Masjid Darul Makmur sedia ruang ‘drive-thru’ bagi pengguna PMA, kerusi roda tunai solat
Masjid Darul Makmur sedia ruang ‘drive-thru’ bagi pengguna PMA, kerusi roda tunai solat
Ruang selesa bagi warga emas, kurang upaya solat Jumaat, tarawih sepanjang Ramadan
Kecederaan akibat kemalangan motosikal yang dihadapinya pada 2012 mendesaknya menggunakan Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) hingga ke hari ini.
Namun, semangat beliau – yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mas Imran, 43 tahun – tidak sesekali pun terhambat demi beribadah di rumah Allah.
Penduduk yang menetap di Yishun selama lebih 40 tahun itu merupakan antara anggota jemaah setia yang kerap mengunjungi Masjid Darul Makmur, bukan sahaja untuk solat Jumaat, malah bagi menunaikan solat tarawih sepanjang Ramadan.
Apa yang memudahkan urusan ibadah bagi anggota jemaah ini adalah kewujudan ruang pandu lalu khas atau ‘drive-thru’, di masjid tersebut yang direka khusus untuk pengguna PMA dan kerusi roda.
Kemudahan itu membolehkan beliau dan juga pengguna PMA dan kerusi roda lain, khususnya warga emas dan golongan kurang upaya, untuk bersolat di atas alat mobiliti mereka dengan lancar dan selesa.
“Kalau dulu sebelum kerja naik taraf, saya dapat masuk ke dalam masjid, di mana ada tempat khas tapi sesak dengan ramai orang.
“Sekarang, selepas kerja naik taraf, pihak masjid sediakan ruang ‘drive-thru’ ini bagi kami.
“Walaupun tak dapat masuk dekat dengan dewan, tapi ia tetap selesa.
“Sekarang, lebih mudah dan selesa untuk saya masuk dan keluar, dan orang masjid pun banyak bantu dan beri kerjasama,” ujarnya.
Demikian perkongsian Encik Mas Imran bersama Berita Harian (BH) tentang ruang ‘drive-thru’ untuk pengguna PMA dan kerusi roda semasa ditemui sebelum solat Jumaat di Masjid Darul Makmur pada 6 Mac.
Masjid tersebut kini menyediakan ruang solat ‘drive-thru’ di aras 2 yang boleh diakses menerusi pintu masuk dari Yishun Street 22 khusus bagi pengguna PMA dan kerusi roda, di mana mereka dibenarkan menunaikan solat di atas alat mobiliti masing-masing.
Bagi yang mempunyai masalah pergerakan, mereka tidak perlu beralih ke kerusi biasa di dalam dewan solat yang secara lazim sesak dengan jemaah yang berhimpit-himpit sewaktu solat Jumaat atau tarawih.
Bagi yang masih boleh berdiri dan bergerak, mereka boleh meletakkan PMA dan kerusi roda di ruang itu sebelum menyertai jemaah lain di dewan solat yang turut menyediakan kerusi bagi jemaah yang tidak boleh berdiri atau duduk lama.
Ruang ‘drive-thru’ ini merupakan antara beberapa ciri terangkum, mesra warga emas dan mesra golongan kurang upaya yang disediakan oleh masjid tersebut setelah ia menjalani kerja naik taraf selama dua tahun dari 2023 hingga 2025.
Ramadan 2026 juga merupakan Ramadan pertama bagi masjid tersebut untuk menyambut kembali jemaah menunaikan ibadah tarawih sejak ia dibuka semula untuk orang awam pada Hari Raya Aidiladha pada Jun 2025.
Bercakap dengan BH, Pengerusi Eksekutif, Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata masjid tersebut kini lebih bersifat terangkum terhadap keperluan warga emas dan golongan kurang upaya setelah pelbagai peningkatan fizikal dijalankan.
“Selain ruang ‘drive-thru’, antara ciri utama yang diperkenalkan oleh masjid sejak kerja naik taraf termasuk lif khas untuk kerusi roda serta penyediaan tanjakan dan Kemudahan Bebas Halangan (BFA) yang memudahkan akses tanpa perlu menaiki tangga.
“Selain itu, lif untuk kegunaan umum turut disediakan bagi memudahkan jemaah warga emas bergerak dari satu tingkat ke tingkat lebih tinggi,” kata Encik Fairus.
Bagi meningkatkan keselesaan semasa bersolat, beliau berkata pihak masjid juga telah memasang penyejuk udara, menyediakan kerusi bagi jemaah yang tidak mampu berdiri lama, serta memasang khemah tambahan bagi menampung limpahan jemaah.
Pihak masjid juga menyediakan meja khas untuk golongan warga emas dan kurang upaya semasa waktu berbuka puasa bagi memastikan mereka dapat makan dengan selesa, tambah Encik Fairus.
Antara perubahan yang dibuat untuk memudahkan akses bagi pengguna PMA dan kerusi roda di ruang ‘drive-thru’ itu adalah dengan meningkatkan ketinggian lantai aras 2 untuk mengurangkan kecuraman cerun apabila jemaah masuk dari pintu belakang masjid.
Ruang ‘drive-thru’ itu kini boleh menampung kira-kira 21 unit PMA dan kerusi roda pada hari biasa, tidak kira bagi yang sembahyang di atas alat mobiliti mereka, mahupun bagi mereka yang meletakkannya di sana sebelum masuk ke dewan solat.
Menurut Penolong Ketua Jabatan Ibadah, Ustaz Muhammad Firdaus Sulaiman, 32 tahun, memandangkan terdapat ruang terhad di masjid, pengguna PMA dan kerusi roda yang lebih sihat dan boleh berjalan turut digalak meletakkan alat mobiliti mereka di blok berhampiran bagi mengurangkan kesesakan.
“Ramai pengguna PMA telah memanfaatkan kawasan ‘drive-thru’ ini untuk solat Jumaat dan tarawih. Sukarelawan masjid ada di sini untuk membantu mereka masuk dan keluar dengan selamat.
“Mereka (pengguna PMA dan kerusi roda) juga mendapat bubur Ramadan terlebih dahulu, supaya mereka dapat keluar masjid dahulu sebelum jemaah lain beratur untuk mengambil bubur mereka,” kata Ustaz Firdaus.
Pengalaman positif itu turut dikongsi Encik Asyraf Ghazali, 30 tahun, yang terpaksa menggunakan kerusi roda sejak 2019 akibat kemalangan motosikal.
Ketika ditemui, beliau berkata beliau berasa bersyukur kerana masjid tersebut kini jauh lebih mudah diakses berbanding sebelum ini.
“Saya juga berterima kasih kepada sukarelawan masjid yang menyediakan ruang untuk saya meletakkan kereta saya berhampiran dengan masjid.
“Dengan ini, lebih mudah dan dekat untuk saya meletak kereta saya dan menggunakan kerusi roda saya masuk ke dalam masjid,” katanya.
Bagi Encik Mohd Samad Alias, 69 tahun, seorang pengguna PMA yang kerap datang ke Masjid Darul Makmur, usaha pihak masjid menyediakan ruang ibadah yang selesa baginya amat dihargai.
Malah, beliau berasa tersentuh melihat pengerusi masjid meluangkan masa bertanya khabar tentang keadaan dan keselesaan beliau serta pengguna PMA dan kerusi roda lain semasa solat Jumaat.
“Alhamdulillah, kakitangan dan sukarelawan amat mesra dan banyak membantu. Sambutan mereka amat baik dan saya bersyukur dengan kemudahan yang telah mereka sediakan,” kata Encik Mohd Samad.
Selain menyediakan ruang lebih bersifat terangkum untuk warga emas dan golongan kurang upaya, Encik Fairus berkata masjid turut menyediakan ruang solat khas untuk kaum ibu yang membawa anak kecil ke auditorium di aras 3.
Bagi memudahkan jemaah, khususnya warga emas dan golongan kurang upaya untuk mendapat bubur Ramadan, Masjid Darul Makmur juga menyediakan pengagihan bubur di empat lokasi di sekitar Yishun pada setiap Sabtu dan Ahad selain di masjid, tambahnya.
Pengagihan tersebut berlangsung di Blok 137, Yishun Ring Road, Hab Warga Emas Nee Soon East di Blok 293 Yishun Street 22, Blk 461 Yishun Avenue 6 dan Kelab Masyarakat Nee Soon Central di Northpoint Drive.

