Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$120,000 dikumpul kempen amal Ramadan M³@Woodlands untuk Gaza

Mar 23, 2025 | 7:54 PM
Encik Ong Ye Kung (berbaju biru di tengah), Cik Mariam Jaafar (bertudung biru di tengah) dan Encik Zalman Putra Ahmad Ali (sebelah Cik Mariam) bersama para penderma Kempen Amal Ramadan ‘Spirit of Sembawang’ M³@Woodlands.
Encik Ong Ye Kung (berbaju biru di tengah), Cik Mariam Jaafar (bertudung biru di tengah) dan Encik Zalman Putra Ahmad Ali (sebelah Cik Mariam) bersama para penderma Kempen Amal Ramadan ‘Spirit of Sembawang’ M³@Woodlands. - Foto BH oleh KHALID BABA

Lebih $120,000 dikumpul dalam Kempen Amal Ramadan ‘Spirit of Sembawang’ M³@Woodlands untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Dana itu disampaikan dalam satu majlis sempena acara Jom Berbuka pada 23 Mac di Pavilion Sukan Woodlands di Woodlands Drive 63.

Majlis itu dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Woodlands bersama M³@Woodlands, dan menghimpunkan pemimpin masyarakat MAEC, wakil masjid serta kumpulan kariah dari seluruh GRC Sembawang bagi menghargai usaha mereka sepanjang Ramadan.

Mengulas tentang sumbangan masyarakat Woodlands, anggota lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), yang juga Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Putra Ahmad Ali, berkata sokongan itu amat dihargai.

Ditanya tentang jumlah terkumpul untuk kempen itu setakat ini, beliau berkata pengumpulan dana masih berterusan, oleh itu beliau tidak dapat memberi maklumat lanjut.

“Ini menunjukkan apa yang berlaku di Gaza amat dekat di hati masyarakat Singapura,” katanya.

“Kami sangat berterima kasih atas sokongan daripada M³@Bandar, masjid di seluruh Singapura, dan semua penyumbang dermawan kami,” tambahnya.

Turut menyertai majlis penyampaian tersebut ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dan Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.

Sumbangan tersebut menyokong kempen kebangsaan ‘M³ in SG60 Action: Connecting, Contributing & Caring – Aid for Gaza’ (Tindakan SG60 M³: Menghubung, Menyumbang & Mengambil Berat – Bantuan bagi Gaza), yang merupakan projek mengumpul dana hasil kerjasama RLAF dan disokong Berita Harian (BH) sebagai media rasmi.

Kempen itu bertujuan menyediakan bantuan penting seperti makanan, air bersih dan bekalan perubatan kepada keluarga dan kanak-kanak yang terkesan akibat konflik di Gaza, dan akan berlangsung hingga 6 April.

Mengulas tentang kejayaan kempen tersebut, Encik Ong berkata Kementerian Kesihatan (MOH) akan bekerjasama dengan kementerian lain untuk menyediakan bekalan yang diperlukan mangsa konflik tersebut.

“MOH kini sudah pun menawarkan beberapa sokongan perubatan bagi mangsa konflik di Gaza. Dalam masa akan datang, kami berharap dapat terus membantu mangsa-mangsa itu dengan kerjasama bersama kementerian lain di sini,” kata Encik Ong.

Menurut Cik Mariam, pengumpulan dana itu bukan inisiatif baru.

“Setiap tahun, kami akan memilih badan amal tertentu untuk menderma dana itu dan pilihan badan amal tahun ini adalah jelas,” katanya.

“Inisiatif ini mencerminkan kekuatan dan kemurahan hati masyarakat kita. Setiap sumbangan amat bermakna, terutama sekali dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” tambahnya.

Ini adalah usaha pengumpulan dana kedua oleh masyarakat Woodlands untuk Gaza.

Sebelum ini, konsert Rok Untuk Rakyat 2 yang dianjurkan pada Oktober 2024 berjaya mengumpul lebih $170,000.

Kempen ‘Spirit of Sembawang’, yang memasuki tahun ketiga, terus mencerminkan komitmen masyarakat yang teguh terhadap usaha membantu mereka yang memerlukan, di dalam mahupun luar negara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg