Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mercy Relief bakal anjur iftar buat 200 keluarga Palestin di Tebing Barat

Ia dilakukan sewaktu misi di Tebing Barat 21-27 Mac; Mercy akan bekerja rapat dengan rakan setempat nilai keperluan
Mar 20, 2025 | 9:11 PM
Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh (kanan, berkerusi roda), berucap dalam majlis iftar di pejabat badan tersebut pada 20 Mac. Antara mereka yang hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (empat dari kiri), mantan Presiden dan Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Puan Halimah Yacob (dua dari kanan) dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang (dua dari kiri).
Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh (kanan, berkerusi roda), berucap dalam majlis iftar di pejabat badan tersebut pada 20 Mac. Antara mereka yang hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (empat dari kiri), mantan Presiden dan Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Puan Halimah Yacob (dua dari kanan) dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang (dua dari kiri). - Foto ZAOBAO

Mercy Relief akan menganjurkan iftar untuk lebih 200 keluarga di pelbagai kawasan di Tebing Barat selama empat malam sebagai sebahagian daripada usaha agensi tersebut memupuk perpaduan, ketenangan, dan harapan buat mereka yang terjejas sepanjang Ramadan.

Ini akan dilakukan semasa misi lawatan pertubuhan itu ke Tebing Barat dari 21 hingga 27 Mac, di mana mereka akan bekerja rapat dengan rakan kongsi tempatan untuk menilai keperluan, skop projek pemulihan serta merancang usaha bantuan pada masa hadapan.

Majlis itu akan berlangsung pada 21 Mac hingga 25 Mac.

Sementara itu, buat pertama kalinya, agensi bantuan bencana berdikari itu juga akan melancarkan program di Singapura yang memberi tumpuan kepada sokongan makanan dan pemakanan bagi kanak-kanak kurang bernasib baik.

Kesemua inisiatif tersebut dikongsi oleh Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh, semasa majlis iftar yang diadakan di pejabat agensi itu di Lorong 1 Toa Payoh, pada 20 Mac.

Berucap di acara tersebut, Encik Satwant menjelaskan bahawa pihaknya akan mengumpul maklumat dalam menyelaraskan bantuan yang diperlukan sambil menegaskan peri pentingnya sikap berhati-hati dalam menentukan bantuan yang disalurkan mengikut keadaan semasa.

“Jika kita lihat keadaan di Gaza sekarang, kami menyangka ada keamanan dan adanya gencatan senjata. Tetapi, pertempuran bermula semula dua hari yang lalu.

“Oleh itu, kami akan bertindak secara berwaspada dalam menentukan apa yang akan dilakukan di sana, serta bantuan yang boleh disalurkan,” ujar Encik Satwant, sambil menambah barangan yang lazim dibekalkan Mercy Relief termasuk makanan kering, air, keperluan kebersihan dan ubat-ubatan.

Acara iftar tersebut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mantan Presiden dan Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Puan Halimah Yacob, dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Sekitar 60 orang hadir dalam majlis tersebut.

Menyentuh tentang majlis iftar yang dirancang di Tebing Barat itu, Pengarah Eksekutif Mercy Relief, Encik Muhammad Ashik Mohamed Daud, berkata:

“Kami akan beri perhatian kepada pemakanan sihat dalam majlis iftar ini.”

Mengenai projek bantuan di Singapura pula Encik Satwant berkata program tersebut menumpukan kepada pembahagian makanan sihat kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sebanyak 10,000 pek susu yang disokong oleh F&N akan diagih kepada mereka yang dikenal pasti oleh Mercy Relief.

Tiada butiran lanjut yang diberikan.

Sebelum ini, antara bantuan yang disalurkan Mercy Relief kepada mangsa di Gaza dan Tebing Barat termasuk bakul makanan serta hidangan iftar kepada lebih 51,000 orang pada Mac 2024 selain menyediakan pek makanan kecemasan bagi 440 isi rumah dan keperluan pertanian bagi 90 ladang.

Setakat ini, dana lebih $59,688 daripada $200,000 telah dikumpulkan dalam Dana Harapan untuk Gaza, Tebing Barat dan Khemah Pelarian Palestin sejak ia dimulakan pada 24 Februari.

Dana tersebut akan digunakan Mercy Relief untuk projek-projek yang sedang berjalan.

Antara anggota pasukan yang akan dikerahkan Mercy Relief ke sana termasuk Encik Muhammad Ashik sendiri.

Mengulas tentang tugasan beliau di sana kepada Berita Harian (BH) yang antaranya seperti menyediakan majlis iftar, Encik Muhammad Ashik berkongsi bahawa keperluan di sana sangat mendesak selain terdapat risiko keselamatan.

“Risiko keselamatan sudah tentu ada, tetapi keperluannya sangat mendesak, dan keperluan untuk kepakaran kami masuk untuk memberi sokongan.

“Ia bukan sahaja kepada masyarakat, tetapi juga kepada para sukarelawan lain, bagi memastikan mereka dapat terus menjalankan kerja kebajikan dengan berkesan,” ujar beliau, yang akan berangkat daripada Singapura pada malam 20 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg