Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,000 peserta iftar bersama di Kampong Gelam

Mar 22, 2025 | 8:30 PM
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), bersama (dari kanan) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; dan Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Maarof, menjayakan acara majlis iftar beramai-ramai di Kampong Gelam yang turut dihadiri 1,000 peserta.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), bersama (dari kanan) Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; dan Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Maarof, menjayakan acara majlis iftar beramai-ramai di Kampong Gelam yang turut dihadiri 1,000 peserta. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Kampong Gelam terus bersinar dengan semangat Ramadan apabila ia berubah menjadi medan selera terbuka di mana lebih 1,000 peserta berkumpul di Arab Street untuk majlis iftar beramai-ramai pada 22 Mac.

Majlis anjuran One Kampong Gelam (OKG) itu dihadiri oleh tetamu terhormat, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang turut menyertai acara berbuka puasa bersama peserta dan menyampaikan sumbangan beg cenderahati kepada para penerima manfaat.

Dalam ucapan ringkasnya, Encik Wong berkata meskipun banyak konflik, peperangan dan cabaran melanda dunia, orang ramai masih boleh berasa yakin dengan apa yang telah dilalui bersama di negara ini sepanjang 60 tahun lalu.

“Ingat ketika Singapura merdeka 60 tahun dahulu, kita juga amat risau.

“Terdapat begitu banyak perkara yang menakutkan dari segi apa yang diharapkan.

“Namun, hari ini, kita berada di sini, 60 tahun kemudian.

“Jadi kita boleh berasa yakin hasil daripada apa yang telah kita lalui bersama dan sambil kita melihat ke hadapan, marilah kita terus bekerjasama sebagai satu pasukan Singapura,” katanya.

Turut hadir dalam acara itu ialah Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua; dan AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

2025 menandakan tahun ketiga majlis iftar beramai-ramai itu diadakan.

Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Maarof, dalam ucapannya berkata melalui iftar bersama ini, mereka ingin mewujudkan semangat keterangkuman dan menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana yang bermakna.

“Ia amat mengharukan melihat masyarakat kita berkongsi tradisi istimewa ini sambil menghayati nilai-nilai perpaduan dan pemberian,” kata beliau.

Sementara itu sebanyak 1,000 beg cenderahati telah diagihkan kepada semua peserta, termasuk 793 penerima manfaat daripada pelbagai organisasi kebajikan.

Penerima manfaat terdiri daripada mereka yang menerima bantuan daripada GRC Jalan Besar, Masyarakat Kebajikan Vision21, Persatuan Arab Singapura, New Life Stories dan Rumah Peralihan Pertapis yang turut hadir di majlis Iftar itu.

Selain hidangan berbuka puasa yang menyajikan pelbagai juadah tradisional Melayu dan Timur Tengah, acara itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, kegiatan interaktif serta hadiah menarik.

Travelconnect.sg, sebuah syarikat pelancongan Islamik tempatan, merupakan penganjur utama dan penaja tetap ‘Gemilang Kampong Gelam Mass Iftar’.

Mereka telah menyediakan jamuan berbuka puasa untuk lebih 1,000 peserta setiap tahun, menyelaraskan lebih 140 orang sukarelawan serta mengurus keseluruhan logistik.

Acara ini turut disokong oleh rakan utama seperti Travelconnect.sg, Vision21 dan Coca-Cola Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg