Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis: Hanya 1 daripada 10 kenderaan berat pasang alat had kelajuan

Jun 11, 2025 | 3:56 PM
Polis Trafik, alat pengehad kelajuan, kenderaan berat
Polis Trafik (TP) memberitahu pada 11 Jun bahawa daripada 2,600 kenderaan berat yang dikehendaki memasang alat pengehad kelajuan menjelang Januari 2026, hanya 231 telah berbuat demikian. - Foto ST

Hanya satu daripada 10 kenderaan berat di Singapura telah memasang alat pengehad kelajuan, digunakan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dengan mengehadkan enjin pada maksimum kelajuan 60 kilometer sejam (km/j)

Polis Trafik (TP) memberitahu pada 11 Jun bahawa daripada 2,600 kenderaan berat yang dikehendaki memasang alat pengehad kelajuan menjelang Januari 2026, hanya 231 telah berbuat demikian.

Bagi menerapkan lagi mesej itu, polis menjalankan pemeriksaan dua hari mulai 9 Jun yang menyasarkan pemandu lori, lapor The Straits Times (ST).

“Semasa operasi itu, pegawai TP bekerjasama dengan pemandu lori untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan alat pengehad kelajuan baru.

“Mereka diberikan kod QR yang dipautkan ke laman web Pasukan Polis Singapura bagi maklumat mengenai ejen memasang alat pengehad kelajuan supaya mereka dapat menempah janji temu awal.

“Mereka turut dinasihati agar berkongsi perkara itu dengan syarikat mereka,” kata polis.

Syarikat yang mempunyai kenderaan berat dengan berat muatan maksimum (MLW) antara 3,501 kilogram (kg) dengan 12,000 kg mula memasang alat pengehad kelajuan sejak Januari 2024, dengan pemilik kenderaan diberi masa dua hingga tiga tahun untuk memasang alat tersebut.

Secara keseluruhan, kira-kira 17,000 lori yang layak perlu memasang pengehad laju yang diwajibkan menjelang Julai 2027.

Selain itu, lori yang baru diimport dengan berat MLW yang sama mesti dilengkapi dengan alat tersebut untuk diluluskan penggunaannya di Singapura. 

Pengerusi Persatuan Logistik Singapura, Encik Dave Ng, berkata pengendali yang masih belum mematuhi peraturan itu menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk menyelesaikan.

Encik Ng berkata: “Bagi kebanyakan individu, kelengahan untuk memasang alat itu mungkin berpunca daripada kebimbangan mengenai kos, gangguan operasi dan ketidakpastian mengenai langkah penguatkuasaan.

“Bagaimanapun, disebabkan kepentingan kritikal (dari sudut) keselamatan – terutama berkaitan dengan kenderaan berat berkelajuan tinggi – memasang pengehad kelajuan bukanlah satu isu yang boleh ditangguhkan hingga saat-saat akhir.”

Ketua eksekutif syarikat perkhidmatan pembinaan Kori Holdings, Encik Hooi Yu Koh, berkata beliau mahu melihat lebih banyak kenderaan berat dipasang dengan peranti itu, yang berharga kira-kira $900 setiap satu.

“Sesetengah kenderaan berat yang dipajak oleh syarikat sewa dilengkapi dengan pengehad laju tetapi kebanyakannya tidak.

“Kenderaan berat yang diperuntukkan kepada kami sentiasa berubah dan pada masa ini tiada satu pun daripada yang diberikan kepada kami ada pengehad kelajuan, walaupun kami lebih suka diperuntukkan dengan kenderaan yang mempunyainya.”

Semasa operasi pada 9 dan 10 Jun, TP telah memeriksa kenderaan berat di sekitar kawasan Loyang dan di sepanjang Ekspreswe Tampines (TPE).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg