Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,000 flat BTO di bekas tapak Kelab Keppel bakal dilancar pada Okt

May 15, 2025 | 5:53 PM
Singapore, Singapura, HDB, BTO, Keppel Club
Projek Flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pertama di tapak seluas 48 hektar ini akan menawarkan flat dua bilik Flexi hingga empat bilik serta flat sewa awam. - Foto FACEBOOK DESMOND LEE

Sekitar 1,000 unit flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan dibina di bekas tapak Kelab Keppel akan dilancarkan untuk jualan pada Oktober.

Terletak di dalam pembangunan Greater Southern Waterfront, projek BTO itu akan menawarkan flat dua bilik Flexi hingga empat bilik, serta flat sewa awam, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dalam satu hantaran Facebook pada 15 Mei.

Blok-blok yang akan datang akan mempunyai ketinggian antara 19 dengan 46 tingkat.

Encik Lee berkata kawasan tersebut akan mempunyai ruang hijau, direka mengikut biodiversiti yang kaya di kawasan itu.

Berlayer Creek, yang terletak bersebelahan projek tersebut, menempatkan salah satu daripada dua hutan paya bakau di selatan Singapura, lapor The Straits Times.

Satu batu granit yang dikenali sebagai Batu Berlayar, atau Sailing Rock, pernah berada berhampiran Berlayer Creek dan menjadi panduan bagi pedagang menuju pesisir Singapura sejak abad ke-14, kata Encik Lee.

“Teres landskap dan koridor hijau baru akan ditambah untuk memudahkan pergerakan ekologi serta mencipta habitat baru yang melindungi biodiversiti, seperti yang disarankan daripada satu kajian alam sekitar dan maklum balas daripada kumpulan alam sekitar,” katanya.

Sebuah prasekolah dan taman permainan bertemakan alam semula jadi akan dibina di kawasan perumahan tersebut.

Projek BTO itu, yang pertama dilancarkan di tapak seluas 48 hektar, akan menjadi sebahagian daripada 6,000 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan 3,000 rumah persendirian yang akan dibina di sana.

Pada Julai, HDB akan menawarkan sekitar 740 unit flat di Toa Payoh West berhampiran stesen MRT Caldecott, tambah Encik Lee.

Projek yang terletak antara Toa Payoh Rise dengan Braddell Rise, akan mempunyai restoran, kedai dan prasekolah.

Penduduk juga boleh mengakses pusat penjaja dan kedai kejiranan berhampiran.

Encik Lee berkata pihak berkuasa komited untuk memastikan perumahan awam kekal berpatutan, terangkum dan boleh diakses oleh rakyat Singapura dengan membina lebih banyak rumah di seluruh Singapura, termasuk di kawasan berhampiran pusat bandar.

Ini membolehkan keluarga tinggal lebih dekat dengan tempat kerja atau ibu bapa di kawasan HDB lama yang dekat dengan pusat bandar, untuk saling menjaga dan menyokong, ujarnya.

Pemerintah akan melancarkan lebih daripada 50,000 unit flat antara 2025 dengan 2027.

Pada 2025, HDB akan menawarkan sekitar 19,600 rumah dalam pelbagai projek.

“Teres landskap dan koridor hijau baru akan ditambah untuk memudahkan pergerakan ekologi serta mencipta habitat baru yang melindungi biodiversiti, seperti yang disarankan daripada satu kajian alam sekitar dan maklum balas daripada kumpulan alam sekitar.”
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg