Pekerja platform rakyat Singapura yang membenarkan warga asing menyalah guna akaun berdaftar mereka untuk bekerja secara haram di sini akan menghadapi hukuman lebih berat, termasuk disekat daripada bekerja untuk semua syarikat platform bagi tempoh sekurang-kurangnya 24 bulan.
Ini adalah sebahagian daripada 10 saranan oleh Kumpulan Tiga Pihak Pekerja Platform yang dikeluarkan pada 11 September, demi melindungi mata pencarian, keselamatan dan kesejahteraan pekerja platform.
Saranan tersebut bertujuan menangani dua keprihatinan utama yang diutarakan pekerja platform, termasuk menghalang kegiatan haram dalam sektor platform, serta menyokong skim pembayaran dan insentif yang lebih adil dan selamat untuk pekerja.
Kumpulan tersebut – terdiri daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Grab Singapore – telah dibentuk pada Julai bagi menangani isu yang menjejas pekerja platform.
Ini termasuk isu warga asing yang menjalankan pekerjaan platform secara haram, dengan pekerja tempatan melahirkan rasa bimbang ia akan menjejas pendapatan mereka.
Di samping itu, kes kenderaan asing yang menawarkan khidmat pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P) secara haram, termasuk rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia, juga telah menarik perhatian sejak beberapa bulan lalu.
Dalam mengatasi isu tersebut, antara saranan yang dikemukakan kumpulan itu termasuk bagi syarikat platform memperkukuh pengesanan kegiatan haram melalui pengesahan identiti pekerja secara kerap dan rambang, dan usaha untuk meningkatkan kesedaran awam tentang risiko dan bahaya menggunakan khidmat P2P yang haram dan tidak berlesen.
Dalam satu sidang media yang diadakan pada 11 September, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, berkata kumpulan tersebut mempunyai beberapa pertimbangan utama dalam membangunkan saranan tersebut.
“Pertama, saranan tersebut harus mengekalkan kelebihan ekosistem platform sambil bersifat praktikal dan boleh dilaksanakan dengan cara yang mampan.
“Kami juga menyedari bahawa sektor sewa privet, penghantaran makanan dan penghantaran barangan mempunyai amalan perniagaan berbeza, dan kami mahu memastikan saranannya bersesuaian dengan keperluan perniagaan syarikat platform,” kata beliau.
“Kedua, saranan tersebut harus melindungi keselamatan pekerja platform sebagai kepentingan paling utama. Ketiga, setiap orang mempunyai peranan – ini termasuk pemerintah, persatuan kerja platform, syarikat platform, pekerja platform, dan malah orang awam.
“Hanya jika kita bekerjasama, dan semua memainkan peranan, barulah kita akan dapat menangani cabaran yang rumit ini,” tambah Dr Koh.
Sidang media itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan), Cik Sun Xueling; Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; dan Pengarah Urusan Operasi Kumpulan, Grab, Encik Yee Wee Tang.
Sejak Julai, tindakan penguatkuasaan yang dijalankan telah menangkap 73 kenderaan asing kerana menyediakan khidmat P2P secara haram.
Sementara itu, empat warga asing yang melakukan kerja penghantaran secara haram telah ditangkap selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 644 pekerja penghantaran sejak beberapa bulan lalu.
Singapura tidak mengeluarkan pas kerja kepada warga asing untuk melakukan kerja platform, dan hanya rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) sahaja yang boleh melakukan kerja itu.
Kumpulan tiga pihak itu telah mengusulkan agar pemerintah dan syarikat platform bekerjasama untuk memperkukuh penguatkuasaan dan menetapkan hukuman lebih berat bagi menangani isu kerja platform yang dilakukan secara haram.
Antaranya, syarikat platform perlu memaklumkan kepada MOM jika mereka mengesyaki pekerja platform tempatan bersubahat dengan warga asing untuk bekerja secara haram menggunakan akaun miliknya.
Sekiranya MOM mendapati pekerja platform itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan Tenaga Manusia Asing (EFMA) menyusuli siasatan, dia akan disekat oleh semua syarikat platform selama sekurang-kurangnya 24 bulan – bererti dia tidak boleh bekerja sebagai pekerja platform dengan mana-mana syarikat platform sehingga tempoh sekatan itu berakhir.
Kumpulan itu turut mengusulkan agar pemerintah memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap khidmat P2P yang haram, antaranya dengan meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara.
Pada masa ini, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga $3,000, dan/atau hukuman penjara sehingga enam bulan. Kenderaan mereka juga boleh dirampas.
Usulan lain termasuk bagi pemerintah mendekati platform dalam talian untuk memadam aplikasi, saluran atau iklan yang memudahkan aturan khidmat P2P yang dilakukan secara haram dan tidak berlesen.
Contohnya, melalui aplikasi InDrive yang tidak lagi tersedia untuk dimuat turun di sini dan tidak lagi boleh digunakan untuk memohon perjalanan rentas sempadan, dan saluran tidak berlesen seperti kumpulan Telegram.
Cik Sun berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah mendekati platform dalam talian untuk memadam saluran dan iklan bagi khidmat P2P haram, dan pemerintah akan terus cuba “mengganggu” khidmat P2P yang dipadankan melalui saluran tidak berlesen.
“Bagi platform yang tidak bekerjasama, kami sedang berusaha untuk mengukuhkan kuasa, termasuk melalui undang-undang untuk memaksa memadamkan pengiklanan sedemikian,” kata beliau.
Saranan kumpulan tiga pihak itu akan dilaksanakan secara berfasa dalam beberapa bulan mendatang, dengan yang memerlukan perubahan melalui undang-undang akan mengambil masa lebih lama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg