Seramai 12 penulis sajak terbaik telah dipilih dari 27 penyertaan dalam Peraduan Menulis Sajak 2024 yang dianjurkan Berita Harian (BH).
Peraduan sajak itu dianjurkan bagi membolehkan pembaca BH berusia 18 hingga 35 tahun mengilhamkan karya mereka berdasarkan tema ‘nilai’.
Mereka dipilih panel pengadil yang diketuai Editor Bersekutu BH, Cik Hanim Saleh.
Merumuskan mengenai peraduan itu, Cik Hanim berkata: “Penulis-penulis sajak menunjukkan pengayaan bahasa yang matang, meliputi pilihan kata, majas, diksi, gambaran dan lain-lain yang sesuai dengan tema dan suasana puisi. Nampak keaslian penulis puisi.”
Beliau menambah dari segi struktur, ramai yang terikat dengan pendekatan pantun empat kerat dengan keempat-empat baris berkaitan secara berterusan.
“Walaupun ia tidak salah, penulis wajar mencabar diri untuk tidak terikat dengan format yang lumrah,’‘ tambah Cik Hanim.
Beliau juga menyatakan bahawa lebih 50 peratus penyertaan mempamerkan kefahaman penulis tentang karya puisi.
Ramai yang menggunakan gagasan pokok yang relevan dengan konteks sosial, budaya, atau zaman yang berkaitan dengan puisi. Ada karya yang memberi impak mendalam dengan faktor ‘wow’ yang jelas.
Pemenang yang melanggan Berita Harian (BH) akan menerima baucar makanan dari restoran-restoran The Blackhole Group bernilai $300 seorang, manakala pemenang yang tidak melanggan BH pula akan menerima baucar $100.
Antara pemenang ialah Cik Aisyah Lyana yang menulis sajak bertajuk “Payung terjun di awang-gemawang”, manakala Encik Fadhli Rusydi Fadzil menulis sajak bertajuk “Pulau Yang Terpulau.”
Para pemenang akan menerima butiran lanjut melalui e-mel dan sajak mereka akan diterbitkan di Berita Minggu (BM) pada Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg