Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laluan berbasikal 60km akan dibina jelang 2029

Dec 20, 2024 | 2:50 PM
Satu ilustrasi yang menggambarkan laluan berbasikal baru yang akan dibina di Bukit Merah, sepanjang Alexandra Road.
Satu ilustrasi yang menggambarkan laluan berbasikal baru yang akan dibina di Bukit Merah, sepanjang Alexandra Road. - Foto LTA

Orang awam yang berbasikal di sekitar Bukit Merah, Bukit Timah, Kallang, dan kawasan tengah bandar akan menikmati prasarana berbasikal lebih baik sepanjang 60 kilometer menjelang 2029.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) membuka tender pada 18 Disember untuk pembinaan prasarana baru itu.

Antara pembinaan prasarana baru yang akan dijalankan termasuk laluan khas untuk berbasikal serta laluan kongsi, dengan sebahagian daripadanya mempunyai bumbung.

Laluan kongsi yang biasanya ditandai dengan garis merah bertitik, boleh digunakan oleh kedua-dua pejalan kaki dan pengguna alat pergerakan peribadi (PMD), termasuk penunggang basikal.

Dalam satu kenyataan yang dibuat LTA, rancangan tentatifnya adalah untuk memulakan pembinaan lebih kurang 60 kilometer laluan tambahan pada awal 2026.

Sebelum tender pembinaan laluan tambahan ini dibuka, LTA sudah mula membina laluan berbasikal sepanjang 20 kilometer, yang dijangka bakal siap pada Disember 2025, di empat kawasan itu.

Kini terdapat lebih 660 kilometer laluan berbasikal dan penghubung taman di seluruh Singapura dan menjelang 2030, ia dijangka akan meningkat kepada sekitar 1,300 kilometer dengan 80 peratus penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berada dalam jarak beberapa minit sahaja dari rumah ke laluan berbasikal mereka.

Di bawah tender baru LTA, laluan basikal sepanjang 23 kilometer yang akan dibina di Bukit Merah, meliputi sebahagian besar kawasan perumahan di situ.

Melalui dokumen tender yang diteliti akhbar The Straits Times, pembinaan ini akan meliputi kawasan di sepanjang Jalan Bukit Merah, Tiong Bahru Road, Lower Delta Road dan Alexandra Road, serta Hoy Fatt Road, Lengkok Bahru, Redhill Close, dan kawasan perumahan di Telok Blangah Heights.

Di Bukit Timah, rangkaian berbasikal pula akan ditambah sejauh 11 kilometer.

Laluan berbasikal baru di kawasan Dunearn Road akan dibina dari Jalan Anak Bukit ke Laluan Atas Farrer, sebelum disambungkan ke selatan, sepanjang Farrer Road sehingga Leedon Heights.

Laluan baru juga akan dibina di Bukit Timah Road, antara Laluan Atas Farrer dengan Lewis Road dan antara Stevens Road dengan Balmoral Road.

Laluan berbasikal baru di pusat bandar akan ditambah di Tanglin, Orchard Boulevard, Cavenagh Road, Selegie, Beach Road, Raffles Boulevard dan Republic Boulevard, serta Telok Ayer, Anson dan Keppel.

Ini akan menambah laluan berbasikal di pusat bandar sehingga sejauh 16 kilometer.

Di Kallang, 11 kilometer laluan berbasikal akan ditambah ke tempat seperti Kallang Bahru, Tessensohn Road, dan Tanjong Rhu.

Dalam hantaran Facebook pada 18 Disember, LTA menyatakan bahawa laluan baru di Bukit Timah akan memberikan penunggang basikal akses lebih mudah ke pusat bandar pada masa hadapan, kerana laluan ini akan bersambung dengan Koridor Utara-Selatan (NSC) yang akan datang.

Siswazah, Encik Ong Jia Cheng, 22, yang sering berbasikal, percaya penambahbaikan laluan di Bukit Merah akan menjadikan pejalan kaki dan penunggang basikal berasa lebih selamat dan selesa apabila menggunakan jalan utama seperti di Jalan Bukit Merah, yang kini hanya mempunyai laluan pejalan kaki yang sempit.

“Jika saya berbasikal, saya lebih suka elak menggunakan laluan pejalan kaki di sana kerana ia berbahaya untuk berbuat demikian,” kata Encik Ong, sambil menambah bahawa ini mungkin berubah dengan laluan berbasikal baru yang akan dibina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg