Seorang maut dalam satu kebakaran yang berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Choa Chu Kang pada dinihari 24 September.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan di Facebook bahawa anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Batok dan Woodlands dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 692A Choa Chu Kang Crescent pada sekitar 6 pagi.
“Kebakaran membabitkan ruang tamu dan bilik tidur sebuah unit di tingkat sembilan. Anggota bomba terpaksa memecah masuk untuk mendapatkan akses ke unit tersebut.
“Api berjaya dipadamkan dengan pancutan air dan dua beg galas busa udara termampat. Akibat kebakaran itu, seluruh unit mengalami kerosakan akibat bahang dan asap,” kata SCDF.
Hanya seorang sahaja mangsa ditemui dalam unit terjejas itu, dan beliau dibawa keluar dari flat oleh anggota bomba.
Mangsa, bagaimanapun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik, kata SCDF.
SCDF dan polis memindahkan sekitar 150 orang dari blok terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.
Kira-kira 9 pagi, ketika The Straits Times (ST) tiba, sekurang-kurangnya lapan kereta polis, tiga trak bomba dan sebuah kenderaan Red Rhino kelihatan berhampiran blok itu.
Seorang jiran tingkat atas yang mahu dikenali sebagai Cik Chong berkata, beliau tersedar apabila mendengar bunyi bergemeretak sekitar 5 pagi.
“Saya nampak asap masuk ke dalam bilik tidur saya. Apabila saya membuka pintu utama saya, asap berkepul di koridor dan memasuki rumah saya. Saya agak unit berhampiran saya terbakar dan mula menjerit ‘Api!’ untuk mengejut jiran-jiran lain,” katanya kepada ST.
“Kami tidak rapat dengan jiran dari unit yang terjejas, tetapi kami tahu bahawa seorang ibu dan anak tinggal di sana bersama.”
Punca kebakaran sedang disiasat.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam, menulis di hantaran Facebooknya sejurus selepas kebakaran itu, bahawa Majlis Bandaran akan menghulurkan bantuan di lokasi kejadian tidak lama lagi.
Berdasarkan perangkaan tahunan SCDF, kebakaran pada 2023 naik 8.6 peratus dari tahun sebelumnya, ke 1,954 kes. Dua punca utamanya adalah kebakaran elektrik dan memasak tanpa pengawasan.
Selain itu, kecederaan akibat kebakaran turun daripada 171 kepada 81 kes, dan jumlah kematian daripada lapan kepada tiga kes dari 2022 hingga 2023, tambah SCDF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg