Kira-kira 106 kenderaan telah ditahan atas pelbagai kesalahan semasa operasi lima hari di seluruh negara pada akhir Ogos.
Kesalahan itu termasuk kenderaan barang lebih muatan serta kenderaan bersaiz besar seperti trak pembancuh konkrit yang melalui lebuh raya tanpa permit, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu catatan Facebook pada 5 September.
LTA berkata: “Kenderaan berat ini boleh menghalang lalu lintas dan merosakkan struktur jalan raya kerana saiz yang besar dan beratnya.”
Ia menambah bahawa pergerakan mereka dikawal selia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya lain.
Beberapa kenderaan juga telah ditahan kerana lebih muatan, yang dapat membahayakan pengguna jalan raya lain sekiranya barangan itu jatuh ke jalan raya.
Muatan yang berlebihan juga menjejas pengendalian selamat kenderaan itu, kata LTA.
“Kami memandang serius kesalahan ini dan akan meneruskan usaha penguatkuasaan kami untuk memastikan semua pengguna jalan raya selamat,” tambahnya.
Menurut angka terkini di laman web Jabatan Perangkaan Singapura, 310 orang telah cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat antara Januari dengan Julai.
Mereka yang cedera termasuk pemandu atau penumpang lori dan treler.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg