Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat politik: PM Wong dijangka tekan keupayaan, semai keyakinan dalam ucapan sulung

Isu kos sara hidup, perumahan, pekerjaan antara topik dijangka diketengahkan
Aug 17, 2024 | 5:30 AM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah, baju merah), akan menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos, sejak beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura pada 15 Mei.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah, baju merah), akan menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada 18 Ogos, sejak beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri keempat Singapura pada 15 Mei. - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dijangka menggunakan ucapan sulung di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap keupayaan kepimpinannya menghadapi cabaran di dalam dan luar negara dalam keadaan geopolitik dan ekonomi yang tidak menentu ini, kata pengamat politik.

Ini selain bercakap mengenai isu-isu yang dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan.

Encik Wong telah mengumumkan rancangan pemerintah memperkukuh sokongan sosial bagi golongan lebih memerlukan semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan pada 8 Ogos.

Menjawab soalan Berita Harian (BH), pemerhati politik juga berkata ucapan sulung Encik Wong di NDR ini juga menarik perhatian kerana ia berlangsung menjelang Pilihan Raya Umum (GE) yang perlu diadakan menjelang November 2025.

Dr Mustafa Izzuddin Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies berkata ucapan sulung NDR Encik Wong penting kerana ia “menetapkan nada dan hala tujunya sebagai Perdana Menteri dan memperkenalkan gaya kepimpinan politiknya kepada penduduk domestik di Singapura”.

Bersependapat, pengamat politik, Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata antara lain, Encik Wong dijangka berkongsi visinya untuk Singapura dan peranan yang dapat dimainkan warga Singapura untuk mencapai visi ini.

Menambah, Profesor Tan berkata kandungan ucapan Encik Wong dijangka mencerminkan keupayaan kepimpinan 4G untuk membawa Singapura ke tahap yang lebih tinggi.

Ia turut akan menunjukkan pemerintah yang diketuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) kekal berkebolehan, cekap, boleh dipercayai, adil dan komited kepada pelbagai kaum, kata beliau.

“Mesej yang membawa keyakinan dan kepercayaan (dalam warga Singapura) akan menjadi mesej yang ingin disampaikannya ketika beliau mengetuai parti pemerintah ke Pilihan Raya Umum (GE) akan datang,” kata Profesor Tan, yang berkata beliau menjangka Encik Wong bercakap mengenai topik meluas.

“Beliau akan mahu meninggalkan kesan yang kuat daripada NDR pertamanya,” kata beliau.

Encik Wong, selaku Perdana Menteri keempat Singapura, akan menyampaikan ucapan sulung di Rapat Hari Kebangsaan 2024 yang bakal diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 18 Ogos.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei, mengambil alih jawatan daripada Encik Lee Hsien Loong, yang kini menggalas jawatan Menteri Kanan.

NDR, yang biasanya diadakan selepas perayaan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos, adalah ucapan penting yang memberi peluang kepada perdana menteri untuk mengumumkan dasar baru atau hala tuju negara di masa depan.

Encik Lee dan perdana menteri kedua Singapura, Encik Goh Chok Tong, sebelum ini telah menggunakan ucapan pertama di Rapat Hari Kebangsaan untuk membuat pengumuman yang memberikan sedikit gambaran hala tuju kepimpinan masing-masing.

Pada NDR 1991, Encik Goh, kini Menteri Kanan Emeritus, mengumumkan beliau akan memanggil pilihan raya tidak lama selepas acara tersebut demi mendapatkan mandat yang jelas daripada rakyat.

Pada NDR 2004, Encik Lee pula memperkenalkan perubahan pada dasar pendidikan supaya kakitangan perkhidmatan awam bekerja lima hari seminggu.

Beliau turut mengumumkan peluasan kegiatan yang dibenarkan di Speakers’ Corner, dengan membenarkan persembahan dan pameran di adakan di sana selain menjadi tempat untuk berucap semata-mata.

Beliau juga menggunakan NDR pada tahun itu untuk mencetus idea membina kasino dalam resort bersepadu.

Zamil Kanan di Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata adalah tidak pasti sama ada Encik Wong bakal membuat pengumuman besar di NDR 2024.

Namun beliau akur setiap pengumuman yang dilakukan oleh Encik Wong boleh dianggap sebagai pengumuman yang besar kerana ramai yang sedang memerhati cara Perdana Menteri baru melaksanakan amanahnya.

“Apakah ada cara pemikiran yang baru? Itu akan menjadi tumpuan, bukan hanya pada dasar-dasar kecil, satu dua dasar sahaja, tetapi sama ada dari segi ideologi atau cara berfikir yang berbeza,” kata Dr Norshahril, yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau di Iseas.

Berdasarkan ucapan Encik Wong di Amanat Hari Kebangsaan dan ucapan lain yang diberikannya sejak menjadi Perdana Menteri, pemerhati politik yang dihubungi BH berkata mereka menjangka Encik Wong bercakap mengenai hal keperluan warga Singapura seperti kos sara hidup, pekerjaan dan perumahan.

Beliau juga dijangka menyentuh mengenai ekonomi negara, pendigitalan dan peranan Kecerdasan Buatan (AI) di sini serta isu geopolitik yang termasuk konflik Israel-Palestin dan kesannya terhadap Singapura dan rakyat.

Bagi masyarakat Melayu/Islam khususnya, Dr Mustafa berkata Encik Wong boleh dijangka menekankan kemajuan masyarakat itu termasuk inisiatif M Kuasa Tiga (M3) yang diterajui Anggota Parlimen Melayu/Islam PAP.

“Encik Wong juga ingin menyampaikan mesej bahawa beliau sependapat dengan Encik Lee mengenai kepentingan masyarakat Melayu/Islam bagi memelihara kompak sosial domestik; menganggap warga Melayu/Islam menjadi tumpuan utama dalam inisiatif Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura) beliau,” jelas Dr Mustafa.

Sejak dipilih oleh rakan seangkatan di PAP sebagai ketua pasukan generasi keempat (4G) parti tersebut pada April 2022, Encik Wong, yang menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu selanjutnya mengetuai usaha Melakar Hala Tuju Singapura yang bertujuan memperbarui perjanjian atau kompak sosial dengan rakyat.

Laporan susulan yang dikeluarkan pada Oktober 2023 menetapkan agenda awam yang menggesa rakyat bekerjasama dengan pemerintah untuk membina masyarakat yang adil, penyayang dan inklusif, berdasarkan maklumat yang dikumpulkan daripada usaha Melakar Hala Tuju Singapura yang melibatkan lebih 200,000 warga.

“Mesej yang membawa keyakinan dan kepercayaan (dalam warga Singapura) akan menjadi mesej yang ingin disampaikannya ketika beliau mengetuai parti pemerintah ke Pilihan Raya Umum (GE) akan datang. Beliau akan mahu meninggalkan kesan yang kuat daripada NDR pertamanya.”
Profesor Madya Eugene Tan, pengamat politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

“Encik Wong juga ingin menyampaikan mesej bahawa beliau sependapat dengan Encik Lee mengenai kepentingan masyarakat Melayu/Islam bagi memelihara kompak sosial domestik; menganggap warga Melayu/Islam menjadi tumpuan utama dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura beliau.”
Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan di Solaris Strategies.

Ucapan Rapat Hari Kebangsaan akan disiarkan di saluran televisyen dan juga stesen-stesen radio tempatan. Ia juga dapat ditonton secara langsung melalui siaran dalam talian di pautan-pautan berikut:

YouTube Encik Wong (https://www.youtube.com/@lawrence_wong)

Facebook Encik Wong (https://www.facebook.com/LawrenceWongST)

PMO Youtube (www.youtube.com/pmosingapore)

Saluran - Mewatch.sg, cna.asia, CNA YouTube dan 8world.com

Kemas kini secara langsung juga akan dimuat naik ke Saluran WhatsApp Encik Wong https://whatsapp.com/channel/0029Vaeqr4f9Gv7dMuyENT0w) dan saluran Telegramnya (https://t.me/pm_lawrencewong).

Berita Harian akan merumuskan isu-isu penting dalam NDR tahun ini dalam kiriman pos dan video di wadah media sosial kami - di Facebook, Instagram dan TikTok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg