Sebanyak 121 saman telah dikeluarkan kepada pemandu kenderaan komersial yang ingkar dalam operasi penguatkuasaan selama tiga hari di seluruh Singapura dari 18 hingga 20 Ogos.
Dalam satu kenyataan pada 28 Ogos, pihak polis memaklumkan 166 kenderaan komersial telah ditahan untuk pemeriksaan oleh Polis Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sepanjang tempoh tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan lalu lintas seperti memecut, menggunakan peranti mudah alih semasa memandu, gagal memandu di lorong kiri, gagal memastikan muatan kenderaan diikat dengan betul, serta gagal memaparkan label pengehad kelajuan dengan jelas di bahagian atas kanan cermin depan kenderaan.
Selain itu, sebanyak 93 pelanggaran undang-undang berkaitan LTA turut dikesan.
Ia termasuk tujuh kenderaan yang membawa muatan berlebihan serta 19 kenderaan yang tidak dibenarkan menggunakan ekspreswe dan didapati berbuat demikian tanpa permit.
Kren bergerak dan lori konkrit siap campur merupakan contoh kenderaan yang termasuk dalam kategori larangan itu.
Sebanyak 17 kenderaan berat didapati tidak memaparkan label pengehad kelajuan sepanjang operasi tiga hari tersebut.
Kenderaan berat yang dipasang dengan pengehad kelajuan wajib memaparkan label tersebut di sudut kanan atas cermin depan, boleh dilihat dari luar kenderaan.
Menurut polis, kenderaan berat yang mempunyai berat muatan maksimum (MLW) melebihi 12,000 kilogram (kg) mesti dipasang dengan pengehad kelajuan, dan kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan.
Selain itu, lori yang mempunyai MLW antara 3,501 kg dengan 12,000 kg mesti dipasang dengan pengehad kelajuan mengikut tarikh berikut:
– 1 Januari 2026: Untuk lori yang didaftar sebelum 1 Januari 2018 dan mempunyai MLW antara 5,001 kg dengan 12,000 kg;
– 1 Julai 2026: Untuk lori yang didaftar sebelum 1 Januari 2018 dan mempunyai MLW antara 3,501 kg dengan 5,000 kg;
– 1 Januari 2027: Untuk lori yang didaftarkan pada atau selepas 1 Januari 2018 dan mempunyai MLW antara 5,001 kg dengan 12,000 kg;
– 1 Julai 2027: Untuk lori yang didaftar pada atau selepas 1 Januari 2018 dan mempunyai MLW antara 3,501 kg dengan 5,000 kg.
Pada Jun, TP menyatakan daripada 2,600 kenderaan berat yang diwajibkan memasang pengehad kelajuan menjelang Januari 2026, hanya 231 kenderaan telah melaksanakannya setakat ini.
“Dengan tarikh akhir 1 Januari 2026 hampir tiba, TP menggesa pihak syarikat mempercepat pemasangan pengehad kelakuan bagi mengelak penalti, kelewatan, dan meningkatkan keselamatan jalan raya,” kata polis.
Senarai ejen yang dibenarkan boleh didapati di laman web rasmi Pasukan Polis Singapura (SPF).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg