Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 penerbangan antara S’pura, London terjejas ekoran penutupan Heathrow

Mar 21, 2025 | 4:14 PM
Orang ramai berjalan melepasi papan maklumat yang memaparkan penerbangan Singapore Airlines SQ318 ke London Heathrow yang dibatalkan, di Lapangan Terbang Changi pada 21 Mac 2025.
Orang ramai berjalan melepasi papan maklumat yang memaparkan penerbangan Singapore Airlines SQ318 ke London Heathrow yang dibatalkan, di Lapangan Terbang Changi pada 21 Mac 2025. - Foto AFP

Sekurang-kurangnya 11 penerbangan antara Singapura dengan London telah dibatalkan atau dilencongkan selepas pihak Lapangan Terbang Heathrow di Britain berkata pada 21 Mac bahawa ia akan ditutup sehingga tengah malam (8 pagi pada 22 Mac, waktu Singapura).

Enam daripada 11 penerbangan itu telah dibatalkan, menyebabkan rancangan beribu-ribu penumpang tergendala.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Singapore Airlines (SIA) berkata penerbangan SQ305, SQ317, SQ319 dan SQ321 yang dijadualkan berlepas dari London pada 21 Mac telah dibatalkan.

Penerbangan SQ318, yang sepatutnya berlepas dari Singapura pada 12.45 tengah hari pada 21 Mac, turut dibatalkan.

Penerbangan SQ308, yang berlepas dari Singapura pada 21 Mac, akan kembali ke Singapura dan dijangka mendarat pada 4.30 petang. Penerbangan itu kemudiannya dibatalkan.

SIA berkata ia akan memberikan bantuan kepada para penumpang yang terjejas, termasuk penginapan hotel dan mengatur penerbangan alternatif atau pengangkutan darat.

Beberapa penerbangan telah dilencongkan ke lapangan terbang negara berhampiran.

SQ322, yang berlepas dari Singapura pada 20 Mac, telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Frankfurt di Jerman.

SQ306, yang berlepas dari Singapura pada 21 Mac, akan dilencongkan ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris, Perancis.

Qantas memberitahu ST bahawa penerbangan QF1 sedang dalam perjalanan ke London dan telah dilencongkan ke Paris.

Syarikat penerbangan itu telah mengatur bas untuk membawa penumpang bagi perjalanan yang dianggarkan selama sembilan jam ke London.

Penerbangan QF2 yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow ke Lapangan Terbang Changi pada 21 Mac juga mungkin terjejas.

Qantas menambah bahawa ia memantau dengan teliti keadaan dan akan menghubungi pelanggan secara langsung jika penerbangan mereka terjejas.

Menurut laman web penjejakan penerbangan FlightAware, Penerbangan BA12, yang meninggalkan Singapura pada 20 Mac, telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Gatwick dan mendarat pada 21 Mac.

Syarikat British Airways berkata ia sedang berusaha memberi maklumat terkini kepada penumpang mengenai pilihan perjalanan mereka bagi 24 jam seterusnya dan selepas itu.

Jurucakapnya berkata bahawa ia sedang mengalihkan penerbangan masuk yang sudah dalam perjalanan ke Heathrow ke lapangan terbang Britain yang lain.

Bagi menjawab pertanyaan ST, Changi Airport Group (CAG) berkata penumpang yang melakukan perjalanan dari Singapura dan Lapangan Terbang Heathrow di London dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan mereka mengenai status penerbangan masing-masing.

Penumpang boleh menyemak status penerbangan yang berlepas dari dan tiba di Changi di laman web CAG.

Lapangan Terbang Heathrow telah mengalami satu gangguan bekalan elektrik yang besar ekoran kebakaran di satu pencawang elektrik berhampiran yang membekalkan tenaga kepada lapangan terbang itu.

Pasukan bomba sedang menangani kemalangan itu tetapi belum ada kepastian mengenai bila kuasa boleh dipulihkan, kata seorang jurucakap Heathrow kepada agensi berita Reuters melalui e-mel.

Jurucakap Heathrow menambah bahawa ia menjangkakan gangguan yang ketara dalam beberapa hari akan datang.

Menurut laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24, sekurang-kurangnya 120 penerbangan perlu dilencongkan ekoran penutupan lapangan terbang tersebut.

Berpuluh-puluh lencongan ke lapangan terbang lain telah berlaku, dengan Qantas Airways mengubah haluan penerbangannya dari Perth ke Paris, dan penerbangan United Airlines dari New York dilencongkan ke Shannon, Ireland.

Selain itu, satu penerbangan United Airlines dari San Francisco dijadual mendarat di Washington, bukannya London.

Menurut syarikat perundingan data penerbangan, OAG, Heathrow ialah lapangan terbang antarabangsa kedua tersibuk di dunia pada 2024 di belakang Dubai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg