Sebanyak 250 kesalahan dikesan, manakala 111 Alat Mobiliti Aktif (AMD) dan kenderaan bermotor disita dalam satu operasi sembilan hari antara 1 dengan 26 Jun.

Operasi itu dijalankan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Pusat Polis Kejiranan (NPC).

Ia melibatkan beberapa ‘lokasi panas’ yang dikenal pasti, termasuk kawasan di mana orang ramai berkumpul, pusat bandar dan kawasan perumahan terpilih seperti Sengkang, Punggol dan Yishun.

Menurut kenyataan media LTA pada 26 Jun, mereka telah menyita lebih 600 AMD yang tidak mematuhi peraturan sejak Januari hingga kini.

Antara kesalahan yang paling kerap dikesan adalah pemilikan AMD yang tidak menepati piawaian keselamatan UL2272; Basikal Guna Kuasa (PAB) yang tidak mematuhi peraturan; serta penggunaan plat nombor yang tidak sah, sama ada terlindung atau telah diubah suai.

Piawaian UL2272 merujuk kepada Alat Mobiliti Peribadi (PMD) yang tidak dibenarkan melebihi kelajuan 25 kilometer sejam (kmh), mempunyai berat 20 kilogram, lebar 70 sentimeter dan perlu menjalani pemeriksaan LTA setiap dua tahun.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 11 kesalahan melibatkan peruncit turut dikesan.

Kesalahan lazim dalam kalangan peruncit termasuk mempamerkan dan menjual AMD yang tidak menepati piawaian keselamatan yang ditetapkan LTA.

Pada 26 Jun, pihak media termasuk Berita Harian (BH) dipelawa menyaksikan operasi penguatkuasaan oleh LTA dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di Sengkang dan Punggol – yang merupakan hari terakhir operasi itu.

Sebanyak 25 kesalahan dikesan dan 15 AMD disita pada hari tersebut, yang disaksikan pihak media.

Seramai 40 pegawai penguatkuasaan dikerah bagi operasi pada hari tersebut, dengan lebih 100 pegawai terlibat sepanjang operasi selama sembilan hari itu.

Sepanjang operasi tersebut yang dijalankan dari 5 petang hingga 10 malam, BH mendapati, terdapat beberapa AMD yang ditahan di kawasan umum termasuk laluan pejalan kaki dan basikal.

AMD yang ditahan itu diperiksa had kelajuannya dengan menggunakan Alat Ukur Kelajuan (SMD).

AMD yang didapati menggunakan peranti dengan had kelajuan melampaui 25 kmh disita dan pemiliknya diberikan surat pengesahan sebelum menerima surat saman rasmi.

AMD yang disita kemudian akan dilonggok dan diangkut lori sebelum dihantar ke pusat sita LTA.

Sejak 2018, pegawai penguat kuasa LTA telah dilengkapi dengan alat pengukur kelajuan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kesalahan memandu melebihi had laju di laluan awam.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, LTA juga telah memasang kamera Sistem Penguatkuasaan dan Pengesanan Mobiliti Aktif (Ameds) untuk mengesan mereka yang melanggar had kelajuan.

Menurut jurucakap LTA, pihaknya akan memperluaskan rangkaian kamera Ameds secara berperingkat dalam beberapa tahun mendatang.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memasang kamera Sistem Penguatkuasaan dan Pengesanan Mobiliti Aktif (Ameds) untuk mengesan pelanggaran had laju. Menurut jurucakap LTA, mereka akan memperluaskan rangkaian kamera Ameds secara berperingkat dalam beberapa tahun mendatang.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah memasang kamera Sistem Penguatkuasaan dan Pengesanan Mobiliti Aktif (Ameds) untuk mengesan pelanggaran had laju. Menurut jurucakap LTA, mereka akan memperluaskan rangkaian kamera Ameds secara berperingkat dalam beberapa tahun mendatang. - Foto LTA

Selain Ameds, SMD, yang merupakan sebuah alat mudah alih juga telah diperkenalkan sejak November 2025.

Dengan kerjasama Politeknik Temasek (TP), SMD dicipta untuk mengesan pengubahsuaian haram dengan menguji kelajuan maksimum peranti walaupun ketika ia tidak bergerak.

Alat Ukur Kelajuan (SMD) dicipta hasil kerjasama dengan Politeknik Temasek (TP) untuk mengesan pengubahsuaian haram dengan menguji kelajuan maksimum peranti walaupun ketika ia tidak bergerak.
Alat Ukur Kelajuan (SMD) dicipta hasil kerjasama dengan Politeknik Temasek (TP) untuk mengesan pengubahsuaian haram dengan menguji kelajuan maksimum peranti walaupun ketika ia tidak bergerak. - Foto BH oleh AMIRA SYAHEERA AZLAN

Sejak 1 Jun 2026, hanya AMD yang berdaftar dengan LTA dibenarkan untuk diiklan dan dijual.

Bagi PMD, adalah satu kesalahan walau sekadar memiliki atau menyimpan peranti yang tidak menepati piawaian UL2272.

Bagi memastikan keselamatan pengguna dan orang ramai di laluan awam serta mengurangkan risiko kebakaran, LTA mewajibkan semua peranti bermotor mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Pengguna turut dinasihatkan supaya memastikan mereka telah memperoleh Sijil Keperluan Perubatan atau Certificate of Medical Need, atau dikecualikan daripada syarat tersebut, sebelum membeli AMD.

Pegawai penguat kuasa LTA akan terus menjalankan rondaan berkala, termasuk operasi pada lewat malam, bagi mengesan dan menahan pengguna yang melanggar peraturan.

Pihak LTA juga sedang bekerja rapat dengan sukarelawan masyarakat untuk menjalankan rondaan bersama serta memperkukuh usaha penguatkuasaan.