Topik diikuti
Pergi ke BHku1,000 karyawan bakal raih manfaat aplikasi latihan temu duga berasas AI
Hasil kerjasama AMP S’pura dan Alethia AI, didorong perubahan pasaran tenaga kerja
1,000 karyawan bakal raih manfaat aplikasi latihan temu duga berasas AI
Seramai 1,000 karyawan disasarkan meraih manfaat daripada aplikasi latihan temu duga pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), menerusi kerjasama selama tiga tahun antara Angkatan Karyawan Islam (AMP) Singapura dengan syarikat teknologi tempatan, Alethia AI.
Alethia AI merupakan syarikat yang menghasilkan avatar dan ejen AI interaktif bagi menyokong latihan serta pembelajaran.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, dan Naib Presiden (Perusahaan) Alethia AI, Encik Ibrahim Musa, sempena edisi ketiga Sidang Kemuncak Karyawan Islam (MPS) 2026, anjuran AMP Singapura yang berlangsung pada 31 Oktober.
Inisiatif itu didorong oleh perubahan dalam pasaran pekerjaan, khususnya apabila perkembangan pesat AI turut mempengaruhi proses pengambilan pekerja serta kemahiran yang dicari majikan.
Encik Mohksin yang ditemui Berita Minggu (BM) di Dewan Cassia, Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands sempena sidang tersebut berkata sasaran yang ditetapkan itu diharap dapat dicapai dalam tempoh dua bulan menerusi aplikasi, Ace Your Interview with AI (Kuasai Temu Duga Anda dengan AI), yang menawarkan lima modul pembelajaran secara percuma.
Menurut Encik Mohksin, keberkesanan aplikasi itu antara lain dapat dinilai berdasarkan jumlah karyawan yang menggunakannya serta manfaat yang diperoleh daripada modul pembelajaran yang ditawarkan.
“Modul sedia ada juga membolehkan kami menilai tahap persediaan karyawan menghadapi temu duga pekerjaan menerusi latihan dan kad pemarkahan.
“Sebarang peningkatan dalam prestasi mereka boleh dijadikan antara petunjuk kejayaan inisiatif ini,” tambahnya.
Sementara itu, sidang kemuncak bertema, Future of Work: Navigating Careers in the Age of AI (Masa Depan Pekerjaan: Mengemudi Kerjaya dalam Era AI), yang menyasarkan karyawan berusia antara 26 dengan 40 tahun, dihadiri seramai 950 peserta.
Antara pengisian utama ialah perbincangan panel mengenai kesan perkembangan AI terhadap tuntutan majikan serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.
Panel tersebut menampilkan Pengarah Kanan Oracle Cloud Infrastructure (OCI), Encik Jeff Salleh; Timbalan Pengarah Pengurusan Produk GovTech Singapura, Cik Liyana Fauzi; Pengasas dan Perunding Utama DigitalWell.ai, Ustaz Ridhwan Mohd Basor; serta Penasihat Strategik Bitsmedia, Encik Syakir Hashim.
Dalam perbincangan itu, Cik Liyana turut menekankan keupayaan melaksanakan tugas dengan berkesan dan membuktikan hasil kerja merupakan antara kemahiran penting yang perlu dimiliki karyawan, meskipun penggunaan AI semakin meluas.
“Jadilah individu yang boleh diharapkan dan mampu menyelesaikan tugas dengan baik.
“Pada masa yang sama, cari jalan untuk memastikan orang lain mengetahui kemampuan anda serta sumbangan yang telah diberikan,” katanya.
Sementara itu semasa ditemui, Encik Ibrahim pula menekankan kepentingan memanfaatkan kepakaran tempatan dalam pembangunan aplikasi seperti Ace Your Interview with AI.
“Teknologi AI sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan kepakaran dan pengalaman profesional tempatan.
“Gabungan kededuanya penting bagi membangunkan aplikasi yang bukan sahaja relevan dengan keperluan masyarakat, malah dapat membantu pengguna mengenal pasti kelemahan dan mengasah kemahiran,” katanya.
Bagi memastikan kandungan pembelajaran relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan, Alethia AI memanfaatkan kepakaran Pengurus Sumber Manusia bagi Asia Tenggara di Noatum Logistics, Encik Lutfi Ghani, yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang pengambilan pekerja.
Pengalaman beliau dimanfaatkan untuk membangunkan kandungan latihan temu duga, manakala avatar AI yang menyerupai wajah dan suaranya digunakan untuk menyampaikan modul pembelajaran.
Aplikasi itu dijangka boleh diakses menerusi laman web AMP Singapura mulai pertengahan November.