Satu daya usaha M Kuasa Tiga (M³) sedang dijalankan untuk mengumpul dana bagi bantuan kemanusiaan bagi Gaza daripada masyarakat Melayu/Islam.
M³ in SG60 Action: Connecting, Contributing & Caring – Aid for Gaza’ (Tindakan SG60 M³: Menghubung, Menyumbang & Mengambil Berat – Bantuan bagi Gaza) merupakan projek mengumpul dana hasil kerjasama Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan disokong Berita Harian (BH) sebagai media rasmi.
Mereka telah menetapkan sasaran mengumpul $600,000 dari 24 Februari hingga 6 April.
Pada 1 Mac, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melancarkan daya usaha itu di reruai #364 Bazar Raya di Wisma Geylang Serai.
“Di tengah-tengah tragedi ini, kita telah menyaksikan sesuatu yang benar-benar luar biasa, iaitu warga Singapura daripada semua lapisan masyarakat berkumpul, bersatu dengan empati, belas kasihan dan keazaman bersama untuk membantu.
“Pelancaran Bantuan bagi Gaza M³ mencerminkan perpaduan masyarakat Melayu/Islam dalam memberikan sokongan bermakna kepada rakyat Palestin di Gaza,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada daya usaha masyarakat dalam sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), program ini turut bekerjasama dengan M³ @Towns. Pelbagai kegiatan telah dirancang untuk menggalakkan penyertaan masyarakat, termasuk pengagihan bubur, iftar komuniti, pengedaran set makanan, serta acara di bazar Raya sepanjang Ramadan.
Dana yang dikumpul akan digunakan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman, bekalan perubatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, serta sokongan pendidikan bagi kanak-kanak dan keluarga yang terkesan oleh sengketa berterusan.
Menurut kenyataan RLAF 24 Februari, meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 19 Januari, keperluan bantuan masih sangat mendesak.
Selain itu, semua masjid tempatan akan turut serta dalam pengumpulan dana dengan menyediakan tabung khusus ‘Aid for Gaza 2025’ dari 7 hingga 14 Mac.
Kesemua dana yang terkumpul akan disalurkan menerusi Unicef, ERC dan HM demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Sejak bermulanya persengketaan, kira-kira 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan 1.7 juta terpaksa berteduh di kawasan seluas hanya 48 kilometer persegi, lantas mengakibatkan kesesakan yang genting serta memperburuk keadaan kemanusiaan di Gaza. Keadaan hidup yang tidak bersih menyebabkan kemelut kesihatan awam, meningkatkan risiko penyakit seperti cirit-birit, hepatitis dan polio, yang memberi ancaman serius kepada kesihatan kanak-kanak di bawah umur dua tahun.
Kini, dengan gencatan senjata yang berkuat kuasa, lebih banyak pintu sempadan ke Gaza telah dibuka, lantas membolehkan sehingga 600 trak bantuan memasuki wilayah tersebut setiap hari untuk menghantar makanan, bekalan perubatan, dan keperluan asas.
“Tumpuan kini beralih kepada usaha pemulihan jangka panjang, termasuk membina semula prasarana, memulihkan sistem kesihatan dan pendidikan, serta menyediakan sokongan berterusan kepada keluarga yang terjejas,” ujar RLAF dalam kenyataan mereka.
1. PayNow kepada RLAF melalui nombor UEN 200910530ZRLA dengan menyatakan ‘AIDFORGAZA2025’ dalam ruangan ‘kenyataan’.
2. Lungsuri laman GivePlease di tinyurl.com/aidgaza2025.
3. Lungsuri laman giving.sg di tinyurl.com/gazaaid2025.
4. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 601313315001.
5. Hantar cek atas nama RLAF, dengan menyertakan nama penderma, nombor telefon, serta ‘AIDFORGAZA2025’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Aras 4, Singapura 737740.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg