Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

11 syarikat langgar pengurusan selamat didenda

Kesemua 11 syarikat gagal pastikan langkah bekerja dari rumah sebagai pilihan tersedia; MOM periksa lebih 530 tempat kerja
May 25, 2021 | 5:30 AM
TERUS BEKERJA DI RUMAH: Majikan harus memastikan terdapat langkah pengurusan selamat yang mencukupi pada setiap masa di tempat kerja namun digesa menyediakan kemudahan yang diperlukan dan mengarahkan pekerja mereka untuk bekerja di rumah seberapa mana yang boleh. - Foto fail
TERUS BEKERJA DI RUMAH: Majikan harus memastikan terdapat langkah pengurusan selamat yang mencukupi pada setiap masa di tempat kerja namun digesa menyediakan kemudahan yang diperlukan dan mengarahkan pekerja mereka untuk bekerja di rumah seberapa mana yang boleh. - Foto fail -

PEMERINTAH telah mengeluarkan denda terhadap 11 syarikat yang melanggar langkah pengurusan selamat antara 8 dengan 21 Mei lalu.

Kesemua 11 syarikat itu gagal memastikan langkah kerja dari rumah (WFH) menjadi aturan kerja pilihan bagi pekerja yang boleh melakukannya, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerusi satu kenyataan semalam.

MOM telah memeriksa lebih 530 tempat kerja sepanjang tempoh tersebut.

Tambahnya, mereka juga akan meningkatkan pemeriksaan di tempat kerja untuk memastikan garis panduan terkini langkah pengurusan selamat dilaksana dengan baik.

Di bawah nasihat terkini bagi langkah pengurusan selamat di tempat kerja yang dikeluarkan pada 14 Mei, majikan perlu melaksana langkah WFH sebagai aturan 'default'.

Semua pekerja yang boleh menjalankan tugas mereka di rumah harus melakukan demikian.

Majikan juga harus menyediakan kemudahan yang diperlukan dan mengarahkan pekerja mereka untuk bekerja di rumah seberapa mana yang boleh.

Hanya pekerja yang tidak boleh bekerja dari rumah disebabkan jenis pekerjaan mereka, seperti perlu menggunakan peralatan tertentu yang hanya terdapat di tempat kerja mereka, boleh terus bekerja di tempat kerja.

Menurut MOM, semua majikan yang mengendali operasi di tempat kerja juga harus membuat pengisytiharan tentang butiran tenaga manusia mereka di tempat kerja menerusi laman web https://covid.gobusiness.gov.sg selewat-lewatnya 28 Mei dan memberi maklumat terkini apabila ada perubahan besar.

Tanpa mengira jumlah pekerja yang diisytiharkan, adalah tanggungjawab majikan untuk memastikan semua pekerja bekerja dari rumah jika boleh.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap majikan jika pekerja yang boleh bekerja dari rumah didapati berada di tempat kerja walaupun jumlah keseluruhan pekerja di tempat kerja itu berada di paras atau di bawah jumlah pekerja yang diisytihar.

Sementara itu, majikan harus memastikan terdapat langkah pengurusan selamat yang mencukupi pada setiap masa jika mereka mempunyai pekerja yang perlu bekerja di tempat kerja.

Ini termasuk membolehkan pekerja masuk kerja pada waktu yang berasingan, tidak mengerahkan pekerja ke tempat atau lokasi kerja yang berbeza serta memastikan tiada perhimpunan sosial, waktu makan yang berbeza, pekerja makan secara sendiri dan pekerja memakai pelitup pada setiap masa di tempat kerja.

"Kami menggesa majikan dan pekerja mematuhi garis panduan terkini ini untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

"Tindakan melanggar langkah pengurusan selamat di tempat kerja boleh dilaporkan menerusi aplikasi SnapSAFE, dengan identiti mereka yang memberi maklumat itu dirahsiakan," ujar MOM.

Senarai penuh langkah pengurusan selamat di tempat kerja boleh didapati di laman web http://go.gov.sg/smm.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg