Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah menangkap 12 pemandu di Lapangan Terbang Changi pada 18 Disember kerana menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 19 Disember, LTA menjelaskan bahawa pemandu-pemandu tersebut menawarkan khidmat pengangkutan antara Singapura dengan Malaysia, dan juga serata Singapura.
Namun, mereka tidak memiliki Lesen Kenderaan Khidmat Awam (PSVL) yang sah untuk menawarkan perjalanan rentas sempadan.
Menurut LTA, kenderaan berdaftar asing yang digunakan oleh pemandu-pemandu tersebut juga telah disita, lapor The Straits Times (ST).
LTA turut menyeru orang ramai untuk mengelakkan daripada menggunakan perkhidmatan pengangkutan tanpa lesen seperti itu.
“Perkhidmatan ini tidak selamat dan mungkin tidak mempunyai insurans mencukupi yang boleh membahayakan penumpang,” kata agensi tersebut.
Pada Ogos 2024, LTA juga telah menjalankan tindakan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Changi dan memberkas 14 pemandu atas kesalahan serupa.
LTA menjelaskan bahawa hanya teksi berdaftar di Singapura dan Malaysia yang diluluskan oleh LTA dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan.
Selain PSVL, teksi berdaftar Malaysia juga mesti memiliki permit kenderaan perkhidmatan awam Asean.
Pemandu teksi berlesen dari Malaysia hanya dibenarkan mengambil atau menurunkan penumpang di Terminal Ban San Street di Rochor.
Mereka tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain di Singapura.
Ini kerana pihak berkuasa ingin memastikan pendapatan yang adil untuk pemandu teksi tempatan dan kereta sewa persendirian, menurut kenyataan daripada Kementerian Pengangkutan dan LTA sebagai respons kepada satu surat forum daripada pembaca ST.
Mereka yang didapati bersalah kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara haram boleh didenda sehingga $3,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya.
Kenderaan yang digunakan dalam perkhidmatan secara haram itu juga boleh dirampas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg