115 spesies agas kulat baru ditemui di S’pura; sesetengah dinamakan sempena wanita terkenal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

115 spesies agas kulat baru ditemui di S’pura; sesetengah dinamakan sempena wanita terkenal

Kajian baru menemui 120 spesies serangga di sini
Feb 2, 2026 | 2:36 PM

115 spesies agas kulat baru ditemui di S’pura; sesetengah dinamakan sempena wanita terkenal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Antara spesies agas baru ditemui, Mycetophila georgettechenae, dinamakan sempena pelukis cat terkenal Singapura, Georgette Chen.
Antara spesies agas baru ditemui, Mycetophila georgettechenae, dinamakan sempena pelukis cat terkenal Singapura, Georgette Chen. - Foto LEE KONG CHIAN NATURAL HISTORY MUSEUM

Agas kulat atau fungus gnat, serangga kecil dengan saiz hanya beberapa milimeter, mungkin sebelum ini kurang mendapat perhatian, namun kini tidak lagi.

Satu kajian baru yang diterbitkan pada 30 Disember 2025 telah menemui 120 spesies serangga yang gemar memakan kulat ini di Singapura.

Ini merupakan kali pertama kepelbagaian agas kulat di Singapura dipetakan, kerana sebelum ini belum ada spesies agas kulat yang direkodkan secara rasmi di sini.

Daripada 120 spesies yang dikenal pasti dalam kajian tersebut, 115 merupakan spesies baru dalam dunia sains, yang sebelum ini tidak diketahui.

Daripada spesies baru diketahui tersebut, 31 dinamakan sempena wanita yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura (SWHF).

Langkah itu diambil sebagai usaha penyelidik untuk menghargai sumbangan wanita berkenaan serta menangani ketidakseimbangan jantina dalam penamaan saintifik.

Bagi mereka yang gemar berkebun, sesetengah keluarga agas kulat dianggap sebagai serangga perosak kerana diketahui sering menyerang tanaman dalam pasu.

Namun, kumpulan lain daripada makhluk yang mendiami hutan ini dipercayai memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem hutan, dan cara khusus mereka menyumbang kepada hutan dan masih memerlukan kajian lanjut.

Antara yang terlibat dalam kajian tersebut ialah penyelidik serangga daripada Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (LKCNHM-NUS), Dr Ang Yuchen.

Menurutnya, apabila agas ini memakan dan bergerak antara kelompok kulat, mereka mungkin mempengaruhi keseimbangan masyarakat kulat – satu mekanisme asas yang mengekalkan kelangsungan ekosistem hutan.

Namun, peranan mereka dalam ekosistem masih memerlukan penyelidikan lanjut, justeru penting untuk membina asas maklumat awal, tambah Dr Ang.

Beliau turut menekankan bahawa pengetahuan mengenai jenis agas yang wujud di Singapura serta habitat mereka penting bagi perancangan pemuliharaan.

“Jika kami menemui sesuatu spesies yang hanya wujud di habitat tertentu, sebarang pembangunan yang dirancang perlu mengambil kira keadaan spesies itu.

“Pembangunan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup Singapura perlu diutamakan, tetapi dengan maklumat ini, kita dapat membuat pilihan lebih tepat serta tindakan mitigasi bagi membantu memelihara warisan alam semula jadi kita,” jelas Dr Ang.

Kajian itu bermula pada 2012, apabila penyelidik muzium bekerjasama dengan penyelidik dari Brazil, Jerman, dan Norway untuk mengenal pasti spesies agas di Singapura.

Turut bekerjasama dalam kajian tersebut ialah pakar lalat global, khususnya agas kulat, Profesor Dalton de Souza Amorim daripada Universiti Sao Paulo.

Apabila ditanya sebab kumpulan penyelidik ini memilih untuk menumpukan kajian mereka pada serangga ini, Dr Ang menjelaskan bahawa kerana saiznya yang kecil, agas kulat kurang dikaji meskipun ia merupakan kumpulan besar yang kaya dengan spesies.

Beliau menambah bahawa kaedah konvensional untuk membezakan spesies memerlukan pemeriksaan dijalankan pada setiap satu organisma kecil ini, serta pengetahuan pakar mengenai perbezaan halus dalam ciri organisma.

Namun, kaedah saintifik baru berskala besar, seperti pengekodan DNA yang membolehkan spesimen disusun mengikut bahan genetik mereka, telah membantu mempercepat proses ini, jelas Dr Ang.

Beliau menambah bahawa penemuan spesies baru ini menunjukkan Singapura mampu menyokong kepelbagaian serangga lebih luas daripada yang diketahui sebelum ini.

“Singapura terletak di zon yang kaya biodiversiti dengan salah satu kadar endemisme tertinggi (spesies yang hanya ditemui dalam kawasan geografi tertentu) disebabkan kepulauan yang membentuk negara kita,” ujar Dr Ang.

“Justeru, meskipun satu habitat telah mengalami pembangunan dan pembangunan semula, kami masih menemui banyak spesies baru,” tambah beliau.

Mengenai penamaan sesetengah spesies baru sempena wanita yang terkenal dalam bidang masing-masing di Singapura, Profesor Amorim berkata:

“Kami ingin menceritakan sedikit sejarah Singapura melalui nama-nama ini serta menghargai individu yang sumbangannya kepada masyarakat Singapura moden dirasakan wajar diberi lebih perhatian.”

Spesies Mycetophila georgettechenae contohnya dinamakan sempena pelukis cat terkenal Singapura, Cik Georgette Chen, manakala spesies Integricypta shirinae dinamakan sempena aktivis hak wanita, Cik Shirin Fozdar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg