Rakyat Palestin amat menghargai bantuan berterusan yang disumbangkan Singapura, di tengah-tengah konflik yang telah berlarutan selama lebih setahun, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Menulis di Facebook pada 20 Mac, Encik Masagos berkata para pegawai yang berada di lapangan telah memaklumkan demikian kepada beliau, sedang Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) terus mengumpulkan dana untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.
“Memandangkan konflik ini telah berlarutan selama lebih setahun, RLAF secara berterusan mengumpul dana bagi usaha bantuan di Gaza.
“Para pegawai yang berada di lapangan memaklumkan kepada saya bahawa rakyat Palestin amat menghargai bantuan berterusan dari Singapura.
“Ayuh kita terus bersatu padu dalam memberikan sokongan kepada kempen pengumpulan dana yang rasmi untuk membantu rakyat Palestin, seperti M³ Aid for Gaza anjuran bersama RLAF,” kata beliau.
Daya usaha ‘Aid for Gaza’ itu telah berjaya mengumpulkan sekitar $266,000 dalam tempoh hampir dua minggu sahaja sejak kempen pengumpulan dana itu dilancarkan pada 1 Mac.
Projek dengan kerjasama RLAF itu menetapkan sasaran mengumpul $600,000 untuk bantuan kemanusiaan di Gaza dari 24 Februari hingga 6 April.
Sepanjang satu setengah tahun lalu, RLAF telah mengumpulkan lebih $13 juta dan kini sedang melaksanakan kempen pengumpulan dana keempat untuk Gaza.
Melahirkan rasa prihatin terhadap penyambungan semula serangan ke atas Gaza yang terus mengakibatkan korban jiwa orang awam yang tidak bersalah, Encik Masagos berkata tindakan keganasan sedemikian “tidak boleh diterima dan lebih dikesali pada bulan Ramadan yang suci ini”.
Menurut laporan agensi berita Reuters, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Khalil Al-Deqran, berkata serangan udara ke atas Gaza telah membunuh 510 rakyat Palestin sejak Israel menyambung semula serangannya pada 18 Mac.
Pada 19 Mac, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Singapura amat prihatin dengan penyambungan semula serangan di Gaza, dan mendesak semua pihak agar “menyambung semula rundingan ke arah satu gencatan senjata kekal”.
Sedang umat Islam beribadah menyambut 10 malam terakhir Ramadan dan lailatulqadar, Encik Masagos mengajak semua agar memanjatkan doa untuk mereka yang menderita di mana-mana sahaja, termasuk di Gaza.
“Semoga damai hadir segera dan para mangsa dilindungi dan diberikan kekuatan serta ketabahan untuk mengharungi cabaran konflik yang berlarutan ini,” kata beliau.
“Semoga kita semua diberikan kesempatan untuk meraih keberkatan lailatulqadar, dan dikabulkan segala doa murni kita, insya-Allah. Semoga saudara kita di Palestin dikurniakan ketenangan,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg