Sekitar 100 orang dipindahkan dari unit-unit berdekatan selepas satu kebakaran berlaku di sebuah rumah kedai dua tingkat di Sembawang pada 8 Januari.
Dalam satu hantaran Facebook pada awal pagi 9 Januari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di rumah kedai di 10A Jalan Tampang itu pada 8.25 malam, 8 Januari.
Anggota bomba terpaksa memecah masuk ke dalam rumah kedai itu dan menggunakan dua jet air untuk mengawal kebakaran, tambah SCDF.
Dua lagi jet air digunakan di bahagian luar bangunan bagi mengelakkan api merebak ke unit rumah kedai bersebelahan, lapor The Straits Times.
Lapan kenderaan kecemasan dan kira-kira 40 anggota bomba dikerah semasa operasi memadam api, kata SCDF.
Mereka dari balai bomba Yishun, Woodlands, Tampines, serta Unit Tindak Balas Khas.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di TikTok, api dapat dilihat menjulang di atas barisan rumah kedai itu.
Beberapa anggota bomba dan polis, serta sebuah kereta bomba, kelihatan di latar belakang.
SCDF berkata kebakaran itu dipadamkan sepenuhnya dalam sejam, dan kini mereka sedang melakukan proses melembapkan kawasan terjejas, merujuk kepada tindakan menyiram air ke permukaan yang terbakar dengan segera selepas api dipadamkan.
Ia juga berkata tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.
Pada 2023, terdapat 1,954 kebakaran di Singapura, meningkat 8.6 peratus daripada 1,799 kes pada 2022.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg