“Singapura $20, Singapura $25 terus sampai rumah!”
Itulah laungan biasa yang bergema di Terminal Bas Larkin atau JB Sentral.
Setiap hari, suara-suara ini memanggil warga Singapura, menawarkan perkhidmatan kenderaan haram yang menjanjikan perjalanan selesa hingga ke pintu rumah, dengan harga yang jauh lebih murah berbanding teksi Johor Bahru (JB)-Singapura yang sah.
Setelah beberapa minit berbincang, para pelanggan sering kali termakan pujukan, tertarik dengan janji perjalanan cepat dan murah, lantas menaiki kenderaan itu.
Kata seorang pemandu haram yang enggan dikenali: “Kereta penuh, baru kita jalan. Kalau tak, tunggu sekejap. Lagi ramai, lagi murah harga.”
Penawaran perkhidmatan ini berpusat di sekitar Pasar Awam Larkin dan JB Sentral di mana lebih daripada 20 pengendali kereta perkhidmatan haram disyaki beroperasi dengan puluhan kereta sedia menunggu penumpang untuk dibawa melintasi sempadan.
Mereka biasanya menggunakan kenderaan persendirian multi purpose vehicle atau MPV dengan tujuh tempat duduk penumpang.
Selama lebih 30 tahun, khidmat kenderaan haram atau juga lebih dikenali sebagai Pak Wanca atau teksi atau kereta sapu di kalangan orang umum ini telah menjadi alternatif ‘bawah tanah’ bagi warga Singapura dan Malaysia yang ingin menjimatkan kos perjalanan rentas sempadan.
Namun, selepas pandemik Covid-19 dan sempadan mula dibuka, cara operasi mereka juga berubah.
Platform dalam talian kini menjadi medium baru untuk menarik penumpang. Dengan hanya satu klik, perkhidmatan ini diiklankan melalui aplikasi sembang atau laman media sosial yang memudahkan urusan tempahan.
Kalau dulu mereka hanya beroperasi di sekitar stesen Terminal Bas Larkin dan JB Sentral, kini pengendali perkhidmatan haram ini sudah menukar taktik baru dengan menunggu di pusat beli-belah seperti di KSL, Aeon Tebrau dan Plaza Angsana – dan secara senyap menawarkan penghantaran terus ke pintu rumah pelanggan di Singapura.
“Terminal Larkin dan JB Sentral dah penuh dengan prebet sapu. Kita orang baru, tak boleh masuk (di sana), jadi terpaksa buka tempat baru,” ujar seorang pemandu Pak Wanca yang mahu dikenali sebagai ‘Ah Soo’ yang ditemui di JB.
Dengan tawaran harga serendah $20 hingga $30 seorang, ramai pelancong Singapura ‘tergoda’ untuk menggunakan khidmat ini, walaupun ia jelas melanggar undang-undang.
Pemandu-pemandu kenderaan perkhidmatan haram ini biasanya akan mendekati pelanggan secara langsung di kawasan meletak kereta atau lobi pusat beli-belah.
Namun mereka tidak beroperasi setiap hari, kebanyakannya pada hujung minggu ketika ramai rakyat Singapura berkunjung ke Johor untuk bersantai atau membeli-belah.
Setelah pelanggan bersetuju dengan harganya, perjalanan akan diatur secara rahsia dan bayaran sering kali dilakukan secara tunai atau pemindahan bank.
Seorang pengendali khidmat Pak Wanca yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Ali, 63 tahun, dalam temu bual di JB Sentral bersama Berita Minggu (BM), berkata:
“Di sini (JB Sentral) memang laluan orang balik Singapura. Kita tak paksa dia. Dia orang yang cari kita,” kata Encik Ali yang mesra dan peramah, sambil menambah bahawa kepercayaan yang dibina selama bertahun-tahun membuatkan khidmat mereka terus diminati.
“Kita dah lama kat sini sebab tak menipu orang,” ujarnya yang mengakui telah menjalankan khidmat Pak Wanca selama lebih 15 tahun sebelum JB Sentral dibina.
Menurut Encik Ali lagi, walaupun perkhidmatan mereka tidak mempunyai permit pelancongan rasmi, mereka memastikan kereta-kereta yang digunakan berada dalam keadaan baik dan dilindungi insurans di Singapura.
“Kereta kita semua ada insurans di Singapura, cuma kita tak ada permit pelancongan,” dakwa Encik Ali.
Beliau turut mendedahkan bahawa ramai pengendali perkhidmatan ini terdiri daripada pemandu separuh masa yang dibayar antara antara RM50 ($15.20) hingga RM100 bagi setiap trip ke Singapura.
“Yang part time ni ramai, semuanya Melayu. Seminggu atau dua kali datang kerja. Tapi yang sepenuh masa dalam 10 hingga 20 orang,” dedahnya lagi.
Encik Ali, yang mengakui kini memiliki enam buah MPV pelbagai jenama yang baru, berkata: “Penumpang pun ramai yang regular, mereka dah lama guna khidmat kami.”
Menurutnya, mereka juga selalu diganggu pihak berkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang kerap melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan itu tetapi beliau mengakui tidak pernah ditangkap dan tidak pernah menghadapi masalah besar.
“Kalau salah parking, kena samanlah... itu biasalah,” ujarnya ketika menceritakan akiviti sehari-hari pengendali Pak Wanca di JB Sentral.
Dalam pertemuan dengan BM di JB, bekas pengendali Pak Wanca yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Mohamed Ravi berkata beliau telah berkecimpung selama lebih 15 tahun dalam industri pengangkutan – hampir lima tahun sebagai pengendali Pak Wanca dan kemudian menubuhkan syarikat kereta sewa.
“Selama lima tahun jadi Pak Wanca bukanlah satu kerja mudah dan saya rasa saya perlu ikut jalan yang betul dan menubuhkan syarikat kereta sewa,” ujarnya yang kini mempunyai 10 MPV dan 12 pemandu sepenuh masa yang mengangkut penumpang JB-Singapura.
“Pak Wanca ni memang dari dulu sediakan khidmat ambil dan hantar orang dari JB ke Singapura. Dari mula, kami kenakan caj $10 tapi sekarang dah naik hingga $40,” kata Encik Mohamed Ravi kepada BM sambil menjelaskan bahawa pada awalnya perkhidmatan itu hanya tertumpu kepada penghantaran dari JB ke Singapura sahaja, namun kini ia telah berkembang.
“Dulu kita tak ambil orang di Singapura, tapi sekarang dengan adanya Telegram dan platform lain, ada yang mula ambil penumpang dari Singapura. Bagi saya, ini mula mengganggu perkhidmatan sah di Singapura.”
Walaupun perkhidmatan Pak Wanca ini tidak berlesen dan tiada permit pelancongan, Encik Mohamed Ravi menjelaskan ramai pengendali cuba meningkatkan mutu dan keselamatan perkhidmatan walaupun mereka sedar ia suatu yang tidak sah dari segi undang-undang.
“Mereka sedar ada kelemahan, terutama dari segi insurans. Kadang-kadang, penumpang yang dibawa kita tak tahu latar belakang macam mana. Ada yang bawa barang tak sepatutnya dan kalau kena tahan di Singapura, kita semua kena soal siasat,” jelasnya.
Encik Mohamed Ravi menambah bahawa demi kepentingan penumpangnya, beliau telah mendapatkan lesen dan permit yang sah sejak 10 tahun lalu.
“Bukan mudah nak dapat lesen, kosnya tinggi. Tapi kami cuba ke arah itu... dengan ambil insurans untuk penumpang supaya ada perlindungan,” katanya lagi.
Menurut Encik Mohamed Ravi, salah satu sebab utama kenapa ramai orang, terutama dari Singapura, memilih perkhidmatan Pak Wanca adalah kerana perkhidmatan ini menawarkan penghantaran terus ke rumah. “Bezanya dengan teksi Singapura, mereka hanya boleh hantar sampai ke Rochor. Tapi kami boleh hantar terus ke rumah. Itu yang menarik minat mereka mendapatkan khidmat kami,” tambahnya.
Ini seperti pasangan suami isteri, Encik Ahmad Fadzil Abdullah dan Cik Nurul Afia Rahim.
Setiap kali bercuti ke Johor Bahru, mereka ingin menikmati pengalaman merasai hidangan asam pedas Johor dan mendapatkan rawatan spa yang menyegarkan.
Namun, ketika ingin bercuti bersama bayi berusia 10 bulan dan ibu bapa yang sudah berusia dan berkerusi roda, mereka menghadapi cabaran mencari jenis pengangkutan yang sesuai.
Mereka kemudian memilih untuk menempah sebuah Toyota Innova yang mempunyai tujuh tempat duduk dengan ruang tambahan bagi keluarga mereka serta barang-barang seperti kereta sorong bayi dan kerusi roda.
“Saya bayar $300 untuk satu MPV yang mengambil kami di rumah kami di Toa Payoh dan menghantar kami ke mana-mana di JB dan hantar balik. Kami bukan tak nak naik kereta api KTM atau teksi tetapi susahlah bila ada anak kecil, mak bapa pula tak berapa kuat berjalan. Nanti di JB pula, berbelanja barang pasar juga banyak,” ujar Cik Nurul.
Seperti Cik Nurul, ramai juga yang yang menempah Pak Wanca untuk destinasi di luar JB seperti Kuala Lumpur.
Antaranya ialah Encik Mohd Saiful Azam yang menyatakan bahawa beliau telah membayar $600 untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
Namun, beberapa penumpang dari Singapura tanpa disedari telah dikenakan caj yang melampau oleh segelintir teksi haram mewah untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura. Caj yang dikenakan dilaporkan mencecah sehingga RM1,000 ($300), jauh lebih tinggi berbanding harga biasa sekitar RM300.
Kegiatan ini bagaimanapun berjaya dilumpuhkan dalam satu operasi besar-besaran oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari 2 hingga 6 September lalu. Dalam operasi tersebut, sebanyak 21 MPV mewah yang digunakan oleh pemandu warga Malaysia untuk perkhidmatan teksi haram ini telah disita.
“Pemandu teksi haram ini bukan sahaja mengenakan caj yang terlalu tinggi, tetapi juga tidak menyediakan insurans untuk penumpang mereka. Ini boleh membahayakan nyawa penumpang sekiranya berlaku kemalangan atau insiden yang tidak diingini,” kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Pihak berkuasa Malaysia kini sedang memperketatkan pengawasan dan giat menjalankan operasi untuk menangani aktiviti ini. Beberapa tangkapan telah dilakukan, namun kegiatan ini sukar dibanteras sepenuhnya kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna yang ingin menjimatkan kos perjalanan.
Walaupun dengan penguatkuasaan yang semakin ketat, ramai penumpang masih memilih untuk menggunakan perkhidmatan Pak Wanca kerana keselesaan dan faktor harga yang dianggap warga Singapura sebagai “jauh lebih murah”.
Tinjauan BM mendapati pengendali-pengendali haram ini semakin canggih dalam menyembunyikan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa.
Meskipun begitu, kesannya semakin terasa di Singapura. Kegiatan ini bukan sahaja menjejas industri teksi yang sah, malah menjadi ancaman kepada keselamatan awam kerana kenderaan-kenderaan ini tidak melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg