Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Zaqy: Iktibar Pertahanan Mutlak bina daya tahan SG

Feb 16, 2021 | 05:30 AM



SUNGGUHPUN pandemik Covid-19 telah mengganggu aliran kehidupan biasa, warga Singapura tekal menonjolkan semangat kental dan berkeyakinan mengatasi segala rintangan bersama.



Namun, Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Zaqy Mohamad berkata bahawa perjalanan masyarakat ke arah pemulihan mungkin berlarutan dan berliku sifatnya.



"Hasil pemerhatian ke atas pelbagai usaha yang dilaksanakan di peringkat warga, jelas kita mampu mencapai kecemerlangan apabila bersatu hati.



"Singapura mampu mengatasi krisis ini dan muncul lebih kuat berbanding dulu. Sebagai satu negara, kita teguh bersama," ujar Encik Zaqy.



Beliau menyampaikan kata-kata perangsang tersebut sewaktu berucap dalam majlis memperingati Hari Pertahanan Mutlak 2021 di Wisma Teroka Singapura (SDC), Upper Jurong Road, semalam.



Acara tahunan anjuran Kementerian Pertahanan (Mindef) itu disalurkan secara langsung menerusi wadah Facebook Live halaman We are Total Defence.



Sehubungan itu, beliau menggalak warga supaya terus memainkan peranan melalui pelbagai teras Pertahanan Mutlak untuk membina negara yang lebih berdaya tahan.



Natijah enam teras itu ialah perpaduan warga demi mencapai keamanan dan kebahagiaan Singapura, tambahnya.



Bahkan, enam teras itulah yang berperanan 'mengemudi' Singapura menjalani tempoh sukar seperti penularan Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003 dan ancaman pengganasan.



"Dalam cara tersendiri, tidak kira besar ataupun kecil, setiap daripada kita telah memainkan peranan mengekang penularan virus dan membantu anggota masyarakat yang lain.



"Ketika penularan virus memuncak dulu, warga Singapura bersatu padu mematuhi arahan duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan selamat.



"Kita juga menunjukkan penghargaan terhadap pekerja barisan depan atas segala keringat mereka serta menyokong satu sama lain," ujarnya.



Selepas menamatkan ucapan, beliau dibawa meneroka pameran tetap SDC bertajuk Through the Lens of Time secara maya.



Encik Zaqy ditemani pemuzik dan penghasil video setempat Annette Lee.



Pameran tersebut mengetengahkan kejadian besar dalam lipatan sejarah negara seperti zaman pendudukan Jepun, tempoh pembangunan negara dan cabaran yang bakal dihadapi.



Lawatan maya itu turut memaparkan bahagian utama pameran seperti permainan realiti terimbuh (AR) dan imbas semula kisah daya tahan serta perpaduan yang membolehkan Singapura mengatasi pelbagai cabaran.



Lanjutan itu, Encik Zaqy mengacarakan sesi mendekati 110 peserta belia bagi membincangkan mauduk Pertahanan Mutlak Masa Depan.



Dalam perbincangan tersebut, peserta berkongsi pandangan tentang kerelevanan Pertahanan Mutlak sebagai penyatu masyarakat demi menangani krisis pandemik dan cabaran lain yang negara hadapi dari segi keselamatan.



Belia juga merebut peluang melontarkan beraneka jenis idea dan usaha melaksanakan Pertahanan Mutlak pada hari muka.



Setiap tahun, Hari Pertahanan Mutlak diperingati pada 15 Februari. Semboyan turut dibunyikan pada 6.20 petang semalam.



Pada tarikh itu, Singapura tumpas di tangan Jepun pada 1942 semasa Perang Dunia Kedua.



Menurut Mindef, tema kempen Pertahanan Mutlak tahun ini ialah Together We Keep Singapore Strong (Bersama Kita Teguhkan Singapura).



Orang ramai boleh menyertai pelbagai kegiatan menarik mulai sekarang hingga bulan depan.



Antaranya ialah webinar menghuraikan kepalsuan dalam talian anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) esok dan bengkel bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta cara menggunakan defibrilator luaran automatik (AED) anjuran Palang Merah Singapura (SRC) Jumaat ini.



Masyarakat juga boleh meneroka pameran khas Pertahanan Mutlak di SDC yang tamat 28 Mac.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >