Topik diikuti
Pergi ke BHku118 kanak-kanak, belia sertai Kem Futsal Belia Mapletree
118 kanak-kanak, belia sertai Kem Futsal Belia Mapletree
118 kanak-kanak, belia sertai Kem Futsal Belia Mapletree
Bagi Adam Haqque, 13 tahun, perkara paling bermakna yang dibawa pulang daripada Kem Futsal Belia Mapletree bukanlah kemahiran baharu menggelecek atau menjaringkan gol, sebaliknya persahabatan yang terjalin sepanjang kem itu.
Menyertai program tersebut buat kali ketiga, beliau antara peserta yang melihat sukan bukan sekadar medan persaingan, malah wadah membina keyakinan diri, semangat berpasukan dan hubungan dengan rakan baharu.
Adam merupakan antara 118 kanak-kanak dan belia berusia antara tujuh dengan 16 tahun yang menyertai Kem Futsal Belia Mapletree edisi kelapan, yang berlangsung dalam empat sesi sepanjang cuti sekolah Jun di Mapletree Business City.
Dianjurkan menerusi tonggak Pendidikan di bawah program Tanggungjawab Korporat dan Sosial (CSR) Mapletree, kem itu menghimpunkan anak kakitangan dan penyewa syarikat, selain belia daripada beberapa agensi khidmat sosial bagi mengasah kemahiran futsal sambil memupuk nilai kesukanan, kerjasama dan persahabatan.
Agensi tersebut termasuk Beyond Social Services, Boys’ Town, CATCH Plus di Jalan Kukoh dan ComLink+ Bukit Merah anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Pengerusi Mapletree, Encik Edmund Cheng, berkata kem berkenaan terus menjadi wadah bermakna bagi membantu kanak-kanak dan belia membangunkan kemahiran serta nilai yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
“Program seperti ini membantu merapatkan jurang sosial, menggalakkan hubungan yang lebih erat serta menyokong perkembangan golongan muda.
Selaras dengan rangka kerja CSR kami, Mapletree kekal komited memperkasa kanak-kanak dan belia menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Adam, yang pernah menyertai kem yang sama pada 2023 dan 2024, berkata beliau sentiasa menantikan program itu setiap kali cuti sekolah kerana berpeluang mempelajari teknik baharu daripada jurulatih selain berkenalan dengan peserta lain.
“Saya seronok belajar kemahiran baharu dan bermain bersama rakan-rakan baharu.
“Semua orang sangat berbakat dan saya gembira dapat berkawan dengan mereka,” katanya.
Sebagai kesinambungan usaha itu, Mapletree akan menganjurkan Cabaran Futsal Mapletree pada Ogos ini sempena Bulan Masyarakat Mapletree.
Kejohanan amal itu terbuka kepada penyewa dan kakitangan syarikat yang menyumbang sekurang-kurangnya $500 bagi setiap pasukan, dengan Mapletree akan memadankan setiap dolar yang disumbangkan.
Semua hasil kutipan akan disalurkan kepada penerima manfaat belia Mapletree sebagai sebahagian usaha berterusan syarikat memperkukuh hubungan masyarakat dan menghasilkan kesan sosial yang positif.
