Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1 dalam 4 penjaga individu kurang upaya adalah warga senja

Dec 2, 2024 | 8:23 PM
Laporan trend orang kurang upaya terbitan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember mendapati hampir seorang dalam empat penjaga orang kurang upaya berusia 65 tahun dan ke atas.
Laporan trend orang kurang upaya terbitan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember mendapati hampir seorang dalam empat penjaga orang kurang upaya berusia 65 tahun dan ke atas. - Foto fail

Hampir seorang dalam empat penjaga orang kurang upaya berusia 65 tahun dan ke atas, dengan lebih tiga dalam lima daripada penjaga golongan itu merupakan wanita.

Demikian menurut laporan trend orang kurang upaya terbitan bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember.

Laporan itu menghimpunkan data daripada badan dan kementerian berkepentingan merangkumi aspek seperti pekerjaan inklusif dan sikap orang awam terhadap golongan kurang upaya.

Ini di tengah-tengah penduduk Singapura yang kian menua, dengan seorang dalam empat warga Singapura dijangka mencapai usia 65 tahun dan ke atas menjelang 2030, menurut Pelan Tindakan 2023 bagi Penuaan Berjaya oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Laporan itu menukil kajian panel ketidakupayaan dan inklusiviti (Dips) yang dijalankan ke atas 2,000 orang kurang upaya yang diketahui pemerintah dan 2,000 penjaga orang kurang upaya, yang mendapati 67.9 peratus penjaga orang kurang upaya adalah wanita.

Daripada kadar itu, lebih separuh berusia 50 tahun dan ke atas.

Merungkaikan hasil laporan itu, Zamil Penyelidik Utama di Institut Kajian Dasar (IPS) Singapura, Dr Mathew Mathews, berkongsi bahawa cabaran penjagaan mungkin akan bertambah apabila penjaga sendiri meningkat usia sealiran dengan peningkatan bilangan orang kurang upaya.

“Sudah jelas bahawa penduduk yang semakin tua dan saiz keluarga yang lebih kecil di Singapura akan memberi tekanan lebih besar kepada penjaga orang kurang upaya.

“Kita sudah merasakannya sekarang, dan tekanan ini lebih ketara bagi mereka dalam generasi terhimpit (sandwiched generation).

“Walaupun langkah semasa memberi sokongan, terdapat ruang untuk meningkatkan inisiatif (sokongan) ini untuk menangani keperluan yang semakin berkembang,” ujarnya.

Beliau menggariskan usaha di bawah Pelan Induk bagi menyokong golongan kurang upaya 2030 untuk meringankan beban penjaga melalui dua cara.

Pertama, terbentuknya pasukan petugas kehidupan bermasyarakat bagi orang kurang upaya; dan kedua, pasukan petugas menggalakkan amalan pekerjaan inklusif.

Tujuan pasukan petugas pertama adalah untuk memperkasa orang kurang upaya hidup berdikari, sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap penjaga.

Pasukan petugas kedua pula menyokong inisiatif pengambilan pekerja dan peningkatan kemahiran inklusif, membolehkan lebih ramai orang kurang upaya menyertai tenaga kerja dan mengurangkan beban penjagaan.

“Bersama, langkah-langkah ini berusaha untuk mengimbangi permintaan penjagaan dengan sistem sokongan yang mampan,” jelas beliau.

Laporan itu menambah bahawa lebih separuh (54 peratus) daripada penjaga orang kurang upaya merupakan ibu bapa manakala 19.5 peratus merupakan pasangan kepada golongan sedemikian.

Dalam kalangan penjaga yang menjaga pasangan kurang upaya, 64.2 peratus daripada mereka menjaga individu yang mengalami ketidakupayaan fizikal, manakala ibu bapa yang menjaga golongan sedemikian, 33.7 peratus menjaga individu yang mengalami ketidakupayaan intelektual.

Laporan itu diterbitkan MSF dan NCSS buat julung-julung kali, sedang Singapura melakar hala tuju ke arah wawasan masyarakat lebih terangkum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg