Sebagai seorang pemandu teksi yang menjana sekitar $60 sehari, Encik Ramlee Kasiman, 66 tahun, menjalankan kehidupan dengan sederhana.
Beliau jarang berbelanja mewah kerana kebanyakan pendapatannya digunakan untuk barang dapur yang dibeli isterinya, Cik Asmah Yassmin, 63 tahun, tiga kali seminggu.
Namun, beban perbelanjaan isi rumah mereka kian dirasai akibat penyakit kencing manis yang dihidapi Cik Asmah.
Lantas, mereka cuba untuk membeli barang dapur seperti roti atau buah-buahan yang disahkan lebih sihat, meskipun lebih mahal.
“Kami berusaha untuk makan lebih sihat demi menjaga kesihatan saya, tetapi makanan sihat selalunya lebih mahal.
“Kadangkala, kami terpaksa berbelanja lebih meskipun perbelanjaan bulanan lebih membebankan,” kata Cik Asmah.
Mujur, beliau adalah antara lebih daripada 1.5 juta rakyat Singapura yang layak menerima sehingga $850 dalam bentuk Baucar GST (GSTV ) – Tunai pada Ogos tahun ini, sebagai sebahagian usaha pemerintah meringankan kos sara hidup.
Bergantung kepada pendapatan yang boleh ditaksir sehingga $39,000 bagi tahun taksiran 2024, setiap rakyat Singapura berumur 21 tahun dan ke atas yang juga mempunyai paling banyak sebuah hartanah dengan nilai tahunan sehingga $21,000 bakal menerima wang tunai sebanyak $850.
Wang tunai $450 pula akan diberikan jika mereka berusia sekurang-kurangnya 21 tahun pada 2025, mempunyai pendapatan boleh taksir maksimum sebanyak $39,000 pada tahun taksiran 2024, dan memiliki paling banyak sebuah hartanah dengan nilai tahunan antara $21,000 dengan $31,000.
Penerima yang layak akan menerima bayaran tersebut secara automatik melalui PayNow mulai 6 Ogos, jika mereka sebelum ini telah menghubungkan nombor kad pengenalan atau NRIC mereka kepada PayNow melalui bank mereka, kata Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada 7 Julai.
Mereka yang memilih kaedah Giro akan menerima bayaran tersebut mulai 15 Ogos, manakala penerima yang memilih GovCash akan menerimanya mulai 22 Ogos.
Penerima akan dimaklumkan melalui SMS selepas wang tersebut telah dipindahkan, manakala mereka yang tidak mempunyai nombor yang didaftar dengan Singpass akan menerima surat makluman ke alamat dalam kad pengenalan mereka.
MOF berkata ambang pendapatan boleh taksir untuk bayaran tunai pula telah dinaikkan daripada $34,000 kepada $39,000 mulai Ogos untuk mengekalkan liputan skim itu, memandangkan “pendapatan rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan sederhana bertambah baik”.
Disebabkan umur dan nilai hartanah beliau, Encik Ramlee juga antara mereka yang layak menerima tokokan dalam bentuk GSTV – MediSave.
Jumlah tertinggi sebanyak $450 akan dikreditkan kepada mereka yang berumur 85 tahun dan ke atas pada 2025, memiliki paling banyak satu hartanah dengan nilai tahunannya sehingga $21,000 pada 2024.
Tokokan tersebut akan dikreditkan secara automatik ke dalam Akaun MediSave Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Memandangkan pekerjaan Encik Ramlee yang tidak ada sumbangan kepada akaun CPF beliau, bantuan yang diterima memberi kelegaan kepadanya.
“Dengan adanya bantuan ini, saya dapat membeli barangan dapur yang lebih sihat untuk isteri saya.
“Bantuan MediSave ini amat bermakna kerana sekiranya timbul keperluan rawatan kesihatan secara tiba-tiba, saya sekurang-kurangnya mempunyai sedikit simpanan untuk menampung kosnya,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg