Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$200,000 dikumpul bagi biasiswa pelajar Palestin belajar di S’pura

Mar 19, 2025 | 2:58 PM
(Dari kiri) Perdana Menteri Lawrence Wong bersama mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Anthea Ong dan mantan Menteri Kabinet Dr  Yaacob Ibrahim pada majlis taklimat dan iftar   Inisiatif Biasiswa Palestin pada 18 Mac.
(Dari kiri) Perdana Menteri Lawrence Wong bersama mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Anthea Ong dan mantan Menteri Kabinet Dr Yaacob Ibrahim pada majlis taklimat dan iftar Inisiatif Biasiswa Palestin pada 18 Mac. - Foto FACEBOOK LAWRENCE WONG

Satu usaha untuk menaja pelajar Palestin melanjutkan pengajian di Singapura telah mengumpul separuh daripada sasaran $400,000 setakat ini.

Inisiatif Biasiswa Palestin itu akan menaja dua pelajar Palestin melanjutkan pendidikan tinggi di universiti di Singapura, meliputi yuran pengajian, penginapan, dan perbelanjaan harian. Pelajar pertama dijangka memulakan pengajian pada tahun akademik 2025.

Sejak dimulakan pada Oktober 2024, pengumpulan dana itu meraih lebih 900 sumbangan individu, dengan purata lebih $200 pada 11 Mac, lapor The Straits Times (ST). Sumbangan dianggar antara $3 dengan $20,000, kata penganjur, iaitu sekumpulan warga Singapura, dalam satu kenyataan media.

Perdana Menteri Lawrence Wong menyertai rakan-rakan Inisiatif Biasiswa Palestin dalam satu majlis taklimat dan iftar pada 18 Mac. Acara tersebut turut disertai pelajar dari universiti yang mengambil bahagian, platform kebajikan Ray of Hope, Rangkaian Arab@Singapura dan sukarelawan. 

“Inisiatif ini akan memberi peluang kepada pelajar Palestin melanjutkan pengajian di universiti Singapura, memberi mereka peluang membantu keluarga dan masyarakat mereka,” kata Encik Wong dalam satu hantaran di Facebook.

Jawatankuasa pentadbiran biasiswa itu dipengerusikan bersama oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan usahawan sosial Anthea Ong dan mantan menteri kabinet Dr Yaacob Ibrahim.

Ia turut melibatkan pengasas bersama Bantuan Perubatan untuk Palestin, Dr Ang Swee Chai; pengasas Opening Universities for Refugees, Dr Gul Inanc; dan pakar bedah British-Palestin di Universiti College London, Dr Khaled Dawas.

“Inisiatif Biasiswa Palestin percaya menyokong pelajar Palestin untuk belajar di Singapura memberi mereka akses kepada pendidikan bertaraf dunia serta memperkaya masyarakat kami dengan memupuk kepelbagaian, empati dan pemahaman global,” kata penganjur.

Tambah Cik Ong: “Pandangan unik pelajar Palestin boleh memberi inspirasi kepada inovasi dan kerjasama, memberi manfaat kepada universiti kami dan masyarakat Singapura.”

Minat tinggi diterima daripada belia Palestin dengan lebih 150 permohonan, kebanyakannya berusia bawah 25 tahun dan lebih separuh adalah dari Gaza, yang universiti-universitinya musnah akibat konflik.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 51 bangunan universiti di Gaza musnah, dan 57 rosak. 

Belia Palestin itu memohon untuk belajar di Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), serta beberapa institusi lain, dalam kursus seperti farmaseutikal, pengurusan, kecerdasan buatan (AI), dan sains komputer.

Menurut penganjur, permohonan masih dibuka dan biasiswa itu akan dinilai dan dianugerah kepada pelajar yang berjaya dalam permohonan memasuki universiti yang turut serta, berdasarkan syarat kemasukan semasa.

Biasiswa tersebut berdasarkan komitmen Singapura untuk menawarkan lebih banyak biasiswa kepada pelajar Palestin.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Wong menyatakan “Singapura sentiasa menyokong keperluan Gaza”, termasuk memberikan bantuan kemanusiaan.

Beliau berkata usaha seperti Inisiatif Biasiswa Palestin melengkapkan usaha pemerintah membantu Palestin dalam membangunkan kapasitinya, termasuk dalam bidang pentadbiran dan pembinaan semula, melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap).

Di bawah Etap Singapura – yang diperkenalkan pada 2013 dengan $5 juta dan kemudian digandakan pada 2016 kepada $10 juta – pegawai Penguasa Palestin ditaja untuk menyertai lawatan pembelajaran dan kursus pembangunan kapasiti melalui Program Kerjasama Singapura.

Ia juga menawarkan biasiswa kepada pegawai untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti Singapura. 

Singapura juga telah berulang kali menegaskan komitmennya membantu rakyat Palestin mencapai penubuhan negara mereka. 

Sebagai sebuah negara, Singapura telah menyumbang lebih $19 juta kepada Gaza sejak konflik Israel-Hamas bermula pada Oktober 2023.

Pada Februari, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) menghantar bantuan kemanusiaan ketujuh Singapura ke Gaza.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg