayasan Temasek, sebuah hab yang menyepadukan kesihatan dan kesejahteraan dibuka di Poliklinik Punggol pada 2019. Hab itu dibina untuk penjagaan ibu dan anak-anak mereka, melalui saringan perkembangan, pemantauan pertubuhan, sokongan nutrisi dan laktasi, dan saringan bagi kemurungan postnatal ibu.

Berasaskan model sama, Hab Kesejahteraan Sepadu Ibu dan Anak (IMCWH) itu telah dibesarkan dan dibina di kawasan lain, termasuk poliklinik Bedok dan Tampines. Lewat tahun ini, ia akan dibina di Poliklinik Sengkang.

“IMCWH mencerminkan inti pati kerja datuk saya. Ia mencerminkan kesungguhannya demi menyokong dan memupuk ibu dan anak-anak mereka sepanjang kehidupan mereka,” kata Cik Magnus.

Apabila ditanya ST tentang hab itu, Encik Pillay berkata: “Richard seorang yang boleh mendampingi semua lapisan masyarakat. Sebagai individu, beliau penyayang dan mempunyai hati besar untuk membantu orang lain, serta memberi bantuan kepada mereka yang terdedah dan kurang bernasib baik. Beliau sering berusaha untuk mencipta perubahan positif dalam masyarakat.”

“Endowmen baru ini bukan sahaja untuk menghormatinya. Ia akan memainkan peranan sebagai suar perubahan sosial demi menangani keperluan semasa dan yang akan muncul,” tambah Encik Pillay.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >