Sebanyak 10 apartmen mewah di River Valley dan Tanjong Pagar berkaitan dengan kes pengubahan wang haram bernilai $3 bilion, bakal ditawarkan untuk jualan pada harga panduan antara $2.238 juta dengan $6.78 juta.

Apartmen tersebut merupakan kumpulan pertama daripada lebih 80 hartanah yang dikaitkan dengan kes tersebut, dengan pemerintah mahu mencairkan aset yang dirampas semasa siasatan.

Agensi hartanah SRI dilantik sebagai agensi pemasaran eksklusif untuk mengendalikan lelongan bagi 10 hartanah berkenaan, yang bakal berlangsung pada 23 September di pejabat SRI di Great World City.

Selain SRI, dua lagi firma broker iaitu Edmund Tie & Company dan Knight Frank turut dilantik untuk mengendalikan lelongan hartanah berkenaan.

Sementara itu, beberapa hartanah terpilih dalam kes itu akan dipasarkan oleh syarikat List International Realty menerusi proses penyataan hasrat pembelian.

Firma perakaunan, Deloitte Singapore, pada 29 Ogos lalu menyatakan lebih 80 hartanah yang dikaitkan dengan siasatan kes itu akan dilelong secara berperingkat.

Deloitte Singapore dilantik oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 2025 bagi mengurus dan mencairkan aset bukan tunai yang dirampas berhubung kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura itu.

Portfolio SRI merangkumi enam apartmen mewah di Martin Modern yang merangkumi unit dua, tiga dan empat bilik tidur, berkeluasan antara 764 kaki persegi dengan 1,733 kaki persegi.

Harga bagi setiap kaki persegi bermula daripada $2,874. Harga panduan bagi unit tersebut adalah antara $2.238 juta dengan $4.98 juta.

Terletak di kawasan River Valley, Martin Modern berada dalam jarak berjalan kaki ke Great World City dan Stesen Great World di Laluan Thomson-East Coast (TEL).

Lelongan itu juga bakal menyaksikan penjualan empat apartmen di Wallich Residence, yang terdiri daripada unit tiga dan empat bilik tidur.

Apartmen tersebut mempunyai keluasan antara 1,313 dengan 1,991 kaki persegi. Harga bagi setiap kaki persegi bermula daripada $3,347.

Wallich Residence terletak dalam Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan berhampiran dengan Tanjong Pagar Plaza.

Menurut SRI, apartmen yang disenaraikan itu mempunyai harga panduan antara $4.42 juta dengan $6.78 juta.

Syarikat lelongan tempatan, Hotlotz, sebelum ini mengumumkan sebanyak 15 siri lelongan akan dijadualkan antara September 2026 dengan Mei 2027. 

Lebih 1,000 barangan dijangka disenaraikan untuk lelongan.

Dua acara lelongan – satu untuk barang kemas dan satu untuk beg tangan – akan diadakan pada 7 September sebagai sebahagian fasa pertama proses jualan tersebut.

Bidaan dalam talian akan dibuka pada 10 pagi, 7 September dan ditutup pada 4 petang, 20 September.

Menurut Hotlotz, katalog digital bagi barangan yang disenaraikan dalam dua lelongan pertama berkenaan akan diterbitkan di laman webnya pada 10 pagi, 7 September.

Jualan pertama itu merangkumi lebih 300 beg tangan dan aksesori mewah daripada pelbagai jenama termasuk Chanel, Louis Vuitton dan Christian Dior; serta lebih 250 barang kemas daripada jenama seperti Graff, Bulgari dan Van Cleef & Arpels.

Kesemua hasil daripada jualan aset berkenaan akan dimasukkan ke dalam Dana Yang Disatukan (Consolidated Fund).

Seorang jurucakap polis menyatakan bahawa kira-kira $1.4 bilion, yang merangkumi wang tunai dalam akaun bank yang disita serta hasil pencairan aset lain, telah dimasukkan ke dalam Dana Yang Disatukan setakat akhir tahun kewangan 2025.

Siasatan ke atas kes pengubahan wang haram itu menyaksikan polis melancarkan serbuan di seluruh negara pada 15 Ogos 2023 yang membawa kepada penahanan 10 warga asing, dengan kesemuanya telah pun disabitkan kesalahan dan diusir dari Singapura.