Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelidik raih anugerah bangun teknologi bantu pelajar guna AI
Penerima Anugerah Seed 2026 kaji kecerdasan pedagogi mesin bagi membolehkan AI sesuaikan pengajaran ikut keperluan murid
Penyelidik raih anugerah bangun teknologi bantu pelajar guna AI
Sejak bergelar guru lebih dua dekad lalu, matlamat penyelidik dan pembangun sistem operasi kecerdasan buatan (AI), Encik Nizam Kadir, tetap utuh iaitu membantu pelajar menimba ilmu dengan lebih berkesan.
Berbekalkan pengalaman mendidik pelajar daripada pelbagai peringkat usia dan latar pendidikan, beliau kini mahu memanfaatkan AI untuk memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Menerusi pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dalam bidang kecerdasan pedagogi mesin, Encik Nizam, 40-an tahun, meneliti keupayaan AI dalam membuat keputusan pengajaran yang sesuai.
Bagi Encik Nizam, kajiannya bertujuan menjadikan AI sebagai alat pembelajaran diperibadikan yang membantu pelajar memahami pelajaran dan belajar secara berdikari.
“Jika pelajar meminta saya memberikan semua jawapan, sebagai guru, saya tidak akan berbuat demikian kerana mereka tidak akan belajar.
“Itulah yang saya cuba terapkan kepada AI.
“Saya mengkaji bagaimana AI boleh berfungsi berdasarkan strategi pengajaran yang berbeza, selain membolehkan guru menilai ketepatan keputusan AI.
“Pelajar mungkin memperoleh jawapan yang betul dengan AI, tetapi belum tentu dapat menerangkannya atau menyelesaikan masalah serupa.
“Sebab itu, bagi saya, pemahaman lebih penting daripada sekadar menyiapkan tugasan,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Wawancara ini diadakan sempena pengiktirafan yang diterima Encik Nizam menerusi Anugerah Seed 2026, anjuran Dewan Perniagaan Rekaan Singapura (DBCS), baru-baru ini.
Anugerah itu bertujuan mencorak serta memupuk bakat reka bentuk peserta berpotensi untuk menghasilkan inovasi bermakna dalam dunia yang kian pesat berubah.
Encik Nizam menerima anugerah itu atas keupayaannya menggabungkan pemikiran kritis, kreativiti dan inovasi dalam bidang pendidikan dan teknologi.
Pengiktirafan itu turut diraih menerusi penghasilan buku, Co-Designing Educational AI (Mereka Bentuk Pendidikan AI Secara Bersama), yang mengetengahkan pendekatan pembangunan pendidikan AI melalui kerjasama dan secara beretika.
Sebelum melanjutkan pengajian di SUTD, Encik Nizam turut menerbitkan buku, Machine Pedagogical Intelligence: The Cognitive and Computational Architectures of Automated Instruction (Kecerdasan Pedagogi Mesin: Seni Bina Kognitif dan Pengkomputeran bagi Pengajaran Automatik), pada 2025.
Idea yang diketengahkan dalam buku itu kemudian dikembangkan menerusi penyelidikan PhD beliau dan diterbitkan sebagai kertas penyelidikan dalam prosiding, Persidangan Antarabangsa Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan (AIED) 2026, di Seoul, Korea Selatan.
Ia antara persidangan antarabangsa terkemuka dalam bidang AI dan pendidikan.
Beliau turut menghasilkan buku, Teaching Machines How to Learn (Mengajar Mesin Cara Belajar), pada 2025.
Meskipun tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam bidang sains komputer, Encik Nizam berhasil membangunkan beberapa aplikasi pendidikan berasaskan AI, termasuk Agentic Studio, Archie Math, CALLIOPE, Praxis dan ClioMake.
Rangkaian aplikasi itu dibangunkan untuk menyediakan pembelajaran yang dapat disesuaikan mengikut keperluan pelajar menerusi pelbagai bentuk kandungan, selain membantu pendidik menghasilkan bahan pengajaran.
Salah satunya, Agentic Studio, membolehkan guru menghasilkan aplikasi pengajaran sendiri dengan hanya memberikan arahan kepada AI berdasarkan keperluan pelajar.
Aplikasi itu boleh dihasilkan dalam masa beberapa minit sebelum diteliti guru dan digunakan dalam pengajaran.
“AI boleh melakukan banyak perkara, tetapi kita perlu menyediakan persekitaran yang selamat dan membimbingnya supaya apa yang dihasilkan itu sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran.
“Sebelum aplikasi itu digunakan, sistem yang saya bangunkan akan menilai terlebih dahulu sama ada ia menepati pendekatan pengajaran yang ditetapkan,” jelas Encik Nizam, yang turut mengajar kursus Sains Data Pengkomputeran di SUTD.
Tambah beliau:
“Ini supaya penggunaan AI dapat dikawal dan dipastikan sentiasa berpandukan garis panduan yang ditetapkan.”
Encik Nizam akur kebergantungan berlebihan terhadap AI boleh menjejas keupayaan manusia untuk berfikir sendiri.
Namun, beliau percaya ada sesuatu yang tidak mampu digantikan AI iaitu keghairahan manusia untuk belajar dan mengasah kemahiran.
“AI boleh menghasilkan pelbagai perkara dengan pantas, tetapi ia tidak boleh menggantikan keghairahan seseorang untuk terus belajar dan memperbaiki kemahiran.
“Selagi ada keghairahan itu, AI hanya menjadi alat untuk membantu kita.”