Pengguna pengangkutan awam yang menetap di daerah timur laut Singapura berpeluang menikmati lebih banyak diskaun tambang perjalanan pada pagi hari bekerja.
Ini apabila mereka mengambil perkhidmatan bas ekspres terpilih, sebagai alternatif kepada kereta api mulai 2 Januari.
Buat pertama kali, diskaun atau rebat hingga 80 peratus daripada tambang perjalanan akan turut diperluas kepada perjalanan kereta api.
Diskaun tersebut boleh dinikmati apabila penumpang MRT yang layak dari kawasan timur laut menukar waktu perjalanan pagi untuk mengelakkan waktu paling sibuk antara 7.15 dengan 8.45 pagi.
Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 20 Disember, inisiatif tersebut bertujuan menggalak penumpang mengelakkan waktu sibuk sebelah pagi di rangkaian MRT, lapor The Straits Times (ST).
Ia adalah program Inisiatif Perjalanan Bijak (TSJ) dipertingkat, yang memberi mata kepada peserta yang layak. Mata yang terkumpul boleh ditebus untuk menerima kredit.
Program tersebut dilancarkan pada 2020 sebagai percubaan dan diperluaskan pada 2023 untuk meringankan beban di Laluan Timur Laut (NEL) yang sesak.
Ia dihentikan sementara pada 25 November untuk kerja-kerja naik taraf. Sebelum program tersebut dihentikan, terdapat kira-kira 21,000 peserta yang layak menyertai skim itu.
Apabila khidmatnya disambung semula pada 2 Januari, skim tersebut akan menyertakan empat lagi perkhidmatan bas ekspres, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 bas ekspres, kata LTA.
Perkhidmatan bas ekspres tambahan ini ialah Perkhidmatan Langsung ke Bandar (CDS) 675, 676, 677 dan 678, yang akan mula beroperasi pada 2 Januari.
Program TSJ juga menyertakan perkhidmatan bas CDS 660M – satu variasi bagi laluan ekspres CDS 660 sedia ada.
Kesemua perkhidmatan bas ekspres dalam skim tersebut menghubungkan kawasan timur laut Singapura ke tempat pekerjaan utama di Kawasan Pusat Bandar (CBD), MacPherson dan Paya Lebar.
Perubahan terbesar ialah menyertakan perjalanan kereta api dalam program tersebut: penumpang yang memulakan perjalanan dari stesen MRT Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok atau Hougang, atau mana-mana stesen di laluan LRT Punggol dan Sengkang, juga layak mendapat diskaun.
Walaupun tumpuan kini kepada perjalanan yang bermula dari timur laut, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, menyatakan program tersebut mungkin diperluaskan ke laluan MRT lain pada masa depan.
Untuk layak mendapat insentif TSJ, penumpang perlu memasuki mana-mana stesen NEL antara Punggol Coast dan Hougang, atau mana-mana stesen di sepanjang laluan LRT Punggol dan Sengkang dengan kad perjalanan, dari 7.15 hingga 8.45 pagi.
Ini untuk sekurang-kurangnya enam hari bekerja dalam tempoh 30 hari sebelumnya.
Ini bagi menunjukkan mereka sering menaiki laluan MRT tersebut pada waktu sibuk pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg