Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenunggang AMD diubah suai guna Telegram sebar maklumat elak penguatkuasaan
Penunggang AMD diubah suai guna Telegram sebar maklumat elak penguatkuasaan
Dianggotai sehingga ratusan pengguna, kumpulan perbualan jadi wadah jual beli bahagian AMD, atur kegiatan penunggang
Penunggang AMD diubah suai guna Telegram sebar maklumat elak penguatkuasaan
Mereka biasanya berhimpun pada waktu malam untuk ‘menguji’ kelajuan alat mobiliti aktif (AMD) masing-masing.
Namun perbincangan rancak antara anggota kumpulan itu sebenarnya lazim berlaku dalam talian dan pada bila-bila masa saja.
Masyarakat pemilik AMD yang mengubah suai alat mobiliti mereka supaya menjadi lebih laju dan tahan lebih lama – sebelum perlu dicas lagi – sebenarnya menganggotai beberapa kumpulan perbualan sulit atau kumpulan sembang di platform perbualan seperti WhatsApp dan Telegram.
Adalah sukar untuk menyertai kumpulan perbualan tersebut. Seseorang pengguna baru hanya akan diterima jika beliau mempunyai kenalan yang memang anggota sedia ada kumpulan tersebut.
Kumpulan seperti itu biasanya digunakan untuk menjual bahagian AMD dan alat yang telah diubah suai, selain perbuatan lebih menjolok mata seperti mengatur rancangan untuk berlumba atau menguji mesin yang diubah.
Selain itu, kumpulan yang dianggotai sehingga 800 orang itu juga berkongsi maklumat terkini mengenai sebarang operasi penguatkuasaan.
Justeru, sikap berahsia tersebut perlu, menurut seorang anggota kumpulan yang hanya ingin dikenali sebagai Akid, 24 tahun.
“Melalui saluran itu, kami akan saling mengawasi dan mengkhabarkan dalam saluran itu kepada semua anggota jika ternampak sebarang pegawai penguatkuasaan.
“Ini akan memastikan penunggang AMD mengelak kawasan tersebut,” ujar beliau.
Namun, beliau melahirkan rasa prihatin bahawa kumpulan perbualan yang dianggotainya mungkin telah ‘dicerobohi’ pegawai pihak berkuasa.
“Baru-baru ini, beberapa AMD haram telah disita.
“Saya tidak terkejut jika ada ‘hantu’ (merujuk kepada pegawai penguatkuasaan) dalam saluran komunikasi dan tahu lokasi kami,” kata beliau.
Kegiatan mengubah suai AMD lebih menarik perhatian baru-baru ini selepas beberapa video yang menunjukkan AMD sedemikian ditunggang dengan amat laju dikongsi dalam talian.
Malah, ada yang mendakwa AMD sedemikian ditunggang dengan kelajuan 200 kilometer sejam (kmh), iaitu lapan kali ganda lebih laju daripada had maksimum yang dibenarkan undang-undang.
AMD merangkumi alat mobiliti peribadi (PMD), basikal menggunakan kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).
Sejak 1 Jun 2026, Singapura telah mempertingkat undang-undang ke atas PMA dan PMD, dan hanya alat yang berdaftar dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan mematuhi piawaian UL2272 boleh digunakan di sini.
PMD dihadkan kelajuannya kepada 25 kmh dan adalah satu kesalahan untuk memiliki alat mobiliti yang tidak mematuhi piawaian UL2272.
Namun, pemeriksaan Berita Harian (BH) selama beberapa malam di Yishun dan Woodlands baru-baru ini, menunjukkan beberapa penunggang telah mengubah suai AMD masing-masing supaya boleh mencapai kelajuan antara 100 kmh dengan 200 kmh.
Mereka juga menggunakan bateri kuasa lebih besar untuk mengurangkan keperluan mengecas kenderaan.
Difahami, kumpulan penunggang AMD ‘haram’ ini bergerak dalam ‘kawasan operasi’ tertentu mengikut kumpulan masing-masing.
Ada sekurang-kurangnya tujuh kumpulan yang aktif di Singapura pada masa ini, masing-masing dengan wadah perbualan kumpulan sembang sulit tersendiri.
Seorang pengguna AMD, Ismail (bukan nama sebenar), berkata beliau pernah melihat kumpulan remaja yang berhimpun di Lau Pa Sat dan beberapa kawasan di Yishun dan Woodlands Avenue 12 untuk menunggang AMD bersama-sama dan dengan laju, biasanya selepas tengah malam.
Pihak berkuasa sedar akan kegiatan mengubah suai AMD dan telah menjalankan operasi penguatkuasaan sejak awal 2026.
Februari lalu, sebuah kedai yang disyaki menjual AMD yang tidak mematuhi piawaian di sebuah kawasan perindustrian di Woodlands diserbu oleh pegawai LTA.
Pada hari sama, pegawai LTA turut melakukan pemeriksaan ke atas pengguna AMD yang menunggangnya di Admiralty.
Sebanyak 19 AMD haram disita, dengan LTA berkata ia mengesan 36 kesalahan di kededua tempat.
Kesalahan itu termasuk penjualan PAB yang tidak dibenarkan, AMD yang belum berdaftar atau yang tidak menunjukkan plat nombor.
Sekitar 900 AMD tidak mematuhi piawaian disita pada 2025, kata LTA.
Ia merakam sekitar 900 kesalahan berhubung alat mobiliti yang tidak mematuhi piawaian.
Walau tindakan pihak berkuasa sedikit sebanyak telah berjaya mengekang penjualan dan penggunaan AMD yang tidak memenuhi piawaian, pemeriksaan BH menunjukkan kegiatan jual beli dan rancangan mengubah suai AMD rancak diadakan dalam talian, menerusi kumpulan perbualan yang dikawal rapi di Telegram.
Hampir setiap hari, terdapat individu yang akan mempamerkan AMD atau bahagian seperti bateri, motor, roda dan rangka peranti pelbagai jenis.
Malah, AMD yang diubah suai sepenuhnya turut dijual pada harga antara $2,000 dengan $4,000 bergantung pada tahap modifikasi.
Menurut Syaz (bukan nama sebenar), 27 tahun, pengubahsuaian biasanya dilakukan oleh penunggang atau pemilik AMD itu sendiri.
Bagi pengubahsuaian lebih kompleks, mereka akan menghantar alat itu ke bengkel yang beroperasi di Singapura secara sulit atau di Johor Bahru (JB), kata Syaz, pengasas salah satu kumpulan penggemar AMD sedemikian.
Menurut beliau, kos pengubahsuaian penuh lazimnya akan mencecah lebih $2,000.
Walaupun pengubahsuaian dilakukan untuk meningkatkan had kelajuan, Syaz tetap menafikan kumpulan AMD terlibat dalam perlumbaan haram di beberapa kawasan di Singapura.
Apabila didesak, Syaz akur perbuatan mereka mengubah suai AMD supaya bergerak lebih laju salah di sisi undang-undang.
Namun, beliau berkata hanya segelintir pengguna AMD lebih muda mungkin lebih cenderung berlumba untuk menguji kelajuan AMD yang telah diubah suai.
“Jika ada polis atau LTA, kami melarikan diri saja,” katanya, acuh tak acuh.
“
“Melalui saluran (Telegram) itu, kami akan saling mengawasi dan mengkhabarkan dalam saluran itu kepada semua anggota jika ternampak sebarang pegawai penguatkuasaan. Ini akan memastikan penunggang AMD (alat mobiliti aktif) mengelak kawasan tersebut.”