Topik diikuti
Pergi ke BHku1 dalam 7 keluarga di S’pura berpendapatan sekurang-kurangnya $30,000 sebulan
1 dalam 7 keluarga di S’pura berpendapatan sekurang-kurangnya $30,000 sebulan
Tinjauan: Pendapatan keluarga Melayu meningkat tetapi gaji median masih ketinggalan di belakang masyarakat lain
1 dalam 7 keluarga di S’pura berpendapatan sekurang-kurangnya $30,000 sebulan
Pendapatan pasaran isi rumah bagi keluarga Melayu meningkat 2.3 peratus pada 2025 berbanding 2020, sejajar dengan trend serupa merentasi semua kaum di Singapura.
Bagaimanapun, pendapatan pasaran isi rumah median masyarakat Melayu masih ketinggalan berbanding kaum lain, menurut Tinjauan Isi Rumah Umum 2025 yang dapatannya dikongsi Jabatan Perangkaan pada 30 Jun.
Pendapatan pasaran isi rumah median pada 2025 bagi orang Melayu ialah $8,581 sebulan berbanding kaum India iaitu $13,382 sebulan dan $12,969 sebulan bagi kaum Cina.
Pada 2020, perangkaannya ialah $6,514 sebulan bagi kaum Melayu, $9,597 bagi kaum India dan $9,469 bagi kaum Cina.
Pendapatan pasaran merujuk kepada pendapatan daripada sumber pekerjaan dan bukan pekerjaan, seperti pendapatan sewa dan pelaburan.
“Isi rumah penduduk mencatatkan pertumbuhan dalam pendapatan pasaran isi rumah purata dan median bulanan antara 2020 dengan 2025.
“Pendapatan pasaran isi rumah median dalam kalangan isi rumah penduduk meningkat sebanyak 6.5 peratus setahun, daripada $9,099 pada 2020 kepada $12,446 pada 2025,” menurut laporan itu.
Tinjauan terkini itu juga menunjukkan bahawa peratusan keluarga dengan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya $30,000 telah meningkat hampir seganda dalam tempoh lima tahun yang lalu, dengan sekitar satu daripada tujuh isi rumah memperoleh jumlah ini pada 2025.
Pada 2025,13.4 peratus isi rumah penduduk mempunyai pendapatan pasaran bulanan sebanyak $30,000 atau lebih, meningkat daripada 7.4 peratus pada 2020.
Kadar isi rumah penduduk yang berpendapatan sekurang-kurangnya $12,000 sebulan juga meningkat daripada 38.2 peratus pada 2020 kepada 51.6 peratus pada 2025, menurut tinjauan itu.
Ia menyatakan, bahagian isi rumah penduduk dalam golongan pendapatan yang lebih tinggi meningkat antara 2020 dengan 2025, selaras dengan peningkatan pendapatan pasaran isi rumah median.
Pada 2025, pendapatan pasaran isi rumah median bagi isi rumah penduduk ialah $12,446 – kali pertama ia melepasi paras $12,000. Ia meningkat daripada $9,099 pada 2020.
Laporan tinjauan itu menyatakan bahawa pendapatan pasaran isi rumah sebenar, atau selepas diselaraskan dengan inflasi, meningkat antara 2020 dengan 2025 bagi ketiga-tiga kaum di Singapura.
Keluarga India menyaksikan peningkatan terbesar pada 3.5 peratus setahun, diikuti oleh Cina pada 3.1 peratus. Peningkatan bagi keluarga Melayu adalah 2.3 peratus.
Tinjauan Isi Rumah Umum itu turut menunjukkan trend dalam perkahwinan, pendapatan, pendidikan dan perumahan penduduk Singapura.
Antara lain, ia menunjukkan bahawa lebih ramai orang Melayu berumah tangga pada 2025 berbanding lima tahun lalu – 61.7 peratus orang Melayu sudah berumah tangga pada 2025 berbanding 56.6 peratus pada 2020.
Namun, patut dinyatakan bahawa 2020 merupakan kemuncak pandemik Covid-19.
Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Melayu juga menurun kepada 4.7 peratus pada 2025 daripada 5.3 peratus pada 2020.
Dalam pada itu, secara am, lebih ramai penduduk Singapura di bawah 40 tahun membujang.
Dalam kalangan penduduk wanita, mereka yang berumur 25 hingga 29 tahun menyaksikan peningkatan terbesar dalam perkadaran bujang, meningkat daripada 69 peratus pada 2020 kepada 73.4 peratus pada 2025.
Dalam kalangan penduduk lelaki, mereka yang berumur 30 hingga 34 tahun mencatatkan peningkatan terbesar jumlah yang hidup membujang, daripada 41.9 peratus pada 2020 kepada 47.6 peratus pada 2025.
Dari segi agama, dalam kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas, 30.9 peratus menganut agama Buddha, 17.1 peratus menganut agama Kristian, 15 peratus menganut agama Islam, 7.3 peratus menganut agama Tao, dan 5.4 peratus menganut agama Hindu pada 2025.
Peratusan penduduk tanpa sebarang agama meningkat daripada 20 peratus pada 2020 kepada 23.9 peratus pada 2025.
Dapatan lain Tinjauan Isi Rumah Umum 2025
- Antara 2020 dengan 2025, kadar penduduk berumur 25 tahun ke atas dengan kelayakan pendidikan sekolah menengah atau lebih tinggi meningkat kepada 64.8% daripada 58.3%
- Kadar pemilikan rumah meningkat daripada 87.9% pada 2020 kepada 91.2% pada 2025
- Pada 2025, 60.1% penduduk yang bekerja pergi ke tempat bertugas dengan menaiki bas awam, MRT/LRT, atau gabungannya dengan mod lain, meningkat daripada 57.7% pada 2020.
- Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa yang paling kerap digunakan di rumah-rumah di Singapura, digunakan oleh 58.1% penduduk, meningkat daripada 48.3% pada 2020
