Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,000 pekerja SME bakal tingkat kemahiran dalam tempoh 3 tahun

Oct 29, 2025 | 7:30 PM
NTUC, SME, pekerja
MOU dimeterai (duduk, dari kiri) penyelia utama kluster perhotelan dan perniagaan pengguna NTUC, Cik Toh Hwee Tin; pengarah kanan, sumber manusia, FairPrice Group, Cik Sylvia Lai dan pengarah kumpulan, kumpulan komunikasi dan penglibatan SkillsFuture Singapura (SSG), Encik Tan Tow Koon. Majlis disaksikan (berdiri, dari kiri) Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FPG, Encik Vipul Chawla; dan Ketua Pegawai Eksekutif SSG, Encik Tan Kok Yam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sehingga 1,000 pekerja syarikat kecil dan sederhana (SME) yang membekalkan barangan dan menawarkan perkhidmatan kepada FairPrice Group (FPG), akan meraih manfaat daripada latihan kemahiran dalam aspek automasi, kepimpinan dan keselamatan di tempat kerja.

Langkah itu susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pada 29 Oktober antara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), SkillsFuture Singapura (SSG) dengan FPG bagi memacu transformasi perniagaan dan tenaga kerja.

Di bawah MOU selama tiga tahun itu, FPG dilantik sebagai peneraju SkillsFuture, dengan membantu pembekalnya, terutama sekali SME, meningkatkan keupayaan melalui latihan dan khidmat nasihat.

SME juga boleh memanfaatkan khidmat nasihat dan Geran Jawatankuasa Latihan Syarikat Kluster (CTC) NTUC, serta inisiatif latihan dan subsidi SSG.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata MOU tersebut akan memperkukuh bukan sahaja rangkaian pembekal FPG dan sektor perdagangan borong dan runcit, malah membantu SME dan pekerja mereka meningkatkan kemahiran agar lebih yakin dan berdaya saing dalam ekonomi yang semakin dipacu kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

“Kadangkala kita tahu tentang AI, tetapi tidak pasti bagaimana memanfaatkannya dalam perniagaan kita.

“Kami berharap dapat berkongsi pengetahuan itu dengan SME melalui FairPrice, sambil disokong oleh keupayaan hala tuju transformasi AI NTUC, serta kepakaran SSG dalam bidang latihan semula dan peningkatan kemahiran,” katanya.

Beliau akur terdapat pekerja yang risau tentang isu perubahan dan kehilangan pekerjaan, namun meyakinkan bahawa “(inisiatif) CTC dan kerjasama peneraju (FPG) dapat membantu setiap pekerja mempelajari kemahiran baru, beralih kepada pekerjaan bernilai lebih tinggi, memperoleh gaji lebih baik, serta membina hala tuju kerjaya lebih jelas”.

Encik Ng berharap inisiatif itu akan mendorong SME dan pekerja mengalu-alukan teknologi baru dan usaha untuk mendorong mereka meningkatkan kemahiran masing-masing.

MOU itu merupakan kerjasama keempat antara NTUC, SSG dengan FPG.

FairPrice akan menjadi entiti keempat yang menyertai inisiatif itu, tetapi yang pertama daripada sektor perdagangan borong dan runcit yang menerajui inisiatif tersebut.

Berita Harian (BH) berpeluang menikmati peningkatan kepada operasi dan kemahiran pekerja di Pusat Pengagihan Benoi (BNDC), yang di bawah kendalian FPG, setelah melalui transformasi Projek Geran CTC 2024.

BNDC melalui projek itu selama tempoh 12 minggu, dan berjaya memadankan lebih 60 proses kerja, memperkukuh komunikasi dalaman dan melancarkan protokol keselamatan tempat kerja yang lebih menyeluruh.

Selain itu, BNDC kini mengamalkan pendekatan proaktif dalam penyelenggarakan jentera automatik.

Ia sekali gus meningkatkan kecekapan, keselamatan dan daya pengeluaran BNDC.

Antara kakitangan BNDC yang bermanfaat daripada latihan CTC ialah eksekutif operasi jabatan pemasangan, Encik Muhammad Faiz Kifliputra Azmi Kifrawi.

Satu inisiatif baru adalah pertemuan setiap hari, di mana kakitangan dari semua jabatan bertemu pada 9.30 pagi dan 3.45 petang untuk berbincang tentang sasaran yang perlu ditemui serta menangani masalah yang menimbul.

Inisiatif itu berjaya mengurangkan masa untuk menangani halangan secara ketara.

“Sebelum ini, kami berkomunikasi melalui mesej atau e-mel, dan ia mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk menyelesaikan isu yang timbul.

“Sejak melancarkan pertemuan seharian, tugas kami lebih tersusun kerana kami memahami hala tuju dengan lebih jelas, dan kami menjadi lebih peka terhadap tanggungjawab masing-masing…kami dapat mengenal pasti sumber isu-isu dan mengagihkan tugas untuk menanganinya dengan lebih lancar,” ujar Encik Faiz.

Encik Muhammad Faiz Kifliputra Azmi Kifrawi (dua dari kanan) menjelaskan cara komunikasi dalaman yang baru kepada Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng (tiga dari kanan), semasa sesi melawati Pusat Pengagihan Benoi (BNDC) pada 29 Oktober.
Encik Muhammad Faiz Kifliputra Azmi Kifrawi (dua dari kanan) menjelaskan cara komunikasi dalaman yang baru kepada Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng (tiga dari kanan), semasa sesi melawati Pusat Pengagihan Benoi (BNDC) pada 29 Oktober. - Foto BH oleh KHALID BABA

FPG berhasrat berkongsi pengajaran daripada kejayaan Projek Geran CTC di BNDC kepada pusat pengagihan sendiri.

NTUC akan bekerjasama dengan FPG dan rangkaian pengagih mereka untuk mengenal pasti masalah dan cabaran yang dihadapi oleh sektor tersebut, lalu bersama-sama mencipta kaedah untuk menanganinya.

Pembekal yang akan menjalani proses transformasi juga boleh memanfaatkan geran, seperti Geran CTC NTUC, yang boleh menampung sehingga 70 peratus kos program latihan yang layak dilaluinya.

Inisiatif tersebut selaras dengan gerakan nasional SkillsFuture, yang mempromosikan pembelajaran berterusan serta ketahanan tenaga kerja dalam seluruh sektor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg