Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bas 861 hubung Yishun East ke MRT Khatib mulai 15 Sep

Aug 29, 2024 | 6:04 PM
Perkhidmatan bas 861 akan menghubungkan penduduk Yishun dan Sembawang ke kemudahan dan sekolah tempatan dengan lebih baik.
Perkhidmatan bas 861 akan menghubungkan penduduk Yishun dan Sembawang ke kemudahan dan sekolah tempatan dengan lebih baik. - Foto FACEBOOK CHEE HONG TAT

Satu perkhidmatan bas pertama yang menghubungkan penduduk di pembangunan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di Yishun East ke stesen MRT Khatib, akan diperkenalkan mulai 15 September.

Perkhidmatan bas 861 itu diadakan di bawah satu daya usaha baru untuk menambah baik rangkaian bas awam di sini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 29 Ogos, perkhidmatan bas itu akan dikendalikan syarikat Tower Transit.

Menurut Tower Transit, perkhidmatan tersebut akan beroperasi dari Pusat Tukaran Bas Sembawang ke stesen MRT Canberra dan stesen MRT Khatib.

Ia juga akan menghubungkan penduduk Yishun dan Sembawang ke kemudahan dan sekolah tempatan dengan lebih baik, kata Encik Chee dalam satu hantaran di Facebook.

Ini termasuk Poliklinik Khatib, pusat beli-belah Wisteria Mall dan Sun Plaza, serta Sekolah Tinggi Chung Cheng (Yishun), Sekolah Rendah Naval Base, dan Sekolah Menengah Northland, lapor The Straits Times (ST).

Bas pertama akan bertolak dari Pusat Tukaran Bas Sembawang pada 5.30 pagi, dan bas terakhir bertolak dari pusat tukaran yang sama pada 11.30 malam sebagai perkhidmatan 861A yang berakhir di stesen MRT Khatib.

Perkhidmatan bas 861 adalah yang pertama dilancarkan di bawah Program Peningkatan Rangkaian Bas (BCEP) yang diumumkan pada Julai.

Di bawah BCEP, sehingga $900 juta akan dibelanjakan sepanjang lapan tahun untuk mempertingkat rangkaian bas Singapura.

Ini termasuk pelancaran lebih awal bagi perkhidmatan bas di bandar baru, lebih banyak khidmat bas laluan ekspres pada waktu sibuk, dan lebih banyak perjalanan bas di laluan tertentu.

Di bawah daya usaha itu, satu lagi khidmat bas, iaitu Khidmat Langsung ke Kawasan Bandar (CDS), yang merupakan khidmat laluan ekspres sehala dari estet perumahan ke kawasan bandar, akan dilancarkan bagi penduduk Punggol pada Oktober.

Khidmat bas ekspres pada waktu sibuk itu “akan memberi penduduk pilihan perjalanan alternatif dan melengkapi laluan MRT yang lebih sibuk”, kata Encik Chee.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang melancarkan BCEP pada Julai, perkhidmatan bas di estet perumahan baru akan dimulakan dengan lebih cepat bagi memenuhi keperluan penduduk yang paling awal berpindah ke kawasan berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg